SHAH ALAM - Pengorbanan terbesar Parti Amanah Malaysia (Amanah) yang menyerahkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gred A kepada parti Muda memakan diri apabila parti itu hanya menang satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengorbanan terbesar Parti Amanah Malaysia (Amanah) yang menyerahkan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gred A kepada parti Muda memakan diri apabila parti itu hanya menang satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diumumkan setakat ini Amanah hanya menang satu daripada 16 yang ditandingi mereka.

Amanah menyerahkan empat kerusi kepada Muda dengan salah satu kerusi terbaik iaitu Puteri Wangsa.

Dengan kerusi Gred A itu calon Muda, Amira Aisya Abd Aziz diumumkan secara tidak rasmi menang di kerusi tersebut dengan majoriti besar lebih 6,000 undi sebentar tadi.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi penyelamat 'maruah' Amanah apabila kiraan tidak rasmi menang di DUN Simpang Jeram.

Setakat jam 11 malam tadi, Salahuddin mendahului calon lain dengan majoriti 1,901 undi.

Majoriti tersebut berdasarkan 62 daripada 69 saluran yang telah dikira di DUN Simpang Jeram.

Amanah juga kecewa di DUN Parit Yaani, apabila kiraan tidak rasmi Pengerusi Pakatan Harapan dan Amanah Johor, Aminolhuda Hassan tumbang di DUN tersebut dengan majoriti tipis 273 undi.

Aminolhuda dalam satu wawancara eksklusif dengan Sinar Premium sebelum ini berkata, parti itu berkorban menyerahkan kerusi Gred A kepada Muda kerana sebagai bapa yang baik parti mahu menyerlahkan potensi Muda.

"Apabila seorang 'anak' seperti Muda berpotensi menjadi bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo mahu pun Pele, Amanah perlu berfungsi sebagai seorang bapa untuk memberikan 'kasut bola sepak' terbaik kepada anak itu.

"Kalau kita beri, Muda ada kemampuan, kebolehan dan potensi. Tetapi kita beli kasut murah sahaja untuk mereka 'bermain bola'. Sedangkan potensi mereka besar. Maknanya kita cuba jatuhkan imej dan potensi besar yang ada pada mereka.

"Jadi, sudut ini yang Amanah tengok pada parti Muda. Kita kena tengok secara bersama. Biar maknanya Muda boleh 'bermain' di padang lebih baik dengan kelengkapan sukan lebih baik. Namun, bila kita beri sesuatu kepada Muda, bukan bermakna kita beri semua," katanya kepada Sinar Premium sebelum ini.

Dalam kiraan undi PRN Johor malam ini, Barisan Nasional menang besar apabila secara tidak rasmi menang 41 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Klik di sini untuk terus membaca