TERPERANGKAP ekoran pengambilalihan pantas Taliban di Kabul, Afghanistan pada Ogos lalu, perkhidmatan perisik Amerika Syarikat (AS) kemudian bertindak melakukan analisis terperinci tentang bila tarikh sebenar tentera Rusia menceroboh Ukraine.
Menurut beberapa pegawai AS kepada AFP, tentera Uncle Sam itu mengetahui bahawa pada awal Oktober 2021 terdapat pergerakan tentera Rusia di luar kebiasaan di sempadan Ukraine.
Moscow menyatakan tenteranya melakukan latihan biasa tetapi formasi di darat dilihat tidak sesuai dengan apa yang diperkatakannya.
Pentagon kemudian menyuarakan keprihatinannya itu kepada Rumah Putih dan perkhidmatan perisikan AS dengan cepat berusaha untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang pergerakan tentera Rusia tersebut.
Sebahagian kakitangan Presiden AS, Joe Biden meragui Rusia mungkin merancang satu serangan besar di Ukraine tetapi pemimpin AS itu memandang serius situasi itu.
Pada 2 November tahun lalu, Biden menghantar Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Bill Burns yang juga bekas Duta Besar ke Rusia mengunjungi Moscow untuk mengadakan perbincangan dengan Presiden negara berkenaan, Vladimir Putin.
Burns yang boleh berbahasa Rusia memberitahu Putin bahawa Washington mempunyai kebimbangan serius mengenai pergerakan tenteranya, lapor CNN pada masa itu.
Sejumlah kolonel daripada bahagian perisikan AS kemudian meneliti maklumat yang diterima daripada penganalisis CIA dan perkhidmatan pendengaran di Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) untuk berusaha menentukan rancangan serangan Rusia tersebut.
Pada bulan Januari lalu, kerja-kerja perisikan itu menyebabkan kolonel-kolonel AS menyusun peta yang meramalkan bagaimana tentera Rusia akan menyerang Ukraine iaitu dari utara menuju Kiev, dari timur melalui Kharkiv dan dari selatan melalui Mariupol di Ukraine.
Ingin mengatasi konflik bersenjata, pentadbiran Biden dengan cepat membuat keputusan dengan mendedahkan sejumlah maklumat rahsia tentang persiapan perang Rusia.
Pada awal Februari lalu, jurucakap Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon, John Kirby menyatakan Moscow akan menghasilkan video propaganda yang akan menunjukkan mayat-mayat dan pelakon-pelakon yang digambarkan sebagai orang-orang yang sedang berkabung.
Ia bagi menunjukkan situasi yang berlaku akibat serangan Ukraine dan akan dijadikan alasan Rusia untuk melakukan pencerobohan ke atas negara berkenaan.
Tidak lama kemudian wartawan-wartawan dijemput untuk bertemu dengan pegawai perisik kanan yang sebelum itu hampir tidak pernah bercakap dengan media.
Pegawai tersebut menyatakan bahawa Rusia sedang meningkatkan persiapannya untuk melakukan serangan ketenteraan besar di Kiev.
Wartawan-wartawan itu ditunjukkan dengan peta dan pergerakan tentera Rusia yang diramalkan.
Malah, mereka diberikan tarikh serangan yang diharapkan iaitu pada pertengahan Februari setelah berakhirnya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing di China.
Senario yang ditawarkan pada hari itu kepada pihak media sebenarnya disambut dengan keraguan di Eropah.
Tarikh tepat serangan akhirnya dianjakkan lagi selama beberapa hari.
Namun, pentadbiran Biden begitu yakin bahawa kepintarannya betul dan pada petang 23 Februari lalu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyatakan bahawa beliau percaya pencerobohan akan bermula sebelum malam itu berakhir.
Bagaimanapun, pada awal pagi 24 Februari lalu, tentera Rusia menyerang Ukraine.
Terdapat beberapa ramalan yang tidak betul dalam perang Ukraine itu.
Penganalisis-penganalisis AS tidak dapat meramalkan bahawa penduduk Ukraine akan mempertahankan negara mereka dengan begitu sengit.
Kiev juga diramalkan akan dikuasai tentera dalam tempoh 48 jam dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy akan berjaya digulingkan dengan segera dan digantikan dengan seorang pemimpin pro-Rusia.
Namun, ketika pencerobohan memasuki minggu ketiga, ibu negara Ukraine masih belum dapat dikuasai tentera Rusia.
Pihak perisikan AS juga bimbang tentera Ukraine akan cepat lumpuh disebabkan oleh serangan siber Rusia yang kemudian tidak menjadi kenyataan.
Ia juga menganggarkan bahawa perang di Ukraine boleh menyebabkan korban jiwa yang mengerikan dengan 25,000 hingga 50,000 orang awam terbunuh, seramai 25,000 tentera Ukraine terkorban dan sehingga 10,000 anggota tentera Rusia maut.
Jumlah pelarian pula diramalkan ialah antara satu hingga lima juta pelarian dengan ramai menuju ke Poland. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca