SYARIKAT korporat meminjam modal berpuluh, malah beratus juta ringgit daripada pasaran modal adalah perkara biasa. Boleh dikatakan, tidak ada syarikat yang sahamnya diniagakan di Bursa Malaysia tidak berhutang. Hatta, bank yang fungsinya... Klik di sini untuk terus membaca

SYARIKAT korporat meminjam modal berpuluh, malah beratus juta ringgit daripada pasaran modal adalah perkara biasa.

Boleh dikatakan, tidak ada syarikat yang sahamnya diniagakan di Bursa Malaysia tidak berhutang. Hatta, bank yang fungsinya memberi hutang pun berhutang juga.

Jadi, apabila pada 5 Oktober tahun lalu, AirAsia Group Berhad (AAGB) dalam laman beritanya mengumumkan telah mendapat kelulusan Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) bagi meminjam sehingga RM500 juta, ia tidaklah dipedulikan sangat.

Syarikat berprofil tinggi itu memang terkenal dengan pelbagai publisiti dan gimik. Terbaharu, ia menukar nama penyenaraiannya daripada AAGB kepada Capital A Berhad.

Apabila pandemik melanda, perniagaannya terjejas teruk akibat penguatkuasaan kawalan pergerakan yang melumpuhkan industri pelancongan.

Untuk memulakan semula perniagaan ke tahap asal, ia memerlukan modal baharu tetapi dengan sendirinya tidak mampu atau sukar mendapat pinjaman daripada pasaran modal.

Jadi, ia memohon pertolongan Danajamin untuk menjadi penjamin. Maksudnya, Capital A Berhad pinjam tapi yang jamin adalah Danajamin di bawah Skim Jaminan Prihatin.

Ditakdirkan, Capital A Berhad tidak mampu atau gagal pembayar balik hutang, Danajaminlah yang akan bayar balik 80 peratus atau sehingga RM500 juta tetapi tentulah dengan syarat seperti menggadai saham dan harta lain.

Contohnya, Danajamin meminta dua pemegang saham utama Capital A Berhad, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun menjadi penjamin bersama dan berseorangan.

Oleh sebab tidak dapat memenuhi atau tidak bersetuju dengan syarat itu dan beberapa syarat lain, maka perjanjian dengan Danajamin dibatalkan.

Logiklah tuan punya perniagaan memberi jaminan peribadi secara perseorangan atau berkumpulan jika mereka yakin mampu menggunakan duit hutang itu untuk memperbaiki syarikat mereka. Kalau mereka keberatan, tandanya mereka kurang yakin.

BISNES KORPORAT, BISNES SENDIRI

Perniagaan korporat tidak sama dengan perniagaan persendirian. Dalam perniagaan persendirian, tuan punya boleh tinggal sehelai sepinggang apabila syarikat muflis atau mengalami masalah kewangan.

Tetapi dalam perniagaan korporat, tuan punya masih kaya raya walaupun syarikat muflis. Itu yang berlaku dengan syarikat Genting Hong Kong Limited. Satu perniagaan rugi, banyak lagi yang untung dan kekayaan peribadi pun masih banyak.

Syarat lain yang dikenakan Danajamin ke atas Capital A Berhad adalah mengemukakan pelan penyelesaian Practice Note 17 (PN17) untuk kelulusan Bursa Malaysia. Ia juga dikehendaki memastikan modal pemegang saham yang disatukan melebihi RM40 juta.

Nilai saham Capital A Berhad mengalami penyusutan teruk apabila harganya jatuh merudum daripada RM1.28 pada 11 Oktober tahun lalu kepada 64 sen pada Jumaat, 11 Mac.

Menurut Capital A Berhad, ia kini mencari sumber pembiayaan gantian yang sesuai dengan keperluan kewangan dan operasinya.

Dari sudut lain, baik juga Danajamin terlepas daripada tanggungan ke atas hutang Capital A Berhad. Bayangkan kerumitannya jika tawaran jaminan itu diterima Capital A Berhad tetapi ia gagal membayar balik hutang setengah bilion ringgit itu.

Namun, selain urusan dengan Capital A Berhad yang terbatal, kita tidak tahu jumlah sebenar jaminan hutang yang telah dikeluarkan oleh Danajamin di bawah Skim Prihatin dan kepada siapa.

Seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini, Danajamin adalah syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan.

Setakat yang saya tahu mengenai prestasi pinjaman Bank Pembangunan kepada usahawan dalam dan luar negara, banyak juga yang meragukan.

Satu laporan Theedgedaily pada 2017 mengatakan, bagi setiap satu ringgit pinjaman yang dikeluarkan Bank Pembangunan, 12 sen terpaksa dilupuskan.

Kesimpulannya, kita kena belajar dan faham sedikit sebanyak mengenai perniagaan korporat kerana secara langsung atau tidak langsung, ia menjejaskan kebajikan kita sebagai pengundi, pembayar cukai dan pengguna. Wallahualam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca