LARANGAN Amerika Syarikat (AS) untuk mengimport minyak Rusia telah mendapat momentum dalam tempoh beberapa hari lalu di Washington berikutan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Justeru, Presiden AS, Joe Biden pada Selasa mengumumkan larangan import AS minyak dari Rusia.
Pada mulanya, pentadbiran Biden menekankan bahawa pelaksanaan larangan mengimport itu ketika inflasi yang semakin memburuk akan menyebabkan harga petrol dan diesel akan meningkat di pasaran.
Bagaimanapun, sekatan itu yang berlaku ketika inflansi yang tinggi di dunia kemungkinan akan memberikan kesan kepada pasaran minyak di AS.
Rusia menyumbang kurang 10 peratus import minyak dan produk petroleum AS termasuk minyak berkualiti rendah yang kemudian ditapis menjadi produk petroleum berkualiti tinggi.
Namun, Antoine Halff iaitu seorang penyelidik di Pusat Dasar Tenaga Global, Universiti Columbia berkata, peratusan kecil pengimportan minyak AS dari Rusia itu bermaksud akan menjadi lebih mudah bagi AS untuk melaksanakan larangan import tersebut.
Walaupun tanpa larangan pengimportan itu, harga minyak telah meningkat sekitar 30 peratus sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia.
Harga petrol AS rata-ratanya ialah AS$4.07 (RM17.04) untuk 3.78 liter atau satu gelen pada Isnin yang merupakan kenaikan sebanyak AS$0.62 (RM2.60) dari bulan sebelumnya dan 47 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, menurut Persatuan Automobil Amerika.
PERUBAHAN LANDSKAP GEOPOLITIK
Bagaimanapun, seorang perunding minyak, Andrew Lipow percaya bahawa pengeluaran minyak terjejas sekitar tiga juta tong sehari kerana tindakan seperti pemilik kapal tangki yang enggan membawa muatan minyak Rusia atau peniaga yang menarik diri disebabkan oleh kekurangan pembiayaan bank berikutan sekatan kewangan oleh pihak Barat.
"Tidak ada yang ingin membeli minyak mentah (dari Rusia) dan kemudian mendapati ia dirampas kerana melanggar sekatan," kata Lipow.
Namun, secara umumnya, ekonomi Kesatuan Eropah bergantung kuat dengan sumber tenaga dari Rusia terutamanya gas asli, yang menyumbang sekitar 40 peratus daripada bekalannya.
Bagaimanakah AS akan menggantikan bekalan minyak dari Rusia itu?
Sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa terdapat pembentukan semula landskap geopolitik.
Krisis Ukraine telah meningkatkan pentingnya rundingan yang berterusan mengenai perjanjian nuklear Iran yang baharu sekali gus yang berpotensi menghapuskan sekatan AS terhadap sektor petroleum Iran.
Seorang pegawai kanan AS juga dilaporkan telah mengunjungi Venezuela baru-baru ini untuk bertemu dengan Presiden negara itu, Nicolas Maduro.
Negara Amerika Selatan tersebut pernah menjadi sumber utama import minyak AS tetapi Washington menghentikan import 'emas hitam' itu pada tahun 2019 berikutan sekatan ke atas negara berkenaan.
POTENSI IRAN
Daripada kedua-dua negara itu, Iran berada dalam posisi yang baik untuk meningkatkan pengeluaran minyaknya dengan cepat manakala terdapat lebih banyak persoalan mengenai kemampuan Venezuela berhubung pengeluaran minyak ekoran keadaan infrastrukturnya, kata Halff.
Harga minyak yang berada lebih AS$100 setong (RM418.70) kemungkinan akan memberi insentif kepada syarikat-syarikat minyak di AS untuk melabur dalam beberapa aktiviti mencari gali 'emas hitam' itu tetapi pihak pengeluar juga masih menunggu gambaran global tentang keadaan yang berlaku kini dalam sektor tenaga.
"Risiko terbesar yang dijangka berlaku di sini adalah jika anda mula menggerudi dan kemudian AS membuat perjanjian dengan Iran. Minyak Iran itu kemudian akan berada di pasaran," kata Stephen Schork iaitu seorang penganalisis minyak.
Namun, seorang pejuang alam sekitar menyatakan bahawa pengajaran daripada krisis tersebut bukanlah tentang keperluan untuk mengeluarkan minyak domestik yang lebih banyak.
Sebaliknya, lebih banyak pelaburan perlu dilakukan dalam penciptaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui.
"Ketika ini, Rusia menyediakan 10 peratus minyak dunia," kata Mark Brownstein iaitu Naib Presiden Kanan Dana Pertahanan Alam Sekitar.
"Anda mahu menjadikan minyak itu tidak berharga? Tunjukkan kepada Putin (Presiden Rusia, Vladimir Putin) bahawa anda tidak memerlukannya. Itulah yang akan dilakukan untuk mempercepat peralihan ke masa depan," katanya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca