SHAH ALAM - Di sebalik keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok dengan majoriti lebih dua pertiga, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pula berpendirian berbeza dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok dengan majoriti lebih dua pertiga, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah pula berpendirian berbeza dengan menjangkakan tiada parti akan menang dengan majoriti mudah.

Bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu berani bertaruh kemungkinan sebuah kerajaan campuran bakal terbentuk dengan koalisi kerajaan gabungan itu bergantung kepada parti mana yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbanyak.

Jelas beliau, ia disebabkan tiada parti yang benar-benar memiliki sokongan utuh daripada rakyat Johor dengan punca pilihan raya negeri itu dilaksanakan pun adalah disebabkan perpecahan berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO dan bekas pemimpin parti itu.

"Kalau parti Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan UMNO berpakat, kita sebenarnya mampu menubuhkan sebuah kerajaan negeri dengan mudah pada PRN Johor.

"Tetapi kerana perpecahan berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO dan bekas pemimpin parti itu, belum tentu siapa menang dan saya berani bertaruh dengan wang ringgit terakhir bahawa tiada parti akan mendapat kerusi majoriti.

"Jadi maknanya mana-mana parti yang memenangi banyak kerusi terpaksa membentuk kerajaan campuran dan soal parti mana dijangka terlibat kemungkinan besar berasaskan persaingan antara UMNO, Bersatu dipimpin Muhyiddin dan Pejuang,” katanya kepada Sinar Harian.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi awal bagi PRN Johor di Dewan Serbaguna, Batalion 6 PGA Bakri.

Beliau berkata demikian sewaktu memberi pandangan mengenai unjuran keputusan PRN Johor susulan ramai pemerhati politik menjangkakan koalisi UMNO-BN mampu mengulangi rentak kemenangan besar PRN Melaka tahun lalu dengan majoriti dua pertiga.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh yang lebih popular dikenali sebagai Ku Li turut kesal dengan sikap pemimpin UMNO dan bekas pemimpin parti itu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak henti-henti bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan PRN Johor berlaku.Ku Li turut menegaskan masalah itu menjadi faktor utama kerajaan BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana ia bermula dengan kekalahan di negeri Johor.

"Sebagai contoh di Parlimen Pulai, kerusi-kerusi DUN di situ sepatutnya UMNO-BN tidak boleh kalah kerana ia kerusi kuat UMNO. Namun, kita kalah di situ pada PRU14 kerana UMNO ‘goncang’.

"Faktornya kenapa? Ini kerana separuh daripada jumlah pengundi Cina menyokong calon Parti Amanah Negara atas gesaan DAP. Hakikat sebenar adalah pembangkang tiada kekuatan di Johor,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca