SHAH ALAM - Laporan Kajian lapangan dilakukan oleh Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang selesa sekurang-kurangnya di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada masalah untuk kembali mentadbir Johor, selepas Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Laporan Kajian lapangan dilakukan oleh Ilham Centre meramalkan Barisan Nasional (BN) akan menang selesa sekurang-kurangnya di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada masalah untuk kembali mentadbir Johor, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Sabtu.

Menurut laporan berkenaan, Pakatan Harapan (PH) pula dijangka mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Manakala, baki lagi 11 kerusi DUN pula tidak dapat dijangka kerana berlaku perebutan sengit antara BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kawasan terbabit.

Malah, Ilham Centre dalam satu kenyataan berkata, hasil kajian juga menunjukkan BN akan mendominasi kerusi yang mempunyai komposisi etnik Melayu 70 peratus dan komposisi etnik Melayu 50-69 peratus, walaupun PN dan PH memberi saingan hebat.

"Sebagai contoh di DUN Gambir; biarpun sokongan yang diperoleh oleh PN di kalangan pengundi Melayu semakin meningkat namun ia masih lagi memihak kepada BN kerana mereka tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan. Ini berlaku kerana undi tersebut berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperoleh kemenangan.

"Dari segi psikografi pula, pengundi memperlihatkan penilaian kritikal terhadap isu calon. Sebagai contoh meskipun di DUN Endau merupakan kubu BN, namun calon yang ditampilkan oleh PN berupaya untuk mencabar dominasi BN di sana," kata Ilham Centre dalam laporan kajiannya diterbitkan pada Jumaat.

Untuk rekod kajian lapangan Ilham Center ini melibatkan 1,391 responden pengundi berdaftar di Johor mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Mengulas mengenai 11 DUN sukar diramal, Ilham Centre berkata, ia melibatkan Paloh, Endau dan Simpang Jeram, Kemelah, Bekok, Tangkak, Yong Peng, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Kempas dan Kota Iskandar.

Laporan kajian ini disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif), Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi), Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan) dan Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid (Felo Penyelidik).

Sebagai tambahan, Johor mempunyai 56 DUN yang dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Utara meliputi 16 DUN dari Buloh Kasap sehingga Sungai Balang, Zon Tengah dari Semerah sehingga Kahang, Zon Timur bermula Endau sehingga Tanjung Surat dan Zon Selatan dari Tiram sehingga Kukup.

Menurut laporan Ilham Centre lagi, beberapa faktor lain mempengaruhi kemenangan BN adalah pengaruh calon yang bertembung, dan jangkaan keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan pengundi Cina dan rekahan undi Melayu diterima BN dan PN.

DR YUSRI

"Faktor penyusutan berkenaan yang mungkin berada di paras 55 peratus dalam kalangan pengundi Cina. Penyusutan ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pembangkang untuk bertahan di kerusi-kerusi yang dinyatakan di atas," katanya.

Kajian Ilham Center juga mendedahkan faktor ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang dilihat menjadi punca PH hanya mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang diperolehi pada PRU14.

Menurut kajian berkenaan PH termasuk PKR kelihatan hilang arah untuk menyekat kemaraan BN selepas tewas teruk di Melaka dan Sarawak.

Malah, kajian berkenaan mendedahkan bahawa PH masih buntu mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaian mereka pada PRU14.

"PN menjadi saingan utama kepada BN namun peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini menyebabkan mereka gagal mengatasi BN," katanya.

Dalam pada itu, kajian berkenaan juga mendedahkan sebahagian daripada seramai 869,362 atau 33.5 peratus pengundi baharu tidak menolak faktor keluar mengundi dalam segmen berkenaan dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti mana diharapkan oleh pihak tertentu untuk membuat perubahan.

"Kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat, terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat," katanya.

Kajian berkenaan juga menunjukkan pengundi Melayu lebih memberi maklum balas yang positif kepada naratif kestabilan yang dibawa oleh BN berbanding dengan isu nasional seperti rasuah, integriti dan kepimpinan yang dibawa oleh PN.

"Pengundi Melayu yang ditemui menyatakan secara terbuka untuk keluar beramai-ramai untuk mengundi manakala pengundi Cina masih lagi menunjukkan keraguan untuk keluar mengundi disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu kita akan menyaksikan perbezaan ketara peratusan keluar mengundi mengikut demografi dan geografi setiap DUN," katanya.

