Ada penganalisis politik yang beritahu Mat Taici bahawa koalisi UMNO-Barisan Nasional (BN) akan mengulangi dominasi PRN Melaka dengan menang lebih 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ada juga yang cakap tiada parti akan menang dengan majoriti mudah, sekali gus mengulangi pembentukan kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional (BN) sebagaimana berlaku selepas peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020.
Bagi Mat Taici, tidak kiralah parti mana pun yang menang esok, kerajaan negeri baharu ditubuhkan haruslah menekankan aspek kestabilan politik dengan tiada lagi ulangan drama lompat parti yang akhirnya menyebabkan kehidupan rakyat haru-biru.
Mat Taici juga ingin mengucapkan selamat mengundi kepada semua Bangsa Johor yang diamanahkan untuk mengundi esok, dengan harapan pilihlah calon berasaskan sifat integriti, kredibiliti dan amanah berbanding faktor populariti dan pengaruh wang.
Namun, di saat semua pihak ghairah membicarakan soal PRN Johor dan kemungkinan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal, kita sebenarnya tidak sedar bahawa sebuah 'bom jangka' yang tercetus kesan konflik Ukraine-Rusia ketika ini, mampu meledak dan membawa malapetaka besar kepada negara sekiranya tiada langkah intervensi serta pencegahan diambil kerajaan dalam masa terdekat.
Ledakan besar yang dibimbangi bakal melanda negara kita sudah tentu dari aspek ekonomi dan sekuriti makanan apabila dunia sudah melancarkan sekatan perdagangan sepenuhnya ke atas Rusia.
Merupakan negara pengeluar terbesar produk gandum, jagung, kacang dhal mahu pun sumber minyak petroleum dan gas asli, sebarang sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Rusia pastinya akan memberi impak besar terhadap rantaian pengedaran makanan dan bahan api dunia.
Lebih malang, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri mendedahkan beberapa negara pengimport produk makanan lain seperti China, Thailand dan Vietnam difahamkan sudah mula menghentikan sebarang urusniaga mengimport produk makanan ruji penting seperti beras, kentang dan ayam kepada negara luar.
Hal ini disebabkan mereka lebih menumpukan usaha mencukupkan keperluan makanan domestik dan langkah drastik itu pastinya memberi kesan domino yang sangat parah kepada negara-negara yang mempunyai kebergantungan import makanan tinggi termasuk Malaysia.
Mat Taici sewaktu berbual dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini, terkejut apabila bekas Menteri Kewangan itu meramalkan implikasi dahsyat akibat konflik Rusia-Ukraine bakal dirasai rakyat Malaysia seawal tiga hingga empat bulan terdekat.
Lebih membimbangkan Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li, kerajaan ketika ini pula masih hanyut mendepani isu ketidakstabilan politik negara dengan pemimpin negara tidak habis-habis bertelagah demi mendapatkan kuasa.
"Menteri-menteri dalam kerajaan seolah-olah leka dengan jawatan dipegang, sehingga lupa negara masih belum memuktamadkan inisiatif-inisiatif mustahak seperti memuktamadkan perjanjian kontrak mengimport produk makanan asas penting daripada negara-negara eksport utama, sebelum krisis Rusia-Ukraine menjadi semakin parah.
"Mereka tidak sedar, stok bekalan makanan ruji negara seperti beras dan gandum berada pada paras sangat rendah dan berkemungkinan hanya mampu bertahan tidak sampai tiga bulan," ujar Ku Li sewaktu ditemui Mat Taici di pejabatnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur.
Atas kebimbangan itu, Mat Taici ingin menyeru kepada semua pemimpin politik, sudah-sudahlah berpolitik selepas PRN Johor ini.
Sebaliknya Mat Taici mengharapkan mereka sama-sama cari satu titik penyatuan dengan membantu kerajaan fokus mendepani implikasi krisis Rusia-Ukraine terhadap ekonomi negara terlebih dahulu.
Mat Taici tidak mahu episod Arab Spring dan peristiwa revolusi warna yang popular suatu ketika dahulu, berpotensi tercetus di negara ini hanya disebabkan kegagalan kerajaan dan ahli politik mendahulukan kepentingan rakyat.
Pss: Selalu berdoa Malaysia akan terus aman sejahtera sampai bila-bila... Klik di sini untuk terus membaca