SEPERTI dijangka, ramalan Barisan Nasional (BN) bakal menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti dua pertiga sekiranya peratusan keluar mengundi rendah adalah terbukti benar.
Meskipun beberapa pemerhati politik pada mulanya mengunjurkan Perikatan Nasional (PN) bakal memberi cabaran sengit, mengambil kira faktor Johor merupakan negeri kelahiran Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun jangkaan tersebut tersasar.
Hakikatnya, kemaraan UMNO-BN mengulangi dominasi PRN Melaka dengan kemenangan 40 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN Johor, membuktikan sokongan rakyat negara ini termasuk segmen pengundi muda berusia 18 tahun hingga 20 tahun, kembali memihak kepada mereka.
Lebih mengejutkan, PRN Johor turut mengesahkan berlaku trend perubahan sokongan pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina terhadap UMNO-BN, walaupun mereka dianggap 'deposit tetap' Pakatan Harapan (PH) dan DAP sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).
Namun, PRN Johor kali ini lebih dianggap sebagai pilihan raya negeri paling hambar dalam sejarah negara susulan kadar peratusan keluar mengundi dicatatkan sangat rendah.
Dengan kadar peratusan keluar mengundi serendah 50 peratus sekitar jam 4 petang Sabtu, seorang penganalisis politik berpengalaman mengakui keadaan itu juga memberi kelebihan besar kepada UMNO-BN.PECAHAN UNDI
Menyerupai trend pengundian pada PRN Melaka, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana majoriti rakyat Johor masih bimbang dengan kes penularan Covid-19 yang tinggi di samping faktor kelesuan politik ketika ini.
"Namun faktor kedua menyumbang kemenangan besar BN pastinya disebabkan isu ketidaksepakatan parti-parti pembangkang terutama PH.
"Ini kerana strategi PH dan PKR menggunakan dua lambang pilihan raya berbeza memberi impak sangat negatif kepada pengundi di mana mereka tidak gemar melihat blok pembangkang berpecah," kata Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania di Australia, Profesor Dr James Chin kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Selain itu, PRN Johor menyaksikan episod kehadiran PN memecahkan undi PH pada PRN Melaka, berulang kembali.
Sudah pasti keadaan itu memberi impak besar terhadap peluang pembangkang termasuk PN dalam menyaingi BN, lebih-lebih lagi pecahan undi itu membabitkan pengundi atas pagar dan pengundi muda.
Pada masa sama, imej Muhyiddin sebagai bekas Menteri Besar Johor yang digembar-gemburkan masih berpengaruh di Johor dan mampu memacu kemenangan PN diwakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan, ternyata meleset.
"Saya fikir masalah lebih besar adalah dihadapi PH susulan tindakan protes pengundi Cina yang amat marah dengan DAP sejak PRN Melaka dan Sarawak.
"Hakikatnya ramai pengundi Cina tidak keluar atau pulang mengundi dengan ada sebahagian mereka yang mengalihkan sokongan kepada MCA kerana mahu memberi isyarat kepada PH dan DAP bahawa parti itu perlu melakukan pembaharuan drastik dari aspek kepimpinan," tegas James Chin lagi.
Satu lagi isu perpecahan dalam PH yang menyumbang kepada kekalahan koalisi itu adalah ketidaksepakatan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dalam menguruskan implikasi rundingan kerusi PRN Johor bersama Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).
Sebagai contoh, PKR dilihat seolah-olah kehilangan taring apabila sebilangan kerusi yang sepatutnya berpotensi ditandingi mereka, terpaksa diserahkan kepada Amanah dan seterusnya diberikan kepada Muda atas semangat kerjasama PH-Muda.
"Bagi Muda pula, dengan hanya berbekalkan kemenangan satu kerusi DUN Puteri Wangsa, ia membuktikan dakwaan kecenderungan pengundi muda lebih tinggi menyokong parti yang dekat dengan golongan itu pada PRU15 adalah tidak benar," tambah James Chin lagi.
NILAI TAMBAH NAJIB
Lebih menarik, James Chin juga berpandangan kehadiran seorang lagi bekas Perdana Menteri yang disabitkan kes mahkamah, Datuk Seri Najib Tun Razak membantu kempen UMNO-BN, ternyata memberi nilai tambah kepada koalisi itu.
Dengan Najib amat agresif berkempen bagi mengembalikan sokongan pengundi Melayu terhadap BN, ternyata UMNO-BN lebih efektif memenangi hati Bangsa Johor susulan kesemua parti pembangkang memilih untuk menyerang 'Bossku' itu.
"Kecenderungan pembangkang termasuk PN menyerang peribadi Najib berbanding mengkritik calon-calon pilihan raya dan tawaran pilihan raya BN sebenarnya merupakan satu tindakan sangat aneh dan tidak bijak. Najib bukan calon bertanding di Johor.
"Pada masa sama, Pejuang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat lantang menyerang Najib juga kini berada dalam kedudukan sangat sukar dan tidak lagi dianggap sebagai pencabar serius pada PRU15.
"Masalah terbesar Pejuang adalah parti itu seolah-olah simbolik kepada penubuhan kelab penyokong Dr Mahathir dan kekalahan teruk parti itu memberi isyarat Mahathir kini sudah hilang daya penarik sokongan pengundi Melayu terutama masyarakat Felda dan luar bandar," katanya.
**media[1626255]**
TUNTUTAN CEPAT PRU15
Kesimpulannya, kemenangan besar BN pada PRN Melaka dan Johor pastinya akan menguatkan lagi keyakinan UMNO-BN untuk menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, menyegerakan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan PRU15.
Bahkan beberapa penganalisis politik sudah membayangkan pucuk kepimpinan UMNO diterajui Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bakal menjadikan tuntutan pelaksanaan PRU15 selepas bulan Julai hadapan, sebagai usul utama Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bakal bermula pada 16 Mac.
Sama ada tuntutan Ahmad Zahid dan majoriti akar umbi UMNO itu bakal menjadi realiti, bola kini terletak di kaki 'Pak Long' Ismail Sabri untuk menentukan keputusan sangat sukar itu.
Klik di sini untuk terus membaca