SHAH ALAM - Tidak sampai 24 jam lagi tempoh berkempen, kesemua parti dan calon Bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melakukan pecutan terakhir untuk bertemu seberapa ramai pengundi sebelum bangsa Johor memilih wakil rakyat masing-masing esok.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, terdapat tiga pendekatan yang diambil Pakatan Harapan (PH) sebelum tibanya hari mengundi, antaranya terus kekal menyampaikan maklumat kepada pengundi Johor untuk mengenali calon PH.
"Kita juga mahu pastikan semua pengundi yang berada di luar Johor pulang mengundi, selain memastikan jentera untuk hari mengundi bersiap sedia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Parti Warisan Johor, Suhaimi Salleh pula berkata, pihaknya akan terus mendampingi rakyat dengan melaksanakan program tinjauan mesra, kempen rumah ke rumah serta melakukan program diskusi dan ceramah.
"Kita tidak ada langkah terakhir, dari awal hingga akhir sama sahaja. Kita akan terus mendampingi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Aqamah Husamudin memberitahu, pihaknya turut melakukan inisiatif sama iaitu meneruskan kempen berkelompok di samping kempen dari rumah ke rumah.
"Saya percaya pengundi ini lebih mudah untuk mendapat maklumat jika kita mendekati mereka secara terus,” ujar beliau.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula mengakui semua jentera BN berada dalam keadaan bersiap sedia untuk hari mengundi esok.
"PRN Johor ini bukan sahaja kerana kita nakkan kestabilan politik, tetapi turut memerlukan parti yang kuat untuk memerintah negeri ini.
"Paling penting kita memerlukan permulaan baharu. Kita tidak boleh lagi berada dalam kedudukan suram, celaru dan tidak menentu sebegini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perikatan Nasional (PN) akan mewujudkan skuad untuk memantau politik beli undi saat akhir."Ini adalah salah satu strategi terakhir PN sebelum tibanya hari mengundi Sabtu ini, selain meningkatkan usaha berjumpa dengan lebih ramai pengundi Johor.
"Ini penting untuk kita tingkatkan peratusan keluar mengundi dengan sasaran lebih 75 peratus,” jelas beliau.
Bagi Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Zaidel Baharuddin, pihaknya sudah pun menghebahkan pesanan dan amanat melalui video yang dimuat naik di media sosial.
"Muda merayu semua pengundi keluar mengundi kerana masa depan Johor bergantung kepada rakyatnya. Kita sudah melakukan yang terbaik dengan bersemuka dengan pengundi Johor,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca