SHAH ALAM - Peluang keseluruhan parti-parti dominan seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menang masih dianggarkan 50-50 sekiranya peratusan keluar mengundi esok berada di bawah 70 peratus.
Hal ini disebabkan satu kajian Survei Landskap Persepsi Pengundi Johor Menjelang PRN Johor 2022 yang dibuat Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan hanya 51.2 peratus daripada keseluruhan 3,200 responden yang di temu ramah, dijangka terus kekal memilih parti sama sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Unit Penyelidikan IDE dalam satu kenyataan turut mengunjurkan sejumlah 26.8 peratus pengundi sudah menyatakan akan mengubah arah dengan memilih parti berbeza, manakala terdapat kewujudan sekitar lima hingga tujuh peratus pengundi yang menyatakan tidak akan keluar mengundi.
"Selain itu, terdapat tiga faktor utama yang menentukan sikap dan trend pengundian pada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor iaitu 37.6 peratus pengundi bakal memilih parti berdasarkan kualiti calon.
"34.8 peratus dijangka bakal memilih parti berdasarkan faktor kekuatan parti diwakili. Bagaimanapun, hanya 15.4 peratus sahaja pengundi yang memilih berdasarkan isu setempat yang diperjuangkan.
"Satu lagi perkara menarik daripada dapatan survei IDE adalah faktor keperibadian calon atau sokongan disebabkan faktor parti politik didapati berbeza-beza mengikut trend pengundian di DUN Johor," jelas Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Arifin Mohd Munir kepada Sinar Premium pada Khamis.
Bermula 18 hingga 22 Februari 2022, IDE mengambil peluang daripada pelaksanaan PRN Johor pada 12 Mac untuk mengadakan satu survei landskap kajian sikap pengundi yang melibatkan 3,200 responden daripada keseluruhan 56 DUN.
Survei itu juga dikendalikan dengan melibatkan 40 orang enumerator terlatih serta dilakukan secara bersemuka, melibatkan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain melalui kaedah persampelan rawak, berperingkat dan berstrata.
Melalui penyediaan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e-Survei dan tablet, survei ini disahkan Unit Penyelidikan institusi itu menepati persampelan dengan ralat kesilapan tiga peratus pada 95 peratus tahap keyakinan.
Mengulas lanjut, Khairul Munir yang mewakili Unit Penyelidikan IDE turut mendedahkan hanya 42 peratus responden menganggap Covid-19 tidak menghalang mereka untuk keluar mengundi pada Sabtu.
Sebaliknya, terdapat 35 peratus responden lagi menyatakan ketidakpastian mereka dalam hal ini untuk turun mengundi.
"Secara lebih mendalam, hanya 30.4 peratus responden sahaja menyatakan ahli keluarga mereka yang tinggal di luar kawasan akan balik mengundi.
"Lebih membimbangkan, 49.4 peratus sebaliknya menyatakan bahawa ahli keluarga mereka tidak akan balik mengundi," tegas Khairul Ariffin.
Khairul Ariffin turut mendedahkan trend keprihatinan terhadap isu semasa dipetakan dalam survei IDE berdasarkan kajian Focus Group Discussion (FGD), mendapati wujudnya lapan sehingga sembilan isu utama tempatan dan nasional yang menjadi keprihatinan pengundi Johor.
Lebih menarik, beliau menjelaskan isu-isu ini adalah berbeza dari segi keprihatinan masyarakat berdasarkan kepada DUN dan demografi pengundi.
Ujarnya, empat isu tempatan utama yang menjadi keprihatinan pengundi Johor adalah masalah pemilikan rumah, masalah infrastruktur, peningkatan kes jenayah dan masalah sosial.
Bagi isu nasional pula, Khairul Ariffin melalui survei IDE menegaskan pengundi Johor amat prihatin terhadap isu-isu seperti kesan penularan wabak Covid-19, kenaikan harga barang, ketidakstabilan politik negara serta penyelewengan dan rasuah.
"Secara umumnya, parti-parti politik dan jentera harus bekerja keras untuk memujuk pengundi untuk keluar melaksanakan hak demokrasi mereka.
"Rakyat Johor ada yang merasakan sikap bosan dengan politik dan ahli politik yang terbuka dengan pelbagai isu.
"Peluang masih terbuka kepada semua parti untuk berkempen dan rakyat cenderung untuk membuat keputusan 24-48 jam sebelum pengundian khususnya pengundi muda dan atas pagar yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik," jelas Khairul Ariffin lagi.
PRN Johor kali ini bakal menyaksikan penglibatan seramai 2,597,742 orang pengundi berdaftar dengan komposisi 2,539,606 orang pengundi biasa, 21,407 orang pengundi awal dan 36,729 orang pengundi pos.
Demografi pengundi berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya Negeri Johor dengan komposisi 56.1 peratus Melayu, 37 peratus Cina, 6.5 peratus India dan 0.4 peratus lain-lain.
Klik di sini untuk terus membaca