"NAMA Malaysia menjadi harum di seluruh dunia dan keharuman ini tidak pernah mencapai ke peringkat tinggi seperti yang ada sekarang,” kata Tun Abdul Razak Hussein sekembalinya dari China. Peristiwa penting negara pada tahun 1974 itu... Klik di sini untuk terus membaca

"NAMA Malaysia menjadi harum di seluruh dunia dan keharuman ini tidak pernah mencapai ke peringkat tinggi seperti yang ada sekarang,” kata Tun Abdul Razak Hussein sekembalinya dari China.

Peristiwa penting negara pada tahun 1974 itu merupakan antara catatan sejarah yang mungkin jarang didengari oleh generasi kini apabila Perdana Menteri kedua itu berjaya menongkah arus dan meruntuhkan ‘tembok besar’ yang menghalang hubungan antara Malaysia dan China.

Allahyarham Tun Abdul Razak ke China atas undangan Perdana Menteri, Chou En-lai dan memulakan hubungan diplomatik secara rasmi dengan negara tanah besar itu selepas termeterainya Pengumuman Bersama Penjalinan Hubungan Diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei 1974, sekali gus ke arah normalisasi hubungan Malaysia dan China.

Tun Abdul Razak dan En-lai menandatangani Kenyataan Bersama untuk menubuhkan hubungan diplomatik sepenuhnya antara Malaysia dan China.

Impak besar daripada lawatan ke China itu, Malaysia berjaya mengurangkan ancaman komunis apabila Tun Abdul Razak cuba menamatkan sokongan parti komunis China kepada komunis di Tanah Melayu dan membolehkan beliau menumpukan usaha membangunkan negara.

Menceritakan kembali detik bersejarah itu, Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata, Tun Abdul Razak melihat hubungan dingin antara Malaysia-China merugikan kedua-dua pihak dan boleh menyebabkan ketidakamanan serantau.

Lawatan Tun Abdul Razak ke China pada 1974 mendapat liputan meluas akhbar di negara itu.

Justeru, beliau menukarkan sikap berorientasikan Barat kepada sikap berkecuali dan menyebabkan China memberikan isyarat positif dalam menjalinkan hubungan dengan Malaysia.

Lawatan itu merupakan kemuncak perubahan dasar yang diambil kerajaan sejak September 1970 dan Malaysia adalah sebuah negara yang menyokong kemasukan Republik Rakyat China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1971.

"Apabila China memulakan dasar terbuka menjalin persahabatan, Tun Abdul Razak mengambil peluang untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan China. Malaysia telah mengiktiraf Republik Rakyat China sebagai sebuah negara yang berfahaman komunis menerusi lawatan bersejarahnya itu.

"Hasilnya, Malaysia buat pertama kali telah menjalinkan hubungan dua hala dengan negara komunis China memandangkan sebelum ini, dasar luar Malaysia bersifat antikomunis.

"Lawatan rasminya ke China buat pertama kali iaitu pada tahun 1974 telah disambut mesra oleh Pengerusi China, Mao Tse-tung dan En-lai serta rakyat negara itu. Pertemuan beliau dengan Tse-tung telah membuka jalan kepada Malaysia untuk menyusun strategi bagi mengatasi masalah komunis di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual di pejabatnya baru-baru ini.

Jalinan kerjasama Malaysia–China kemudiannya telah menunjukkan hasil yang positif apabila kerajaan Republik Rakyat China mengiktiraf kerajaan Malaysia serta menghormati kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia.

Kedua-dua kerajaan saling tidak mencampuri hal ehwal dalam negara masing-masing dan berpendapat bahawa semua pencerobohan, campur tangan, penaklukan dan kegiatan subversif oleh kuasa asing adalah diharamkan.

Menurut Jaafar Sidek, kesan besar daripada lawatan bersejarah itu, Tun Abdul Razak cukup dihormati oleh China.

Malah sehingga tahun 1999, terdapat beberapa wakil Duta Besar China ke Malaysia akan mengunjungi Memorial Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur sebagai tanda hormat dan meraikan Allahyarham yang menjadi individu pertama yang mengiktiraf China sebagai sebuah negara.

KETOKOHAN TERSELAH SEJAK MUDA

Tanggal 11 Mac 2022, genap 100 tahun ulang tahun kelahiran Tun Abdul Razak yang juga digelar Bapa Pembangunan Negara.

Walaupun sudah 46 tahun meninggalkan kita semua, jasa dan baktinya kepada negara pasti tidak terhitung dan kehilangan beliau tiada galang ganti.

Menelusuri kembali ‘sentuhan emasnya’, beliau hanya sempat bergelar Perdana Menteri selama enam tahun iaitu dari September 1970 hingga kematiannya pada Januari 1976.

Potret Tun Abdul Razak bersama keluarganya.

Namun, kepimpinannya mula terserlah sejak muda lagi apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang termuda pada usia 33 tahun pada 1955 dan kemudiannya membarisi kabinet pertama Tunku Abdul Rahman Al-Haj sebagai Menteri Pelajaran apabila Parti Perikatan memenangi pilihan raya umum pertama pada tahun tersebut.

Tun Abdul Razak kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada usia 35 tahun iaitu selepas negara mencapai kemerdekaan.

Menurut Jaafar Sidek, kepimpinan Tun Abdul Razak teruji apabila Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman melantiknya untuk mengetuai Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Ia selepas tercetusnya perselisihan kaum selama tiga hari di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969 iaitu selepas pilihan raya umum menyebabkan Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan dan darurat diisytiharkan di seluruh negara.

"Selepas peristiwa itu, Tun Abdul Razak menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) sebagai salah satu strategi untuk membentuk perpaduan nasional dan pengisytiharan secara rasmi Rukun Negara sebagai falsafah kebangsaan telah dilaksanakan pada sambutan kemerdekaan yang ke-13.

"Beliau mula memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri pada September 1970 selepas Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dari kerajaan dan Parti Perikatan,” jelasnya.

Sumbangan besar Tun Abdul Razak yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia kerana hasrat besarnya adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit.

Justeru, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan pada 21 Jun 1970 dengan menetapkan dua sasaran yang asas iaitu menghapuskan kemiskinan dan menghapuskan pengenalpastian fungsi ekonomi antara kaum dengan rancangan pembangunan negara dilakukan secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990.

Jaafar Sidek turut menyifatkan zaman Tun Abdul Razak adalah zaman yang paling sukar kerana Malaysia baru merdeka dan berlakunya tragedi 13 Mei serta cabaran besarnya dalam membangunkan negara yang baru merdeka yang berdepan isu perkauman dan ancaman komunis.

Lawatan bersejarah Tun Abdul Razak ke China pada 1974 turut dibukukan Arkib Negara untuk tatapan generasi akan datang.

"Tun Abdul Razak seorang pendengar setia dan beliau sentiasa mengambil tahu masalah rakyat. Mungkin ada yang tidak tahu, selain menghisap paip, beliau sentiasa membawa tongkat ke mana-mana sahaja.

"Istimewanya tongkat itu, ia boleh dibuka dan Tun Abdul Razak akan duduk pada tongkatnya sewaktu mendengar taklimat kerana beliau sentiasa bergerak dan rajin turun padang. Tongkat itu adalah antara koleksi yang orang ramai boleh lihat di Memorial Tun Abdul Razak,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca