SHAH ALAM - Peratusan keluar mengundi disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 sebanyak 70 peratus dilihat gagal dicapai apabila hanya 50 peratus direkodkan keluar mengundi setakat jam 4 petang tadi.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah telah dijangka disebabkan beberapa faktor.
"Ramai pemerhati dan penganalisis menjangkakan peratusan keluar mengundi yang rendah setakat 50 peratus atau kurang pada PRN Johor ke-15 antaranya disebabkan sindrom kelesuan atau keletihan politik yang dihadapi pengundi,” kata Kartini kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Ujar beliau, kelesuan politik merangkumi beberapa faktor antaranya pilihan raya terlalu kerap, rasa kurang yakin terhadap parti dan pemimpin serta merasakan undi tidak penting kerana tiada perubahan.
"Antara contoh melihat kepada kemelut berturut-turut melibatkan ketidakstabilan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah berlaku sebelum ini antaranya di negeri Perak dan Melaka mungkin menyebabkan pengundi di Johor merasa tiada gunanya keluar mengundi,” katanya.
Kartini menambah, faktor kurang kesedaran dan kefahaman dalam kalangan pengundi bahawa mereka seharusnya keluar mengundi untuk memilih ahli DUN untuk tempoh lima tahun akan datang turut menyumbang kepada peratusan rendah.
"PRN ini tidak boleh disamakan dengan Pilihan Raya Umum kelak di mana mereka hanya akan mengundi untuk wakil Parlimen sahaja,” katanya lagi.
Untuk rekod, peratusan keluar mengundi pada PRN Johor ke-15 adalah jauh lebih rendah berbanding PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang mencatat 65.85 peratus dan PRN Sarawak ke-12 pada 18 Disember 2021 yang merekodkan 60.67 peratus.
Ditanya sama ada Undi18 tidak membantu memberi impak besar dalam meraih peratusan undi lebih tinggi, Kartini berkata, anak muda berusia 18 tahun kebanyakannya tinggal bersama keluarga masih ada sikap kebergantungan terhadap ibu bapa.
"Contoh mudah, kalau ibu bapa tidak keluar mengundi maka besar kemungkinan anak-anak (berusia 18 tahun yang layak mengundi) itu juga akan tidak keluar mengundi,” katanya lagi.
Selain itu, kebanyakan anak muda berusia 18 tahun ke atas kini kebanyakannya bekerja sama ada sepenuh atau separuh masa terutama dalam sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan.
"Ketiadaan insentif atau pampasan untuk menanggung ‘rugi’ mereka sekiranya meninggalkan kerja untuk pergi mengundi juga boleh menjadi faktor peratusan mengundi dalam kalangan usia berkenaan adalah rendah sekali gus mempengaruhi peratus keseluruhan mengundi pada PRN Johor ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, peratusan keluar undi rendah di Johor juga disebabkan kelesuan terhadap pandemik Covid-19 ditambah pula dengan peraturan tambahan melibatkan mereka yang berstatus Individu Dalam Siasatan, Individu Dalam Pengawasan perlu mendapatkan surat kebenaran keluar daripada Pejabat Kesihatan Daerah.
Selain itu, kurang kemeriahan dalam proses kempen PRN kali ini juga menjadi antara faktor peratusan keluar mengundi adalah rendah.
Namun Kartini berkata, jumlah 50 peratus tersebut sekiranya ditambah dengan jumlah undi pos sebanyak 36,729 dan undi awal 18, 625 mana-mana parti yang menang boleh dikira mendapat kesahan (legitimasi).
"Daripada segi legitimasi sudah dikira separuh daripada seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor ke-15 kali ini dan ia sudah dikira bagus,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca