SECARA umumnya, penilaian masyarakat terhadap kebijaksanaan individu diukur berdasarkan tahap pendidikan mereka. Ia bermakna, lagi tinggi tahap pendidikan seseorang, lagi cerdiklah mereka berbanding dengan orang lain. Apabila tahap... Klik di sini untuk terus membaca

SECARA umumnya, penilaian masyarakat terhadap kebijaksanaan individu diukur berdasarkan tahap pendidikan mereka. Ia bermakna, lagi tinggi tahap pendidikan seseorang, lagi cerdiklah mereka berbanding dengan orang lain.

Apabila tahap pendidikan menjadi kayu ukur kebijaksanaan manusia, tidak hairanlah jika nilai mas kahwin turut bersandarkan kepada tahap pendidikan tersebut. Persoalannya, adakah tahap pendidikan seseorang mencerminkan keperibadian mereka?

Sebetulnya, orang yang bijak tidak semestinya berperibadi mulia. Begitu juga orang yang berperibadi mulia tidak semestinya bijak. Justeru, hanya pendidikan sebenar yang dapat meninggikan ilmu dan memuliakan peribadi.

Pun begitu, konsep pendidikan adalah luas. Pendidikan tidak terbatas kepada pembelajaran sahaja tetapi melibatkan proses pendidikan di tempat kerja, alam perkahwinan, proses membesarkan anak-anak dan sebagainya.

Pendek kata, pendidikan sebenar adalah persediaan kita menghadapi cabaran kehidupan yang bukan sahaja menitikberatkan ilmu pengetahuan, malah memberi penekanan kepada elemen kebijaksanaan untuk menguruskan hidup dengan cekap dan berkesan.

Secara prinsipnya, pendidikan sebenar adalah suatu proses yang tiada penghujungnya untuk menjadikan manusia berperangai seperti manusia, bukan sebaliknya.

Oleh itu, kita perlu belajar, memupuk dan mengembangkan nilai yang baik dalam kehidupan bagi tujuan menghadapi halangan, cabaran serta keperitan dalam hidup. Justeru, jika hadapi masalah, mereka dapat uruskan dengan bijaksana.

Merujuk kepada Jurnal Hadhari Edisi Khas (2012) 7-22, perkataan pendidikan dalam bahasa Melayu adalah daripada kata dasar didik yang membawa maksud jaga, pelihara dan ajar serta sinonim dengan ajaran, latihan, tarbiah, pelajaran, bimbingan, asuhan serta tunjuk ajar.

Menurut perspektif Islam, pendidikan adalah satu pelajaran atau pendidikan bagi kognitif, fizikal dan roh untuk melahirkan insan yang berperikemanusiaan.

Lantaran itu, pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, memperbaiki, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada ALLAH SWT, membentuk sikap sopan serta beradab dan berusaha memadamkan sifat tercela yang ada dalam diri mereka.

Merujuk kepada fenomena hari ini, adakah kita telah terdidik dengan pendidikan sebenar secara holistik dan komprehensif?

Pada hemat saya, kita masih belum terdidik sejauh itu. Apa hujahnya? Secara realiti, sikap kepentingan diri masih menebal, tidak malu dan rakus mengambil hak orang lain serta suka menghukum dan mempersendakan seseorang masih menjadi tema yang unggul dalam masyarakat.

Malah, perbuatan yang suka menonjolkan diri sendiri dengan ‘ketagih’ membuat lintas langsung menerusi platform media sosial telah menjadikan ‘pendidikan sebenar’ mereka suatu tanda tanya.

Natijahnya, apabila perbuatan tersebut terpalit mengaibkan diri sendiri, mulalah menggelabah tonjolkan permainan emosi untuk mendapatkan simpati.

Hakikatnya, masyarakat sekarang seakan-akan seperti tiada pedoman dan kawalan dalam kehidupan kerana hanya bersandarkan kepada agama yang dianuti tanpa berusaha menterjemahkan agama tersebut dalam kehidupan mereka.

Sepatutnya, mereka sentiasa mengambil pelajaran dan pedoman terhadap setiap perkara yang telah dilalui sebelum ini.

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman: "Katakanlah lagi (kepadanya), adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Surah al-Zumar, 39:9).

Ingatlah, tingkah laku kita hari ini adalah refleksi daripada pendidikan sebenar yang telah dilalui. Selaras dengan itu, kita perlu merangka 'personal growth' atau perkembangan diri dari masa ke masa agar tidak dilabel seperti ‘perangai tidak berubah walaupun sudah tua’ atau ‘kubur sudah kata mari, namun masih galak memuja bumi’ dan sebagainya lagi.

Oleh itu, strategi pengayaan ilmu dan bersedia menerima perubahan adalah teras pendidikan sebenar.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca