WALAU apa pun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, politik negara masih berdepan ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik. Sebahagian besar faktor ketidakstabilan itu adalah kerana tiada parti mempunyai majoriti mudah, namun ia... Klik di sini untuk terus membaca

WALAU apa pun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, politik negara masih berdepan ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik.

Sebahagian besar faktor ketidakstabilan itu adalah kerana tiada parti mempunyai majoriti mudah, namun ia bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan keadaan tersebut.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak memberi keputusan tuntas yang menyaksikan tiada satu pun parti politik mendapat kerusi majoriti bagi membentuk kerajaan Persekutuan, menyebabkan Yang di-Pertuan Agong mengambil masa agak lama untuk menentukan mereka yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri membuka ruang sejarah politik negara yang sangat menarik dan penuh debaran. Politik Malaysia telah keluar daripada kepompong kebosanan business as usual selama berdekad.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan dengan majoriti sangat tipis. Lebih menarik, kedudukan Muhyiddin juga bergantung kepada sokongan musuh-musuh politik.

Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan juga sangat rapuh. Selain cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mencari sokongan mahu menjadi Perdana Menteri, kedudukan Ismail Sabri juga bergantung kepada sokongan kepimpinan UMNO-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri berjaya mendapatkan sokongan ahli Dewan Rakyat di bawah Anwar untuk mengadakan persefahaman tiada undi tidak percaya kepada Perdana Menteri sehingga Julai ini, sekali gus menstabilkan politik negara buat sementara waktu.

Walaupun DAP menawarkan sambungan persefahaman sehingga Disember ini, namun Ismail Sabri kini berdepan cabaran daripada parti sendiri.

UMNO mahu PRU diadakan secepat mungkin. Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung minggu depan dijangka menjadi medan mendesak dan ‘memaksa’ Ismail Sabri akur dengan keputusan parti memohon pembubaran Dewan Rakyat segera.

TIGA FAKTOR MAHU PRU SEGERA

Ada tiga faktor mengapa UMNO mahu PRU diadakan segera. Pertama, parti itu melihat dalam keadaan musuh-musuh politiknya berpecah, peluang BN kembali memenangi majoriti mudah adalah sangat tinggi. Menunggu lebih lama hanya memberi ruang kepada musuh politik menyusun semula strategi.

Kedua, pengasingan kuasa antara kerajaan dan parti mewujudkan kecurigaan antara kerajaan dan UMNO. Ketika UMNO-BN dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Putrajaya pula dipimpin oleh pemimpin di bawah Ismail Sabri.

UMNO tidak biasa dengan pengasingan kuasa. Lebih mengganggu kepimpinan UMNO ialah Ismail Sabri dilantik dengan persetujuan banyak pihak, bukannya kepimpinan UMNO sahaja. Ia menjadikan Perdana Menteri tidak terikat dengan kehendak pemimpin parti dalam melaksanakan tugasnya.

Ketiga, pemilihan UMNO sudah makin menghampiri tarikh akhir penangguhan. Para pemegang jawatan sekarang, walaupun telah tahu ketika bertanding bahawa jawatan mereka hanya tiga tahun yakni sebelum PRU seterusnya, namun tidak ramai bersedia mengembalikan hak tersebut kepada ahli. Mereka mahu memegang jawatan itu sehingga diadakan PRU15 agar boleh menggunakan kedudukan itu bagi menentukan calon dan merunding pencalonan sendiri.

Ada beberapa perkara perlu dibimbangi UMNO dalam mendesak PRU awal. Berdasarkan keputusan PRN Melaka, undi populariti BN adalah di bawah 40 peratus. Kemenangan besar itu lebih banyak bersandarkan jumlah keluar mengundi yang rendah, perpecahan undi dan pengundi UMNO yang agak signifikan di Melaka. Hal yang sama belum tentu berlaku pada PRU15.

Selain itu, UMNO juga mungkin hilang kepimpinan di Putrajaya sebelum PRU15 sekiranya Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan pembubaran Dewan Rakyat. Jawatan tersebut boleh menjadi milik Anwar jika beliau mampu meyakinkan majoriti untuk menyokongnya.

Dalam keadaan ini, negara dan rakyat perlukan pemimpin UMNO berjiwa besar yang mengetepikan kepentingan peribadi untuk merapatkan perbezaan Putrajaya–UMNO bagi meneruskan agenda pemulihan negara.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca