HARI ini seluruh warga negeri Johor akan keluar mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15. Justeru, ada baiknya kita membedah maksud dan kepentingan mengundi yang sering dipandang ringan berbanding pilihan raya itu sendiri.
Umum mengetahui bahawa pilihan raya merupakan ciri terpenting dalam sistem demokrasi. Sebab itu pilihan raya menjadi kaedah mudah membezakan negara yang demokrasi dengan tidak demokrasi. Tambahan pula pilihan raya turut menjadi komponen terpenting dalam sistem demokrasi kerana itulah mekanisme asas dalam membentuk kerajaan dan pemerintahan.
Namun, kesemua itu tidak akan bermakna tanpa pengundi yang mengundi. Walaupun undang-undang tidak mewajibkan setiap warganegaranya untuk mengundi, ia tetap bahagian terpenting dalam pemerintahan. Dengan mengundi kita telah menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara kepada negara.
Ringkasnya mengundi adalah struktur paling asas untuk keseluruhan sistem demokrasi kita. Oleh sebab itu mengundi adalah hak demokrasi rakyat yang paling asas dalam sesebuah negara. Mungkin sukar untuk memastikan penglibatan secara langsung dan aktif warganegara dalam politik, sebab itulah mengundi dilihat jalan paling mudah dan berkesan bagi sekurang-kurangnya memastikan proses demokrasi berfungsi dengan baik.
Persoalannya mengapa kita perlu, kalaupun tidak wajib untuk mengundi? Pertama mengundi bukanlah sekadar mekanisme memilih siapa yang menjadi kerajaan. Konsep mengundi adalah lebih daripada itu. Mengundi adalah alat untuk memastikan pembangunan dan pemantapan seluruh aspek pemerintahan – pentadbiran, penguatkuasaan dan pemantauan – berjalan dengan berkesan.
Kerajaan hanyalah sebahagian daripada institusi pemerintahan. Siapa juga yang memerintah, aspek kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam pemerintahan adalah tunjang utama yang harus dipertahankan. Dalam hal inilah mengundi sepatutnya menjadi lebih bermakna kerana ia akan menjadi alat ‘semak dan imbang’.
Kedua dengan mengundi kita sebenarnya memperkasakan ekosistem yang membentuk keseluruhan aspek berkerajaan. Pengundi bukan sahaja memilih anggota legislatif dan eksekutif, tetapi turut mempertanggungjawabkan mereka dengan kuasa penuh pemerintahan. Justeru, konsep konvensional tentang mengundi ini sepatutnya lebih meluas daripada sekadar memilih kerajaan.
Sebab itu konsep mengundi mesti dibentuk berdasarkan kerangka pemerintahan yang inklusif berbanding elektoral yang sempit. Masalahnya setiap kali pilihan raya berlaku, aspek elektoral lebih menonjol melebihi yang sepatutnya. Mengundi diperincikan dengan konteks persaingan yang menawarkan sesuatu bersifat material. Oleh sebab itulah pengundi hanya melihat undi sebagai alat berbanding menjadi matlamat.
Akhirnya mengundi menjadi sekadar suatu rutin. Lebih malang ia bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh John Locke tentang pemerintahan bahawa mengundi adalah proses membentuk ‘persetujuan mereka yang diperintah’ (consent of the governed), kerana mana-mana kerajaan tidak boleh dianggap sah jika tidak membenarkan warganya untuk memilih peraturan dan pemerintahnya.
Justeru, meletakkan makna pengundian dalam konsep teori yang betul serta keluar daripada konteks konvensional sangat penting. Kalau mengundi hanya sekadar memilih kerajaan, maka proses demokrasi hanya sekadar kewajipan untuk mengadakan pilihan raya semata-mata. Hasilnya, ia turut meminimumkan kepentingan mengundi sebagai hak demokrasi dan akan menyebabkan pengundi terpinggir daripada memahami makna sebenar mengundi dan sistem pilihan raya.
Buat warga Johor, kalian hari ini mempunyai peluang untuk mengubah makna mengundi dan memperkasakan maksudnya yang sebenar.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca