DEMI melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, Sarjan Shariff Jan sanggup berpisah dengan anak dan isterinya untuk menyertai misi bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja pada tahun 1991.
Shariff, 66, berkata, beliau meninggalkan isteri, Hasmah Abd Rahman dan empat anaknya berusia sembilan bulan hingga 10 tahun demi mengalas amanah dan tanggungjawab sebagai anggota polis yang telah terpilih untuk menyertai misi tersebut.
"Siapa sahaja pasti merasa sedih berjauhan daripada keluarga, namun tanggungjawab dan amanah yang digalas perlu ditunaikan sehabis baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MISI 18 BULAN DI KEMBOJA
Menurut Shariff, misi selama 18 bulan itu bukan sahaja mencabar, malah turut memberikan pengalaman berharga.
"Misi tersebut adalah fasa Pemerintahan Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kemboja (UNTAC) berikutan pemeteraian Perjanjian Keamanan Paris atau Paris Peace Accords 1991," katanya.
Jelas beliau, penugasan berkenaan turut memberi bantuan kepada pasukan polis Kemboja selain menubuhkan Balai Polis PBB yang dinamakan sebagai civilian police (Civ-Pol).
"Sebanyak 78 buah negara di seluruh dunia telah menghantar anggota dan pegawai polis untuk menjayakan misi tersebut.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menghantar seramai 247 pegawai kanan dan anggota berpangkat rendah," katanya.
Shariff memberitahu, pasukan polis pengaman PBB itu tidak dibenarkan membawa senjata ketika bertugas kerana keadaan tidak mengancam keselamatan.
"Kami ditugaskan sebagai pemerhati serta pengawasan, kerja-kerja lain dilaksanakan oleh polis Kemboja dan tentera PBB yang lengkap bersenjata," katanya.
Antara tugas yang pernah beliau terlibat adalah kawalan dan pemerhati ketika berlaku perletakan senjata bagi pihak-pihak yang bertelagah di Kemboja.
"Tugas polis PBB juga memantau keselamatan orang awam ketika mereka keluar mendaftar di Pusat Pendaftaran Pengundi.
"Kami juga mengawal keselamatan ketika penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi pada pilihan raya di Kemboja apabila perang tamat," ujarnya.
Shariff memaklumkan bahawa penugasan di Kemboja itu adalah pengalaman kerja yang tidak dapat dilupakan.
BERKHIDMAT 15 TAHUN BERSAMA PASUKAN POLIS HUTAN
Shariff mula menyertai pasukan PDRM pada 1 Jun 1976 dan mendapat latihan asas kepolisan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur selama sembilan bulan.
"Selepas tamat latihan, saya telah diserapkan ke Cawangan Batalion ke-5 Pasukan Polis Hutan (PPH) yang berpangkalan di Kem Briged Tengah Jalan Pekeliling Kuala Lumpur,” katanya.
Shariff memberitahu, beliau sempat melihat kesan motosikal serta kantin terbakar dalam tragedi berdarah di kem tersebut akibat serangan komunis pada 3 September 1975.
"Saya dimaklumkan tragedi itu telah mengorbankan dua anggota, 52 orang cedera, 18 orang daripadanya parah,” katanya.
Beliau berkata, selama 15 tahun berkhidmat dalam PPH, banyak pengalaman yang diperoleh khususnya ilmu medan perang di dalam hutan.
Menurutnya, operasi di hutan yang dilaksanakan mempunyai nama tersendiri dalam usaha menentang ancaman komunis.
"Operasi di hutan kebiasaannya selama lebih sebulan atau dua bulan, sebelum pasukan lain mengambil alih tugas tersebut.
"Kebanyakan operasi yang saya pernah terlibat adalah di Utara Semenanjung Malaysia termasuk kawasan sempadan,” katanya.
SEBAK LIHAT RAKAN PUTUS KAKI ANGKARA JERANGKAP SAMAR
Beliau pernah dua kali bertempur dengan pengganas komunis dalam Ops Topo.
"Serangan pihak komunis pada ketika itu adalah hit and run dan cuba melewat-lewatkan pergerakan pasukan keselamatan,” katanya.
Shariff memberitahu, perasaan takut muncul apabila terdengar tembakan daripada pengganas komunis.
"Saya juga bimbang terhadap keselamatan diri serta tujuh lagi rakan sepasukan. Selain itu, kita juga tidak dapat menjangka dari arah mana musuh akan melepaskan tembakan ketika berada di dalam hutan,” tambahnya.
Beliau turut berasa sebak apabila melihat salah seorang rakan sepasukan putus kaki selepas terpijak jerangkap samar ketika menyertai operasi menjejaki komunis.
"Pasukan saya bergerak secara taktikal, rakan saya itu berada di hadapan telah terpijak jerangkap samar yang dipasang musuh di bawah akar pokok,” katanya.
Menurut beliau, pada ketika itu tidak dapat digambarkan betapa sukar rakannya perlu menahan kesakitan sementara menunggu diterbangkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Shariff kemudian telah ditugaskan ke Maktab Pegawai Kanan Polis Kuala Lumpur di Cheras pada 1996.
"Saya telah berkhidmat di sana selama 17 tahun, tugas saya pada ketika itu adalah berkaitan kursus, jurugambar dan mengendalikan peralatan pandang dengar,” katanya.
Dalam tempoh 38 tahun berkhidmat dalam PDRM, beliau banyak mempelajari pelbagai ilmu dan pengalaman yang sukar dilupakan.
"Kisah suka duka dalam pasukan PDRM telah berlalu dengan penuh sejarah dan meninggalkan kesan mendalam terdapat diri saya.
"Seluruh warga PDRM perlu menjaga disiplin, jangan buat kerja sambil lewa dan sentiasa menjaga imej pasukan,” nasihat Shariff yang bersara pada tahun 2013.
Klik di sini untuk terus membaca