SEMALAM, warga Johor dan pengundi Johor telah menyatakan pendirian berhubung masa depan mereka tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu.
Untuk itu, Belalang ingin mengucapkan syabas dan tahniah. Ia bukanlah satu keputusan dan pendirian yang senang dan mudah. Tapi mereka perlu membuat pendirian dan pilihan kerana itu adalah tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Kepada mereka yang memilih untuk tidak keluar mengundi, Belalang percaya masing-masing ada sebab yang tersendiri. Mereka mungkin telah membuat pertimbangan yang mereka sendiri rasa wajar.
Jika mereka terlepas peluang ini, bermakna mereka perlu tunggu lima tahun lagi melainkan satu lagi pilihan raya negeri terpaksa diadakan atas apa jua sebab yang mana Belalang sendiri berharap moga ia tidak berulang.
Tapi apa yang lebih merunsingkan Belalang ialah terdapatnya laporan termasuk rakaman video yang viral menunjukkan yang pengundi tidak dibenarkan masuk mengundi kerana pusat mengundi telah ditutup lebih awal.
Sekurang-kurangnya ada tiga pusat mengundi yang didakwa menutup pintu pada jam 2 petang atas alasan jumlah yang keluar mengundi tidak ramai.
Tiga pusat mengundi yang didakwa ditutup pada jam 2 petang itu melibatkan PDM Ladang Kempas, Ladang Getah Eldred Bekok dan Kampung Jawa Chaah. Sebuah lagi iaitu PDM Chaah Timur dikatakan sudah ditutup pada jam 4 petang.
Belalang dimaklumkan oleh beberapa ejen mengundi yang memang benar jumlah peratusan yang mengundi di tiga PDM ini hanya sekitar di bawah 51 peratus tetapi itu bukan alasan untuk pintu ditutup lebih awal kerana ada pengundi tidak dapat datang pada sebelah pagi atas urusan kerja dan urusan peribadi.
Ada laporan yang mengatakan yang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan notis awal yang antara lain menyebut jika peratusan keluar mengundi adalah rendah, maka PDM berkenaan akan ditutup lebih awal.
Namun alasan ini dipertikaikan dengan pertanyaan apakah mekanisme yang digunakan oleh SPR untuk memaklumkan secara meluas notis penutupan awal itu.
Jika ia hanya ditampalkan di pagar PDM, maka ia boleh dianggap tidak memadai kerana hanya mereka yang berada di tempat berkenaan sahaja yang akan sedia maklum dengan arahan tersebut.
Yang Belalang khuatir ialah jika protes ini dibawa ke mahkamah, apakah akan ada arahan agar pilihan raya kecil diadakan semula untuk memberi keadilan kepada para pengundi untuk melaksanakan hak mereka.
Bukan kontroversi pusat mengundi sahaja yang timbul tapi kini telah beredar dalam media sosial menunjukkan kertas undi yang diconteng dengan niat untuk merosakkan undi.
Malah ada gambar rakaman daripada seorang bekas ahli Parlimen veteran yang memuat naik kertas undinya untuk menunjukkan kepada seluruh dunia, siapa yang beliau undi.
Undi itu sepatutnya rahsia dan tidak patut didedahkan sebegitu tetapi dalam era serba canggih ini, media sosial digunakan untuk mendedahkan kepada seluruh dunia siapa yang kita undi. Sungguh menyedihkan tapi yang lebih sedih, ia dilakukan oleh seorang ahli politik veteran dengan namanya terpampang jelas pada skrin telefonnya.
Belalang - Warganegara yang patuh pada peraturan dan undang-undang.
Klik di sini untuk terus membaca