KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2 Mac lalu mengisytiharkan 6.1 peratus dividen untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2021. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan, dividen... Klik di sini untuk terus membaca

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 2 Mac lalu mengisytiharkan 6.1 peratus dividen untuk simpanan konvensional dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Amir Hamzah Azizan, dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

Pemberian dividen yang tinggi itu agak memeranjatkan kepada kebanyakan pencarum memandangkan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia masih lembap akibat penularan wabak Covid-19.

Ketika mengulas isu berkenaan, Lidah Pengarang Sin Chew Daily berpendapat, mengimbas sepanjang tahun 2021 merupakan tahun yang paling mencabar akibat wabak Covid-19, ketidaktentuan ekonomi dan bencana banjir.

"Ketika dalam keadaan yang getir ini, rakyat Malaysia sesungguhnya amat memerlukan agensi kerajaan dan syarikat swasta tampil menghulurkan bantuan. Dengan dividen yang dianggap tinggi ini, ia sedikit sebanyak membawa khabar yang menggembirakan, terutama sekali kepada pencarum KWSP,” kata akhbar berkenaan.

Bagaimanapun, mengikut data yang diperoleh KWSP, jumlah simpanan oleh para pencarum semakin hari semakin berkurangan dan perkembangan ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika memerlukan simpanan wang pada hari tua kelak.

"Seramai 6.1 juta ahli ataupun lebih kurang 50 peratus yang berusia bawah 55 tahun kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. Daripada jumlah tersebut, seramai 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000.

"Peranan KWSP adalah untuk memastikan setiap ahlinya mempunyai simpanan yang mencukupi untuk melalui waktu persaraan dan hari tua yang selesa. Tindakan mengeluarkan wang daripada KWSP secara berlebihan seelok-eloknya perlu mengelakkan kerana ia akan menyebabkan kesukaran hidup pada usia lanjut,” ujar Sin Chew Daily.

MENABUNG

Akhbar ini turut menambah, rakyat di negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai pilihan untuk menabung sama ada untuk jangka masa panjang ataupun pendek.

"Selain KWSP, rakyat boleh membuat simpanan tetap di bank ataupun melabur dalam pelbagai jenis tabung amanah yang ada dalam pasaran tempatan. Namun, bagi mana-mana individu yang kurang arif dalam pelaburan kewangan, KWSP tetap merupakan pilihan yang terbaik,” kata akhbar Cina ini lagi.

Sejak wabak Covid-19 melanda dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, ramai pencarum KWSP terpaksa melalui detik-detik yang sukar. Untuk itu, kerajaan telah melonggarkan syarat dengan membenarkan para pencarum KWSP mengeluarkan wang daripada simpanan mereka.

"KWSP telah menyediakan kemudahan pengeluaran untuk golongan yang memerlukan iaitu melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Sehingga hari ini, sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan oleh kira-kira 7.4 juta ahli di seluruh negara.

"Kebanyakan pencarum yang mengeluarkan wang daripada simpanan mereka itu sememangnya terdiri daripada golongan yang amat memerlukan bantuan berkenaan. Adalah diharapkan mereka mampu menabung semula jumlah wang yang telah mereka keluarkan apabila pendapatan mereka agak stabil,” ujar akhbar itu.

Menurut Sin Chew Daily, menambah simpanan dan mengelakkan pengeluaran wang dalam KWSP sebenarnya adalah tindakan yang bijak. Selain setiap bulan para pencarum perlu menabung melalui potongan sejumlah kecil gaji mereka, bagi yang bekerja sendiri juga boleh menyimpan wang ke dalam KWSP melalui skim I-Saraan atau Caruman Pilihan Sendiri.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat jelata, sama ada yang makan gaji ataupun yang bekerja sendiri, menabung dalam KWSP bagi memastikan hari tua mereka mempunyai simpanan wang yang mencukupi.

"Sebarang usaha dengan melonggarkan syarat membenarkan pencarum mengeluarkan lagi wang daripada KWSP sepatutnya diberhentikan segera. Tindakan segelintir pemimpin politik yang terus mendesak kerajaan dan KWSP agar meluluskan pengeluaran secara ‘one-off’ sehingga RM10,000 kepada pencarum juga tidak sesuai buat masa ini, ” tulisnya.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca