SHAH ALAM - Debaran keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 sudah berakhir dan kita menyaksikan 14 daripada 37 calon wanita berjaya memikat hati pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu.
Antara DUN yang dimenangi oleh kuasa golongan hawa itu adalah DUN Johor Lama, DUN Serom, DUN Tenang, DUN Parit Raja, DUN Pasir Raja, DUN Penawar, DUN Mahkota, DUN Kemelah dan DUN Sungai Balang yang diwakili oleh Barisan Nasional (BN).
Selain itu, DUN Skudai, DUN Penggaram, DUN Johor Jaya, DUN Endau, DUN Puteri Wangsa juga menyaksikan calon wanita berjaya meraih kemenangan majoriti undi dari pelbagai parti.
BN yang merupakan parti yang mengetengahkan bilangan calon wanita terbesar dengan jumlah 14 calon itu membuahkan hasil apabila sembilan daripada calonnya berjaya memperoleh majoriti undi.
Calon tersebut adalah Noorliza Noh yang memenangi DUN Johor Lama; Kharinnisa Ismail (DUN Serom); Haslinda Salleh (DUN Tenang); Nor Rashidah Ramli (DUN Parit Raja); Rashidah Ismail (DUN Pasir Raja) dan Fauziah Misri (DUN Penawar).
Saraswathy Nallathanby merupakan satu-satunya calon MIC yang berjaya memenangi DUN Kemelah manakala Datuk Sharifah Azizah Syed Zain dan Zaiton Ismail berjaya meraih kerusi di DUN Mahkota dan DUN Sungai Balang.
Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan lapan calon wanita dan PKR sebanyak tiga kerusi.
Calon wanita yang berjaya memenangi kerusi di atas tiket PH-DAP adalah Marina Ibrahim di DUN Skudai, Gan Peck Cheng (DUN Penggaram) dan Liow Cai Tung (DUN Johor Jaya).
Di samping itu, parti Perikatan Nasional (PN) meletakkan enam calon wanita untuk bertanding di PRN Johor.
Namun, hanya seorang daripada enam calon berjaya memenangi kerusi di atas tiket Bersatu iaitu Alwiyah Talib di DUN Endau.
Parti yang buat pertama kali bertanding secara rasmi di PRN Johor iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga tidak melepaskan peluang menamakan dua calon wanita untuk mewakili parti tersebut di DUN Puteri Wangsa serta DUN Bukit Kepong.
DUN Puteri Wangsa yang menjadi rebutan kerana dianggap kerusi mudah pembangkang itu akhirnya jatuh kepada Setiausaha Agung Muda iaitu Amira Aisya biarpun ini merupakan penyertaan kali pertama gadis itu dalam politik.
Selain itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang meletakkan empat calon wanita tidak berjaya meraih sebarang undi pada PRN Johor kali ini.
BN berjaya memiliki mandat kerajaan negeri Johor apabila parti itu menang majoriti mudah dengan 40 kerusi pada PRN Johor ke-15.
Klik di sini untuk terus membaca