IBU bapa perlu melihat anak-anak sebagai kurniaan ALLAH yang tidak terhingga nilainya. Mereka perlu dijaga dengan sebaik-baiknya, diberi perlindungan dan pelajaran. Jiwa mereka juga perlu disulami dengan elemen kerohanian agar mampu menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

IBU bapa perlu melihat anak-anak sebagai kurniaan ALLAH yang tidak terhingga nilainya. Mereka perlu dijaga dengan sebaik-baiknya, diberi perlindungan dan pelajaran. Jiwa mereka juga perlu disulami dengan elemen kerohanian agar mampu menjadi benteng dan perisai kepada segala cabaran.

Peranan ibu bapa tidak boleh dipandang ringan atau dilaksanakan sambil lewa. Ia adalah tugas yang tiada penghujung.

Ibu bapa Islam perlu menyemai nilai-nilai Islam kepada anak anak sejak kecil kerana ketika itu jiwa mereka masih lagi kosong suci dan senang menerima apa yang diajarkan.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah (suci), maka ibu bapalah yang akan menjadikan dia Yahudi Nasrani atau Majusi.”

Dapatlah disimpulkan bahawa Islam memandang berat dan menuntut ibu bapa mencorakkan anak-anak dengan corak sesuai mengikut agama Islam.

Namun, ibu bapa sering terlepas pandang dan kurang mengambil berat urusan menanam teras beragama kepada anak sejak kecil. Anak sering terkapai-kapai mencari jati diri dan nilai murni untuk diteladani.

Napolean pernah menegaskan ‘biarlah negeri Perancis ini memiliki ibu-ibu yang baik, pastinya kita akan memiliki anak-anak muda yang handal’.

Charles Simmon pula menyebut ‘sekiranya anda mahu membersihkan dunia daripada noda dan dosa, bermulalah dengan membantu ibu-ibu’.

Jelaslah, peranan ibu bapa mendidik anak-anak amatlah besar dalam konteks pembangunan negara itu sendiri. Ibu bapa adalah faktor penting kepada perkembangan kejayaan anak-anak.

Untuk melaksanakan tanggungjawab itu dengan berkesan, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan menunjukkan teladan baik dengan mengamalkan ajaran agama secara keseluruhannya.

KEMAJUAN INTELEK

Pendekatan mendidik yang berbeza pada tahap-tahap tertentu juga amat penting bagi menyeimbangkan kemajuan intelek anak-anak.

Selalu kita mendengar cerita anak yang biadab terhadap ibu bapa, malah ada anak menentang usaha agama yang dijalankan ibu bapa. Mereka menjadi musuh kepada perjuangan ayah bonda mereka dalam menegakkan agama.

Hal itu sebenarnya telah diingatkan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Bukanlah musuhmu itu orang yang apabila kamu bunuh dia, bererti kamu menang dan kalau kamu mati terbunuh, maka kamu akan masuk syurga. Tetapi kadang-kadang musuhmu itu adalah anak yang lahir daripada tulang rusukmu sendiri. Kemudian, musuhmu yang paling besar lagi adalah harta yang kamu miliki.”

Apabila kita melihat seorang anak muda melakukan kesalahan, ramai yang pantas menjatuhkan hukuman. Tidak ramai yang mahu menyelidik kenapa anak muda itu membuat kesilapan sedemikian. Apakah dorongan atau pengaruh diterimanya yang menjadikan dia berkelakuan sebegitu.

Sudah menjadi sifat anak muda lebih suka berkonfrontasi, lebih terbuka dan mahu diberi perhatian. Mendekati anak muda dan memahami jiwa mereka akan menjadikan ibu bapa lebih mudah membentuk anak ke jalan yang sebenar.

Ramai ibu bapa tersilap kerana memberikan segala kemewahan kepada anak sehingga tidak dapat dikawal. Begitu juga menyerahkan sepenuhnya anak kepada guru tanpa bimbingan ibu bapa adalah langkah tersasar daripada sistem pendidikan sebenarnya.

Walaupun anak dihantar ke sekolah untuk belajar, peranan ibu bapa tidak terhenti di sana. Perkara lebih teruk adalah meletakkan anak-anak sepenuhnya di bawah bimbingan pembantu rumah, khususnya warga asing.

Ingatlah, tangan yang menghayun buaian itu boleh menggegarkan dunia. Justeru, bagi menjamin generasi Muslim yang lebih cemerlang pada masa akan datang, ibu bapa perlulah memiliki ilmu sesuai dengan peranan mereka sebagai ibu bapa dan menjadikan diri mereka sebagai idola kepada anak-anak.

Menjadi ibu bapa bukanlah untuk keseronokan semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab yang perlu digalas oleh setiap ibu bapa Muslim.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca