SHAH ALAM - Masalah kelesuan politik, kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 dan kurang kesedaran dalam kalangan pengundi muda mungkin menjadi antara punca utama peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga jam 1... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Masalah kelesuan politik, kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 dan kurang kesedaran dalam kalangan pengundi muda mungkin menjadi antara punca utama peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga jam 1 tengah hari tadi hanya sekitar 35 peratus sahaja.

Penganalisis politik merangkap Ketua Penyelidikan Ilham Center untuk PRN Johor, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, pihaknya memang sudah menjangkakan fenomena seumpama itu akan berlaku pada PRN Johor hari ini.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya menjangkakan jumlah peratusan keluar mengundi keseluruhan pada PRN Johor kali ini adalah sekitar bawah 70 peratus daripada kira-kira 2.59 juta pengundi berbanding PRN Melaka iaitu 65.85 peratus.

Beliau berkata, kajian dilakukan oleh Ilham Centre sebelum ini menunjukkan besar kemungkinan ramai dalam kalangan pengundi muda, golongan mempunyai status ekonomi agak tinggi terutama di bandar dan pinggir bandar tidak keluar mengundi kerana mereka menghadapi masalah kelesuan politik atau menyampah dengan senario dan drama politik negara sekarang.

DR MOHD YUSRI

"Ramai juga pengundi Cina terutama pengundi luar Johor dan mereka bekerja di Singapura tidak pulang mengundi kerana mereka sudah balik ke kampung halaman dan berbuat demikian semasa sambutan Tahun Baharu Cina, awal Februari lalu.

"Oleh kerana tarikh Tahun Baharu Cina dan PRN Johor terlalu rapat maka mereka tidak akan pulang kali kedua pada bulan sama untuk mengundi hari ini.

"Saya juga berpandangan ramai dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun mungkin tidak akan keluar mengundi kerana kurang kesedaran mengenai kepentingan menunaikan tanggungjawab masing-masing susulan tidak banyak program pendidikan dilakukan oleh pihak berwajib," katanya ketika diminta mengulas mengenai jumlah peratusan keluar mengundi yang lebih rendah pada PRN Johor berbanding 36 peratus di PRN Melaka, pada jam 1 tengah hari.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata biarpun, terdapat hampir sejuta pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang didaftarkan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRN Johor, namun tiada program pendidikan dilakukan untuk memberikan kesedaran kepada mereka mengenai peranan dan kepentingan untuk keluar mengundi hari ini.

"Malah, apabila kami turun membuat kaji selidik di lapangan ramai pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun masih sama dengan peranan mereka kerana baru sahaja lepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terkejut kerana perlu membuat satu keputusan yang besar untuk negara.

"Ini kerana sistem pendidikan di sekolah menengah rendah dan atas bukan bertujuan melahirkan individu yang mempunyai kemahiran berfikir dengan baik dan pada masa sama kita suruh mereka terus mengundi," katanya.

FAKTOR PENGUNDI CINA

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, antara faktor utama peratusan keluar mengundi di PRN Johor rendah adalah kerana ramai pengundi luar terutamanya kaum Cina tidak balik mengundi susulan jangkitan kes Covid-19 tinggi di Johor.

Beliau berkata, ramai juga pengundi yang tinggal di Johor tetapi tidak dapat keluar mengundi kerana mereka positif Covid-19, manakala ahli keluarga pula menjadi kontak rapat.

"Mereka tidak keluar mengundi kerana SPR dan KKM sendiri tidak mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) khusus kepada individu positif Covid-19 dan kontak rapat untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Jadi ini mungkin menjadi salah satu faktor kenapa peratusan keluar mengundi untuk PRN Johor adalah lebih rendah daripada PRN Melaka setakat ini," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium hari ini.

MOHD IZANI

400,000 PENGUNDI MUDA PELAJAR

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, antara faktor lain menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah adalah kerana mungkin ramai dalam kalangan pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun yang pertama kali boleh mengundi enggan berbuat demikian.

Beliau berkata kebanyakan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun memilih untuk tidak keluar mengundi kerana kurang desakan daripada ibu bapa dan pengaruh rakan sebaya.

"Saya rasa di UPM dan universiti lain memang ada sediakan pengangkutan bas untuk pelajar yang mahu pergi - balik mengundi namun ia terserah kepada mereka untuk membuat keputusan.

"Ini penting kerana saya difahamkan lebih 400,000 daripada pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun di PRN Johor adalah terdiri daripada pelajar universiti, kolej dan politeknik di seluruh negara," katanya

Bagaimanapun, Mohd Izani berkata, beliau menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRN Johor kali ini adalah sekitar antara 50 hingga 60 peratus sahaja sehingga tempoh pengundian tamat pada jam 6 petang ini.

Klik di sini untuk terus membaca