SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengharapkan agar pengundi muda yang pertama kali keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat membuat pilihan terbaik dalam memilih calon di kawasan masing-masing. Ketua Pejuang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengharapkan agar pengundi muda yang pertama kali keluar mengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dapat membuat pilihan terbaik dalam memilih calon di kawasan masing-masing.

Ketua Pejuang Muda Malaysia, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, anak muda seharusnya menolak parti yang korupsi, salah guna kuasa dan parti yang tidak setia dengan mandat diberikan rakyat sebelum ini.

Jelasnya, meskipun parti Pejuang tidak mempunyai sebarang rekod lepas dalam mentadbir negeri dan negara kerana baru ditubuhkan, ia tidak bermakna parti tersebut tidak layak untuk memerintah.

Meskipun begitu, katanya, parti tersebut mempunyai pemimpin yang mana rekodnya baik dalam memerintah negeri mahupun negara.

"Saya fikir, Pejuang sebagai sebuah parti baharu sudah tentu belum ada rekod. Belum sampai satu tahun penubuhan. Setelah proses yang begitu panjang, kami dinafikan hak demokrasi untuk menubuhkan sebuah parti.

"Kalau nak katakan trak rekod, ia juga mungkin kadangkala menjadi satu kelebihan kepada kami. Hari ini, dengan rekod yang ada pada PN (Perikatan Nasional), BN (Barisan Nasional), semua boleh dipertikaikan.

"Suasana Covid-19 ini memberi kelebihan kepada pihak yang memerintah kerana mereka boleh berkempen dengan segala cara dan melangkaui SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.

"Ada juga yang guna vaksinasi sebagai satu kempen. Gunakan jentera jabatan penerangan berpusing seluruh Johor, buat program Keluarga Malaysia. Itu mengecewakan dan tidak demokratik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-328 yang bertajuk Last Kick Off Untuk Bangsa Johor yang disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis, Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid; Exco Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun; Setiausaha PN Selangor, Hilman Idham dan moderator, Nani Roslan.

Mengulas mengenai tempoh 14 hari berkempen, beliau berkata, tempoh tersebut mencukupi bagi pihaknya mendekati rakyat Johor.

"Kami terpaksa berjalan di negeri Johor dengan geografi yang luas dari utara ke selatan, pantai timur dan sebagainya. Ia sangat mencabar. Harapan kita, kepada pengundi perlu menilai sebaik-baiknya,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Klik di sini untuk terus membaca