KEBANYAKAN rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan kesamaan jantina antara lelaki dan wanita yang akan terus bertambah baik merentasi organisasi dan sektor. Enam daripada lapan jawatan kepimpinan kanan di Institute for Democracy and Economic... Klik di sini untuk terus membaca

KEBANYAKAN rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan kesamaan jantina antara lelaki dan wanita yang akan terus bertambah baik merentasi organisasi dan sektor.

Enam daripada lapan jawatan kepimpinan kanan di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) disandang oleh wanita, sebagai tambahan kepada jawatan ketua pegawai eksekutif atau pengerusi di syarikat-syarikat tersenarai awam, yayasan kebajikan, organisasi muzik dan institusi akademik di mana saya berkhidmat.

Di pelbagai tempat, satu budaya mencari kesamaan jantina telah diterapkan dengan proses pengambilan pekerja, latihan dan kenaikan pangkat dirancang sedekad lebih awal untuk memastikan kesamaan jantina di setiap peringkat.

Tetapi di tempat lain, kesamaan jantina cuma dilihat sebagai satu pelengkap, keperluan minimum untuk melepaskan diri daripada dikritik. Namun, ketakutan diaudit oleh masyarakat sivil dan pihak media boleh membantu perubahan sikap seiring dengan bukti bahawa kesamaan jantina membawa kepada inovasi serta produktiviti yang lebih baik.

Walaupun begitu, institusi politik negara kita masih mempunyai perjalanan yang panjang kerana kurang daripada 15 peratus ahli Parlimen di Dewan Rakyat terdiri daripada wanita.

Hanya sejumlah kecil wanita yang menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Terdapat 37 orang calon wanita daripada keseluruhan 239 orang calon yang akan merebut 56 kerusi. Hal itu mempunyai perkaitan dengan pemilihan calon, rata-rata parti masih lagi menjadikan pemimpin parti yang menentukan kata pemutus.

Pendemokrasian pemilihan calon mungkin akan meningkatkan kesamaan jantina dan kebertanggungjawaban. Walaupun undang-undang anti lompat parti akan dilaksanakan, hal ini memberikan penentangan kepada aktiviti lompat parti kerana ahli-ahli Parlimen akan berasa lebih setia kepada ahli parti berbanding kepada pemimpin parti.

Sebagaimana yang diperkatakan kebelakangan ini, kesamaan jantina bukanlah satu jaminan kepada prestasi atau integriti. Kuota terutamanya akan dikritik apabila individu-individu dilantik melalui sistem ini menunjukkan prestasi yang tidak menepati jangkaan.

Oleh itu, untuk jangka masa panjang perubahan dasar yang lestari amat diperlukan.

Budaya merupakan satu elemen penting dalam membentuk sikap yang diperlukan − contoh dari rumah, dalam masyarakat meluas dan media terkenal. Satu lagi elemen penting adalah pendidikan iaitu dalam beberapa tahun kebelakangan ini kita melihat kes-kes buli terhadap pelajar perempuan dan tuduhan gangguan seksual yang mengejutkan oleh guru serta figura berautoriti lain.

Kita sudah maklum untuk beberapa tahun ini lebih ramai wanita yang memasuki universiti di Malaysia berbanding lelaki, hanya lebih menyerlahkan lagi ketidakseimbangan politik yang tidak masuk akal, jurang gaji antara jantina yang berterusan dan menimbulkan persoalan lebih meluas tentang ganjaran yang diberikan untuk kecerdasan dan merit dalam masyarakat kita.

Namun di media sosial, ketelusan mengenai gaji – terima kasih kepada akaun Instagram ‘Malaysian Pay Gap’ – mencetuskan perbahasan baharu tentang amalan majikan dan jangkaan pekerja.

Pembaharuan yang dikehendaki untuk masyarakat awam sering kali mempunyai kesan tertentu kepada wanita, contohnya baru-baru ini IDEAS bersuara bahawa gaji minimum perlu dinaikkan setiap dua tahun dan kenaikan ini terutamanya akan memberi manfaat kepada golongan wanita berpendapatan rendah yang menanggung keluarga.

Masyarakat sivil Malaysia juga terhutang budi kepada para aktivis dan pendokong perintis yang telah memberikan contoh terawal organisasi masyarakat sivil yang berjaya. Pada zaman merdeka, Raja Permaisuri Agong yang pertama telah menubuhkan dan menyokong pelbagai organisasi seperti Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan, Persatuan Pandu Puteri dan sebagainya.

Pada hari ini, Tunku Kurshiah dikenali melalui sebuah sekolah yang mengabadikan nama baginda yang telah melahirkan ramai pemimpin wanita.

Satu contoh jelas perubahan perundangan langsung oleh pertubuhan masyarakat sivil ialah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, melalui usaha pelbagai gabungan seperti Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina.

Ketika kemuncak epidemik HIV/AIDS, walaupun 99 peratus pesakit yang dijangkiti adalah lelaki, organisasi-organisasi wanita yang telah menggariskan bahawa lelaki-lelaki tersebut masing-masing mempunyai isteri, teman wanita dan anak-anak yang berpotensi dijangkiti.

Hari ini, kumpulan seperti Family Frontiers yang telah berjaya membantu mendapatkan kejayaan bersejarah iaitu ibu-ibu kini boleh mendapatkan kerakyatan Malaysia untuk anak mereka.

Saya berharap kerja yang kami lakukan di IDEAS ke arah Malaysia yang berasaskan kepada kebebasan dan keadilan yang terdapat dalam tunjang-tunjang Ekonomi dan Perniagaan, Kewangan Awam, Demokrasi dan Tadbir Urus serta Dasar Sosial kami ini memberikan penghormatan kepada pelbagai organisasi yang telah merintis jalan untuk advokasi berdasarkan penyelidikan, yang kerap kali untuk tujuan berkaitan dengan wanita.

Beberapa pengkritik mengecam liberalisme berkaitan usaha-usaha ini apabila hak asasi manusia dan demokrasi dianggap sebagai perkataan kod untuk imperialisme Barat. Saya menasihati pengkritik-pengkritik ini untuk berbicara dengan individu-individu yang kehidupan mereka menjadi bertambah baik disebabkan oleh perubahan undang-undang.

Dan sudah tentu, jangan dilupakan bahawa kita turut mempunyai tradisi demokrasi dan pemerkasaan wanita tersendiri seperti yang dibuktikan oleh Adat Perpatih Negeri Sembilan dan peristiwa-peristiwa bersejarah Minangkabau berabad lalu.

Saya berharap hal ini tidak akan mengambil masa berabad lamanya untuk lebih banyak langkah ke arah mencapai kesamaan jantina, melalui gabungan pertubuhan masyarakat sivil dalam meningkatkan tekanan dan kesedaran dalam kalangan parti politik, sektor korporat serta masyarakat awam.

• Artikel ini diolah daripada ucapan penulis di Sidang Kemuncak Wanita Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) pada 8 Mac 2022

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca