TURKI bertegas akan terus memperjuangkan isu-isu penduduk Palestin yang dijajah Israel walaupun Ankara pada Rabu lalu mengisytiharkan bahawa era baharu hubungan antara kedua-dua pihak telah bermula.
Hubungan baharu itu bermula apabila Presiden Israel, Isaac Herzog melakukan lawatan rasmi ke Turki setelah hubungan rejim Zionis-Ankara kurang mesra pada tahun 2009 berikutan isu Palestin.
Ketika itu, Perdana Menteri Turki ialah Recep Tayyip Erdogan dan beliau telah bertindak keluar dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari 2009 sebagai protes ekoran serangan besar-besaran Israel di Gaza terhadap kumpulan Hamas.
Dalam operasi selama 22 hari itu lebih 1,430 penduduk Palestin terkorban dan 13 penduduk Israel maut.
Hubungan itu turut terjejas ketika anggota komando Israel melakukan serangan di kapal Mavi Marmara milik Turki pada Mei 2010.
Mavi Marmara merupakan sebahagian daripada armada yang berusaha mengangkut bantuan kemanusiaan ke Gaza sekali gus melanggar sekatan tentera laut rejim Zionis.
Dalam kejadian itu, seramai lapan warga Turki dan seorang warga Turki-Amerika ditembak dan terbunuh semasa serbuan tersebut.
Seorang lagi rakyat negara tersebut kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan.
Ankara kemudian memanggil balik dutanya dan mengurangkan hubungan ekonomi serta pertahanan dengan Israel.
Berikutan serangan dan kematian warga Turki tersebut, pada bulan Mac 2013, di bawah tekanan Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Barack Obama, Israel yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu pada tahun 2013 meminta maaf kepada Turki dan mengumumkan pampasan untuk keluarga mereka yang terbunuh.
Recep kemudian dilaporkan menerima permohonan maaf itu.
Namun, pada bulan Julai 2014, beliau menuduh Israel seperti menggunakan semangat bekas pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler apabila rejim Zionis sekali lagi melancarkan serangan besar-besaran di Gaza.
Pada bulan Disember 2017, Recep yang ketika itu memegang jawatan sebagai Presiden memimpin penentangan Muslim terhadap rancangan Presiden AS ketika itu, Donald Trump untuk memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis dan mengiktiraf kota tersebut sebagai ibu kota Israel.
Pada hari kedutaan baharu itu dibuka di Baitulmaqdis, iaitu pada 14 Mei 2018, Recep menuduh Israel melakukan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai setelah ramai penduduk Palestin dibunuh oleh roket Israel.
Berikutan serangan Israel itu, Turki memanggil balik diplomatnya dan mengarahkan perwakilan Israel keluar dari negara itu.
TETAP SOKONG PALESTIN
Hubungan antara Turki dengan rejim Zionis terus memburuk terutama setelah undang-undang kontroversial yang diluluskan oleh Parlimen Israel yang mendefinisikan Israel untuk bangsa Yahudi.
Bagaimanapun, hubungan tersebut memasuki fasa baharu pada Rabu lalu apabila Recep yang menerima kunjungan Herzog menyatakan bahawa lawatannya itu sebagai bersejarah dan titik perubahan dalam hubungan Turki-Israel.
Beliau menyatakan kesediaan Turki untuk bekerjasama dengan Israel dalam sektor tenaga sambil menambah bahawa Menteri Luar dan Menteri Tenaga Turki akan melawat Israel bagi membincangkan tentang peningkatan kerjasama antara kedua-dua pihak.
Walaupun Turki bersetuju untuk bekerjasama dengan Israel dalam sektor tenaga, Ankara menyatakan bahawa ia tidak sekali-kali berganjak untuk tidak menyokong perjuangan penduduk Palestin.
Menurut sumber yang terlibat dalam rundingan dua hala itu, Presiden Israel membangkitkan kehadiran pemimpin Hamas di Turki.
Ini adalah kerana Ankara telah lama menyokong Hamas dan pernah menjadi tuan rumah kepada pegawai-pegawai pergerakan itu di Turki
Seorang pegawai Israel dilaporkan memberitahu pemberita bahawa Herzog membangkitkan kebimbangan Israel mengenai aktiviti Hamas di Turki semasa pertemuan dengan Recep.
Sikap Recep itu telah menyebabkan Presiden Israel itu terpaksa mengakui pada sidang akhbar Rabu lalu bahawa Turki-Israel tidak akan bersetuju dalam semua perkara tetapi akan menyelesaikan perselisihan pendapat dengan saling menghormati dan muhibah.
Namun, pertemuan antara Recep dengan Herzog itu turut mendapat kutukan Hamas dan Jihad Islam dari Palestin.
Hamas menyatakan kesal dengan lawatan Presiden Israel itu manakala Jihad Islam menyatakan lawatan itu umpama tidak mempedulikan tentang nasib Baitulmaqdis dan Palestin.
Lawatan itu dianggap bersejarah buat Turki dan pertama kali dilakukan oleh seorang Presiden Israel sejak tahun 2007.
Ia juga dilakukan oleh Herzog yang baharu memegang jawatan tersebut pada tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca