KES Covid-19 terus meningkat dengan jayanya. Di mana-mana ada sahaja dikhabarkan terkena jangkitan. Di mana-mana juga, akan ada perkhabaran menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin. Tahun ini di pejabat saya, ada sahaja didapati positif... Klik di sini untuk terus membaca

KES Covid-19 terus meningkat dengan jayanya. Di mana-mana ada sahaja dikhabarkan terkena jangkitan. Di mana-mana juga, akan ada perkhabaran menjadi kontak rapat dan perlu dikuarantin.

Tahun ini di pejabat saya, ada sahaja didapati positif dan menjadi kontak rapat. Seperti biasa, akan ada bertanya terutama mereka tidak bergejala: "Kena kuarantin juga ke? Saya tidak ada apa-apa, sihat sahaja.”

Seorang kawan saya yang sihat walafiat dan sentiasa gembira bagai kera mendapat pisang, juga telah dikuarantin disebabkan positif. Apabila diberitahu perlu kuarantin, mimik mukanya terus muram bagai pelita kehabisan minyak. Tidak sanggup lagi katanya duduk di rumah tidak buat apa-apa.

Hari keempat kuarantin, pantas dia bertanya: "Saya dah sihat. Dah boleh kerja ke? Bosan ni.”

Hari terakhir kuarantin, dengan pantasnya dia membuat sekali lagi ujian kendiri. Keputusannya negatif dan dengan pantas juga katanya, dilemparnya ujian kit untuk keluar membeli burger dan melepak di warung menikmati teh tarik.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan prosedur terbaharu untuk kuarantin, antaranya untuk kontak rapat, jika sudah menerima suntikan penggalak dan tidak bergejala, tidak perlu lagi kuarantin.

Kalau yang masih degil tidak mahu ambil dos penggalak, maka terpaksalah kuarantin terlebih dahulu jika menjadi kontak rapat walaupun tidak bergejala. Isunya sekarang, bagaimana pula polisi syarikat?

Kebanyakan kes melibatkan orang-orang yang bekerja dan kebanyakan syarikat mungkin sudah tidak ada lagi polisi bekerja di rumah. Perlu hadir fizikal untuk bekerja.

Syarikat saya pun begitu. Kami perlu hadir secara fizikal disebabkan kerja kami melibatkan kerja di tapak pembinaan. Mesyuarat pun kebanyakan secara fizikal. Namun, masih ada panggilan mesyuarat bersama jabatan kerajaan dibuat secara dalam talian.

Saya pun sudah lama tidak menghadiri mesyuarat secara fizikal bersama pihak berkuasa tempatan bagi menghindarkan diri menjadi kontak rapat atau dijangkiti. Peritnya rasa apabila dikuarantin.

Setakat hari ini sudah dua kali saya dikuarantin. Mula-mula selama 14 hari kerana menjadi kontak rapat dan terpaksa memakai gelang. Kali kedua, dikuarantin tujuh hari, juga disebabkan kontak rapat.

Ketika itu masih di pejabat apabila mendapat berita salah seorang pekerja di tapak binaan positif. Pegawai Sumber Manusia telah menghalau kami untuk balik ke rumah.

Baru-baru ini seorang rakan sekerja juga terpaksa dikuarantin. Keadaannya agak berbeza kerana anak pertamanya positif, maka dia sebagai ibu terpaksa menjaga anaknya yang masih kecil.

Habis kuarantin anak pertama, anak keduanya pula positif. Maka, sekali lagi dia terpaksa menyambung kuarantin. Dia menjalani kuarantin mungkin lebih 10 hari dan tidak dapat hadir ke tempat kerja.

Saya bertanya Pegawai Sumber Manusia: "Kalau keadaan begitu, macam mana? Kena ambil cuti tahunan?

Pegawai berkenaan yang sentiasa menggelengkan-gelengkan kepala apabila ditanya berkata: ”Saya pening, saya pening.”

Saya beri cadangan: "Boleh sahaja potong cuti sakit. Cuti sakit pun setiap tahun, ramai sahaja yang bakinya banyak.”

"Tak tahu lagi, tengah fikir. Mungkin kena potong cuti tahunan. Lebih-lebih lagi kalau ada yang tak ambil dos penggalak,” katanya yang masih memicit-micit kepalanya.

"Kalau begitu, kontak rapat atau mereka yang perlu menjaga anak kecil positif, bila potong cuti tahunan, cepatlah habisnya. Tak sampai akhir tahun lagi, sudah habis cuti. Nanti nak ambil cuti raya pun tak cukup. Dah dua tahun tak beraya ni,” kata saya lagi.

"Tengah fikir, tengah fikir,” katanya.

"Kalau tidak pun, buatlah polisi baharu, buat cuti kuarantin tahunan. Cuti sakit mungkin boleh dikurangkan melihat kepada keadaan pola pekerja pada tahun sebelumnya. Boleh buat anggaran, kemudian masukkan dalam cuti kuarantin,” cadang saya lagi.

Pegawai Sumber Manusia menjerit: "Saya pening! saya pening!”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca