SHAH ALAM - Exco Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun menyatakan Barisan Nasional (BN) terbukti mempunyai struktur organisasi yang teratur dan kukuh demi menjadi sebuah kerajaan yang stabil.
Justeru menurutnya, tawaran yang diberikan menerusi Iktiar BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga wajar dijadikan sandaran untuk para pengundi khususnya golongan muda memilih calon daripada BN.
"Jadi saya percaya antara tawaran diberikan BN dalam Ikhtiar BN terutama kepada anak muda mampu menjadi kekuatan antaranya, pemberian RM1,000 kepada anak muda yang baru berkahwin, RM500 kepada mahasiswa daripada golongan keluarga B40.
"BN juga menyediakan transit rumah kepada anak muda dan menyediakan program sewa beli.
"Di samping itu BN mengangkat calon BN yang mungkin dipilih sebagai calon Parlimen," katanya ketika menjadi panelis Program Wacana Edisi ke-328 bertajuk 'Last Kick Off' Untuk Bangsa Johor disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program dikendalikan oleh Nani Roslan itu turut menampilkan Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid; Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor, Hilman Idham; dan Ketua Pejuang Muda Malaysia, Dr Abu Hafiz Saleh Hudin sebagai panelis.
Dalam pada itu, Dr Masliha menambah, pihaknya percaya mampu menarik undi golongan muda termasuk pengundi pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik pada PRN kali ini.
"Jika kita lihat siri PRN Melaka, Sarawak dan Sabah, pemberian undi oleh golongan muda kepada BN telah meningkat," katanya.
Ujar beliau lagi, faktor calon muka baharu yang diketengahkan termasuk calon menteri besar iaitu Datuk Seri Hasni Mohammad juga memberi kekuatan besar buat BN.
"BN mempertaruhkan 85 peratus calon muka baharu antaranya 16 calon anak muda tujuh daripada calon Puteri dan Pemuda. Lapan daripada MCA, satu daripada MIC.
"Tidak lupa juga calon Menteri Besar, Datuk Seri Hasni yang sangat berkaliber, berkarisma dan sangat berpengalaman luas dalam mentadbir Johor sebelum ini," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca