PERANG Rusia-Ukraine meletus pada 24 Februari lalu dan kebanyakan media arus perdana di Barat telah mengecam serta menyalahkan Rusia di bawah kepimpinan Vladimir Putin sebagai ‘penceroboh’. Persoalan yang perlu difahami adalah... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG Rusia-Ukraine meletus pada 24 Februari lalu dan kebanyakan media arus perdana di Barat telah mengecam serta menyalahkan Rusia di bawah kepimpinan Vladimir Putin sebagai ‘penceroboh’.

Persoalan yang perlu difahami adalah perkembangan dan isu-isu yang telah menyebabkan tercetusnya konflik tersebut.

Asal usul konflik Rusia-Ukraine boleh dikesan kira-kira 30 tahun lalu apabila tamatnya Perang Dingin pada 1991 akibat pembubaran Kesatuan Soviet (USSR).

Negara-negara bekas USSR seperti Ukraine, Georgia dan Latvia telah mencapai kemerdekaan daripada USSR. Selain itu, ia telah menyumbang kepada pembubaran Pakatan Warsaw yang merupakan sebuah pakatan ketenteraan yang ditubuhkan pada Mei 1951 oleh USSR bersama negara-negara Eropah Timur seperti Poland, Romania, Hungary, Bulgaria dan Czechoslovakia.

Tujuan penubuhan Pakatan Warsaw sebagai perimbangan kuasa kepada ancaman ketenteraan daripada Organisasi Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang ditubuhkan pada 1949. Sepanjang era Perang Dingin menyaksikan persaingan ideologi dan perlumbaan senjata antara Pakatan Warsaw dan NATO.

Keadaan menjadi reda apabila Perang Dingin tamat. USSR tidak berkemampuan untuk mengekalkan Pakatan Warsaw. Pada 1990, setelah penyatuan Jerman, Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis telah memberi jaminan kepada pemimpin USSR bahawa NATO tidak akan diperluaskan ke arah timur.

Namun, jaminan itu tidak dipatuhi kerana pada 1996, Presiden AS, Bill Clinton telah mengundang negara-negara bekas anggota Pakatan Warsaw untuk menyertai NATO. Jaminan yang diberikan telah dilanggar bukan sekali tetapi 14 kali.

Perluasan anggota NATO ke Eropah Timur tidak disenangi Rusia kerana menganggap ia boleh mengancam kedaulatan dan integriti wilayah Rusia. NATO seolah-olah telah mengepung Rusia secara ketenteraan.

Estonia dan Latvia, bekas republik USSR dan bersempadan dengan Rusia sudah pun menjadi negara anggota NATO. Malah, tentera Barat termasuk Britain dan Perancis menggunakan Estonia untuk menjalankan latihan ketenteraan NATO, hanya 100 kilometer dari sempadan Rusia antara 2021 hingga awal 2022.

KISAH DARI CUBA

Masyarakat antarabangsa, khasnya AS tidak harus terlupa dengan Krisis Peluru Berpandu Cuba pada 1962. Ketika itu, pesawat peninjau AS telah mengesan tapak pelancar peluru berpandu USSR sedang dibina di Cuba. AS di bawah pentadbiran John F. Kennedy menganggap tindakan USSR dan Cuba sebagai ancaman kepada kelangsungan AS.

Presiden Kennedy telah menggesa USSR menghentikan projek pembinaan tapak pelancar peluru berpandu dan penghantaran peluru ke Cuba.

Beliau telah mengugut untuk menyerang Cuba jika USSR tidak berbuat demikian. Akhirnya, USSR bersetuju, maka berakhirnya Krisis Peluru Berpandu Cuba.

Bagaimanapun, tidak ramai yang mengetahui krisis itu tercetus bukan oleh USSR tetapi AS sendiri. Ini kerana negara yang tertekan dan mengalami provokasi lebih awal adalah USSR, bukannya AS apabila AS telah menempatkan peluru berpandu nuklear jarak sederhana jenis PGM-19 Jupiter di Izmir, Turki, tidak jauh dari sempadan USSR.

Kepimpinan USSR ketika itu, Nikita Khrushchev seperti juga Putin pada masa kini, menganggap kedaulatan dan kelangsungan Rusia tergugat.

Krisis Peluru Berpandu Cuba walaupun telah berlangsung 60 tahun lalu, namun ia masih relevan. Pemimpin AS pada masa kini harus belajar daripada sejarah yang menunjukkan bahawa pemimpin Rusia sanggup berbuat apa sahaja apabila berdepan provokasi dan ancaman.

Bagi Rusia, Ukraine ialah sebuah negara yang sangat strategik. Kedaulatan Rusia banyak bergantung kepada Ukraine. Perang Dunia Kedua telah memberi pengajaran kepada Rusia kerana tentera Nazi Jerman dalam Operasi Barbarossa telah menceroboh USSR pada 1941 dan menduduki Ukraine.

Oleh itu, jika Ukraine menyertai NATO, Rusia amat bimbang keselamatan dan keutuhan wilayah terdedah kepada serangan luar khasnya AS. Rusia telah berkali-kali membantah perluasan NATO sejak 1999 apabila negara seperti Poland, Hungary dan Republik Czech menyertai NATO.

Permintaan terakhir Rusia sebelum tercetusnya perang adalah pada Disember 2021 supaya AS dan NATO mesti memberi jaminan secara bertulis dan terikat bahawa kedaulatan Rusia tidak tergugat. Namun, ia tidak diberikan pertimbangan sewajarnya.

Kekejaman yang dilakukan di Ukraine adalah tragedi manusia tetapi orang Ukraine adalah mangsa konflik yang lebih luas iaitu pertikaian Rusia dengan NATO.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca