SHAH ALAM - Semua majikan diminta memberikan perlepasan sekurang-kurangnya setengah hari atau membenarkan pekerja mereka pulang lebih awal bagi membolehkan rakyat Johor menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih wakil rakyat mereka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu ini.
Bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, beliau juga berharap semua pengundi di luar Johor mahu pun luar daerah supaya dapat memanfaatkan cuti hujung minggu pada hari Sabtu untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Dr Sahruddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong berkata, pengundi perlu diingatkan PRN kali ini penting bagi membolehkan mereka memilih wakil rakyat dan pemimpin yang bakal memimpin kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Jadi saya merayu supaya semua pengundi bangsa Johor terutama mereka berada di luar negeri mahu pun kawasan lain supaya dapat pula balik ke kampung halaman dan kawasan masing-masing untuk mengundi esok (Sabtu).
"Perkara ini amat penting kerana ia adalah merupakan tanggungjawab kita bersama lima tahun sekali untuk memilih pemimpin berwibawa, jujur, amanah dan berintegriti bagi memastikan negeri Johor terus maju dari segi ekonomi dan pembangunan fizikal.
"Kita kena ingat bangsa Johor adalah bangsa yang tinggi ilmu pengetahuan, akhlak dan penghayatan nilai Islam, jadi kena bijak memilih calon yang bersih, amanah, berintegriti dan benar-benar mampu membantu masyarakat di negeri ini ke arah lebih baik," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Dalam pada itu, Dr Sahruddin optimis dan positif bahawa peluang PN untuk menang PRN Johor kali ini jika peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus daripada hampir 2.6 juta pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.
Sebaliknya, Dr Sahruddin berkata, jika peratusan keluar mengundi bawah 65 peratus maka tidak mustahil bahawa BN/UMNO akan kembali berkuasa di Johor.
Berikutan itu, beliau berharap semua pengundi bangsa Johor akan keluar beramai-ramai untuk mengundi calon pilihan masing-masing tidak kira BN, PN mahu pun PH bagi menentukan masa depan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Untuk rekod, PRN Johor diadakan susulan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, dikatakan tidak stabil berikutan kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember 2021.
Susulan itu, Hasni memohon mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pada 21 Januari lalu untuk mendapat perkenan baginda bagi membubarkan DUN Johor sekali gus membolehkan PRN diadakan dalam masa terdekat.
Pada 22 Januari, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuatkuasa hari sama bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.
Berikutan itu, SPR menetapkan 26 Februari lalu sebagai tarikh penamaan calon bagi PRN Johor, manakala tarikh mengundi pula pada Sabtu ini.
Pada PRN kali ini seramai 2.59 juta pengundi termasuk lebih 700,000 pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Selasa lalu (undi awal) dan Sabtu ini.
Klik di sini untuk terus membaca