Kajian Ilham Centre juga mendapati antara punca utama kekalahan pembangkang adalah perpecahan ketara dalam kalangan PH dan PN sendiri berbanding PRN Melaka baru-baru ini.

"Ternyata peribahasa Melayu, "Jong pecah yu kenyang” tepat dalam menggambarkan apa yang berlaku dalam pilihan raya ini. Perpecahan pembangkang yang terlalu rencam dan berbilang penjuru memecahkan kekuatan undi PH semasa pilihan raya umum yang lalu, secara taktikalnya menguntungkan BN.

"Kemunculan parti-parti baru pertama kali mencuba nasib dalam medan demokrasi seperti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Warisan dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah memeriahkan pilihan raya kali ini sebagai pesta demokrasi sekali gus menjadi tanda aras pilihan raya umum akan datang.

"Parti-parti baru ini cuba membuat pemasaran politik bagi memperkenalkan parti mereka kepada pengundi buat pertama kali. Muda dilihat terkehadapan berjaya berjaya menjalinkan kerjasama ‘electoral pact’ bersama PH meskipun bertembung dengan PKR di Larkin," katanya.

Kajian Ilham Center menunjukkan pengundi Melayu lebih memberi maklum balas yang positif kepada naratif kestabilan yang dibawa oleh BN berbanding dengan isu nasional seperti rasuah, integriti dan kepimpinan yang dibawa oleh PN.

Kajian berkenaan juga menunjukkan PN tampil sebagai kuasa baru mencabar dominasi BN dan PH serta mereka bermula garang dan agresif dalam siri-siri kempen malah jentera mereka diaktifkan lebih awal berbanding sebelum ini.

"Kempen PN memberikan saingan sengit kepada BN di kerusi-kerusi majoriti Melayu mengatasi kekuatan PKR dan Amanah yang mewakili PH. Walaupun PN sebenarnya adalah pesaing terkuat kepada BN ternyata kekurangan sokongan daripada segmen pengundi Cina kepada gabungan tersebut menjejaskan peluang kemenangan mereka. PN mendapat dukungan pengundi Melayu-Islam yang rasional dan pengundi setia PAS.

"PH pula bermula tempang dengan penggunaan logo yang berasingan apabila PKR bersikap memilih langkah berisiko memakai logo parti sendiri. Ini mengakibatkan penerimaan berbelah bagi dan jentera yang bergerak secara terpisah antara satu sama lain. Keputusan ini telah mengganggu keyakinan pengundi PH yang mengundi mereka pada PRU lalu," katanya.

Justeru itu, kajian Ilham Centre juga mendapati kekuatan jentera ‘in silo’ tidak dikoordinasikan secara bersepadu meminimakan kekuatan sebenar PH.

"Dalam aspek kempen PH kelihatan sangat ‘struggle’ untuk meyakinkan pengundi mereka sepertimana pencapaian yang diperolehi dahulu. Cabaran PH, berlaku ketirisan sokongan pengundi Melayu yang mengundi PH kepada PN dan pengundi Cina yang merupakan penyumbang terbesar kemenangan mereka menyatakan tidak teruja untuk keluar beramai-ramai mengundi pada kali ini," katanya.

Kajian Ilham Centre juga mendapati PRN Johor hangat kerana dipanaskan dengan kenyataan serang menyerang antara dua bekas Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perseteruan peribadi mereka mengheret pengundi untuk menentukan sikap dalam pengundian kelak. Tanpa kontroversi dan berita panas ini mungkin fasa kempen PRN Johor akan lebih sejuk dan suram.

"MCA turut menggunakan pengaruh populariti Najib untuk berusaha memecahkan dominasi sokongan pengundi Cina kepada DAP.

Penerimaan pengundi terhadap kehadiran beliau dipamerkan seakan-akan mantan Perdana Menteri tersebut tidak terpalit dengan sebarang skandal mahupun keputusan bersalah oleh Mahkamah. Kehadiran beliau menjadi faktor penarik dan membina momentum tersendiri kepada kempen kepada BN.

"Muhyiddin pula memanfaatkan pengaruh beliau di Johor untuk mengimbangi pengaruh Najib. Imej beliau dijadikan ‘poster boy’ kepada kempen PN seluruh Johor. Menyukat populariti Muhyiddin di Johor, 43 peratus mengakui beliau berpengaruh di negeri selatan ini. Sedikit sebanyak kekuatan Muhyiddin ini membantu PN muncul sebagai pesaing terdekat BN terutama di kawasan majoriti Melayu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca