SHAH ALAM - Berbaki kurang 24 jam, percubaan pertama kali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), parti dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal terjawab pada Sabtu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berbaki kurang 24 jam, percubaan pertama kali Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), parti dipimpin Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal terjawab pada Sabtu.

Pemerhati politik melihat peluang menang bagi Muda yang bertanding di tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya satu kawasan iaitu DUN Puteri Wangsa melalui calonnya yang juga setiausaha agung, Amira Aisya Abd Aziz, 27.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jangkaan itu diperoleh hasil kajian dilakukan oleh UM bersama Astro Awani yang melaksanakan temu bual bersemuka lebih 1,000 responden terdiri daripada pengundi muda berusia antara 18 hingga 24 tahun di 12 kerusi DUN termasuk tujuh kawasan ditandingi oleh parti Muda, pada PRN kali ini.

Beliau berkata, antara faktornya akan membantu kemenangan Muda ialah kerana kerusi Puteri Wangsa dulunya memang kerusi milik Pakatan Harapan (PH) yang dimenangi oleh calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Mazlan Bujang.

"Bagaimanapun, selepas DUN Johor dibubarkan Mazlan mengambil keputusan untuk melompat parti dan tidak menawarkan diri bertanding di kerusi terbabit. Kerusi berkenaan kemudiannya diserahkan PH kepada Parti Amanah Negara (Amanah), sebelum diberikan kepada Muda untuk ditandingi, pada PRN Johor kali ini.

"Faktor kedua mendorong kemenangan Muda di DUN Puteri Wangsa adalah kerana kerusi berkenaan adalah kawasan mempunyai majoriti pengundi terdiri daripada kaum Cina iaitu 51.3 peratus, pengundi Melayu pula 35.6 peratus, manakala pengundi Sabah/Sarawak pula 1.1 peratus. Jadi kalau kita lihat kerusi ini dengan dikuasai oleh majoriti pengundi Cina, jadi seperti kita tahu mereka lebih cenderong untuk menyokong calon PH," katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun Awang Azman berkata, peluang calon Muda untuk menang di DUN Puteri Wangsa juga bergantung kepada peratusan pengundi terutamanya kaum Cina yang keluar mengundi, pada Sabtu ini.

"Jika peratusan pengundi terutama kaum Cina tinggi keluar mengundi maka peluang calon Muda menang di kerusi terbabit adalah lebih cerah. Sebaliknya jika peratusan keluar mengundi rendah, ia akan memberikan peluang kepada calon lain terutama BN dan PN untuk menang kerusi berkenaan.

"Jadi berdasarkan kajian dibuat oleh kami mendapati, Puteri Wangsa adalah satu-satunya kerusi yang mungkin berpotensi besar untuk dimenangi oleh parti Muda, manakala kerusi lain agak sukar. Kalau Muda boleh menang kerusi lain maka ia satu kelebihan dan bonus bagi parti baharu berkenaan," katanya.

DR AWANG AZMAN

Untuk rekod, pada PRU14 lalu, Mazlan yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi DUN Wangsa Puteri dengan majoriti 24,959 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abd Aziz Tohak (12,586 undi) serta Abdullah Hussin, Lim Yak Hong dan Ting Choon Chai (hilang wang pertaruhan).

Pada PRN kali ini Muda mempertaruhkan Amira sebagai calon DUN Puteri Wangsa untuk menghadapi saingan enam penjuru bersama Ng Yew Aik (BN), Dr Khairil Anwar Razali (Parti Pejuang Tanah Air), Loh Kah Yong (Perikatan Nasional), Steven Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan calon Bebas, Adzrin Adam.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, kajian berkenaan juga menunjukkan lebih 60 peratus pengundi muda berusia antara 18 hingga 24 tahun akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi calon pilihan mereka pada Sabtu ini.

Beliau berkata, kajian itu juga menunjukkan ramai anak muda enggan keluar mengundi kerana pelbagai faktor termasuk mereka tidak minat dengan PRN; tidak yakin dengan pilihan calon dan parti bertanding dan masih bimbang dengan penularan wabak Covid-19 terutama varian Omnicron.

Awang Azman juga mendedahkan sebahagian dalam kalangan lebih 1,000 responden di temu bual juga memberikan sebab mereka tidak boleh balik mengundi antaranya adalah kerana tidak diberikan cuti oleh majikan, bekerja dan berada di luas kawasan dan tidak sempat untuk balik mengundi pada hari pengundian sempena PRN Johor, Sabtu ini.

"Kajian juga menunjukkan majoriti kebanyakan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun masih lagi kurang pendedahan, kesedaran dan kepentingan politik semasa termasuk PRN Johor kali ini.

"Keadaan itu amat berbeza jika dibandingkan dengan pengundi berusia 21 tahun ke atas yang jauh lebih matang dan pengetahuan politik lebih baik berbanding mereka berusia 18 hingga 20 tahun," katanya.

Dalam pada itu Awang Azam berkata, kajian berkenaan juga menunjukkan bahawa BN terus kekal dominan sebagai parti menjadi pilihan utama anak muda pada PRN Johor kali ini diikuti oleh PH dan PN.

"BN menjadi pilihan pengundi kerana sudah lama bertapak, berkuasa dan mempunyai rekod pemerintahan, kerajaan penyandang. Selain itu, idea kestabilan politik dapat diterima kerana daripada kestabilan politik maka kemakmuran ekonomi dan dicapai.

"Manakala, parti baru seperti Muda pula dilihat kurang mempunyai pengalaman dalam pentadbiran, tidak mahu bereksperimen dengan parti terlalu baru, calon kurang dikenali, kempen di kawasan ditandingi secara fizikal agak kurang meluas hingga kurang dikenali," katanya.

Ditanya mengenai sama ada isu nasional seperti kes 1MDB dan kes mahkamah membabitkan Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi, akan mempengaruhi undi golongan muda kepada BN mahu pun PN mahu pun PH, Awang Azman berkata, perkara itu tidak memberikan impak besar kepada masyarakat di Johor.

"Kebanyakan responden berpandangan antara isu yang mempengaruhi undian mereka adalah berkaitan dengan soal domestik dan kehidupan harian termasuk masalah peluang pekerjaan dan pengangguran; kos sara hidup; kesihatan dan pendidikan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca