SHAH ALAM - Kadar peratusan keluar mengundi sangat rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi isyarat kecenderungan pengundi Cina kekal menyokong parti pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) tidak setinggi Pilihan Raya Umum... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar peratusan keluar mengundi sangat rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi isyarat kecenderungan pengundi Cina kekal menyokong parti pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) tidak setinggi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengurus Besar Unit Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Abdul Munir berkata, senario itu sekali gus mencetuskan kemungkinan segmen pengundi Cina yang mewakili hampir 40 peratus daripada keseluruhan 2.6 juta pemilih berdaftar Johor, tidak lagi dianggap sebagai 'deposit tetap' PH mahu pun DAP.

Menurutnya, perkara itu dapat dilihat menerusi kurangnya penglibatan kaum itu untuk turun mengundi pada PRN Johor kali ini, meskipun kadar peratusan mengundi kaum Cina adalah berbeza-beza di keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelas beliau, majoriti pengundi Cina yang ditemuramah IDE sebelum ini turut dilihat lebih dinamik mempertimbangkan implikasi tawaran pilihan raya parti-parti bertanding terhadap masa hadapan perniagaan mereka, berbanding mengekalkan sentimen kepartian.

"Berikutan itu, segmen pengundi Cina di Johor kini terbahagi kepada tiga iaitu pengundi dinamik yang lebih memikirkan sudut parti mana yang mampu memberi manfaat kepada kemajuan perniagaan mereka, pengundi tegar yang mengekalkan sentimen kepartian dan kelompok enggan keluar mengundi.

"Berdasarkan kajian sikap dibuat, pecahan ketiga-tiga segmen ini adalah tidak ketara dan keadaan ini sebenarnya memberi isyarat tidak baik kepada parti-parti dalam PH terutama DAP sendiri," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

PRN Johor kali ini menyaksikan seramai 239 calon daripada 15 parti politik akan bertanding merebut 56 kerusi DUN.

Sebanyak 1,021 pusat pengundian dibuka bagi membolehkan 2,539,606 pengundi biasa pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka sehingga jam 6 petang.

PRN Johor ini juga adalah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi bagi memilih wakil rakyat, melibatkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.

Kecenderungan pengundi Cina untuk kekal menyokong PH pada PRN Johor tidak setinggi PRU14, dengan segmen pengundi dinamik kaum itu berkemungkinan berpihak kepada BN.

Setakat Jumaat, majoriti kajian badan pemikir politik tanahair meramalkan UMNO-BN bakal menang besar sekurang-kurangnya 35 kerusi DUN, sekali gus berpotensi menubuhkan kerajaan baharu Johor secara bersendirian.

Mengulas lanjut, Khairul Ariffin tidak menolak kemungkinan segmen pengundi Cina yang bersifat dinamik akan lebih cenderung mengalihkan sokongan kepada calon MCA dan BN.

Hal ini kerana mereka berpandangan impak pelaksanaan sesebuah PRN adalah berbeza dengan PRU, di mana PRU merupakan platform paling penting bagi menentukan bentuk pentadbiran kerajaan Pusat.

"Kedudukan kerajaan Pusat yang diterajui BN juga merupakan faktor penting mengapa sebilangan pengundi dinamik kaum Cina lebih cenderung memilih kerajaan negeri daripada koalisi sama.

"Mereka merasakan pembentukan kerajaan negeri berselari dengan kerajaan Pusat akan dapat memberi manfaat kepada persekitaran perniagaan mereka, berbanding cenderung mengekalkan sokongan kepada parti pembangkang," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Khairul Ariffin turut menjelaskan faktor lain kadar peratusan keluar mengundi PRN Johor sangat rendah berkemungkinan disebabkan ramai golongan muda yang masih terikat dengan komitmen pekerjaan.

Selain itu, beliau turut dimaklumkan sebilangan besar pengundi luar tidak dapat pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi atas sebab-sebab tidak dikenal pasti.

"Mungkin faktor kelesuan politik menjadi punca. Selain itu, faktor peningkatan kes jangkitan Covid-19 akibat varian Omicron juga turut memberi kesan kepada keterujaan pengundi untuk keluar mengundi.

"Tetapi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memastikan kempen PRN Johor dapat diadakan dengan lebih terbuka, tiada alasan lagi bagi parti-parti bertanding untuk gagal memujuk penyokong mereka pulang mengundi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca