PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor secara rasmi menutup tirai pada Isnin dengan koalisi Barisan Nasional mencatat kemenangan bergaya apabila berjaya menawan 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor secara rasmi menutup tirai pada Isnin dengan koalisi Barisan Nasional mencatat kemenangan bergaya apabila berjaya menawan 40 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Kemenangan majoriti dua pertiga bermakna BN berjaya menumpaskan parti-parti lain yang turut memberi persaingan dalam PRN Johor termasuk Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kemunculan karakter baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan Sabah (Warisan) serta parti Bebas yang cuba menyelit dalam persaingan PRN Johor meskipun kurang memberi impak, namun tetap tidak boleh dipandang ringan.

Selain pertembungan pelbagai penjuru yang ‘memeriahkan majlis’, persaingan dalam kalangan Ahli Parlimen yang turut mahu merebut kerusi DUN tidak kurang menarik perhatian ramai.

Antara Ahli Parlimen yang menyertai persaingan PRN Johor ke-15 termasuk Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh (Pejuang), Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (PKR), Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH) dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon (PBM).

Daripada empat Ahli Parlimen terbabit, hanya Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH) berjaya memenangi kerusi ditandingi iaitu kerusi DUN Simpang Jeram yang berdepan pertembungan empat penjuru.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) memperolehi 8,749 undi menewaskan pesaingnya iaitu Zarul Salleh (PN) 6,350 undi, Datuk Lokman Md Don (BN) 6,062 undi dan Mahaizal Mahmor (Pejuang) 208 undi.

Sementara itu, Dr Maszlee Malik hanya mampu berpuas hati dengan 4,736 undi sekali gus tewas di tangan calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim yang memenangi kerusi DUN Layang-Layang dengan 7,551 undi. Dua calon lagi iaitu, Alagenthiran Krishnan (PN) 1,278 undi dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang) 164 undi masing-masing hilang deposit.

Turut tidak bernasib baik, Datuk Dr Sharuddin Md Salleh yang bertanding di DUN Machap. Lebih tragis beliau sekadar memperoleh 465 dan hilang deposit.

Beliau tewas di tangan calon BN yang juga cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendapat 11,029 undi.

Bertanding di DUN Puteri Wangsa yang berdepan persaingan enam penjuru, Steven Choong Shiau Yoon hanya memperolehi 2,471 undi dan hilang deposit.

Seperti dijangka sebagai kerusi selamat kem pembangkang, DUN Puteri Wangsa itu dimenangi oleh calon parti Muda, Amira Aisya yang pertama kali bertanding namun berjaya memperoleh 22,884 undi.

OTAI MASIH BERBISA

Pentas PRN Johor tidak lengkap sekiranya tidak dimeriahkan dengan penampilan otai-otai yang ternyata masih berbisa dan mampu memberi persaingan sengit.

Buktinya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berjaya menawan kerusi DUN Rengit dengan memperolehi 7,903 undi.

Veteran UMNO terbabit menewaskan tiga calon lain iaitu Mohammad Huzair Lajis (PN) yang mendapat 5,983 undi, Khairuddin A Rahim (PKR), 2,065 undi dan Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang) yang hilang deposit setelah hanya memperolehi 206 undi.

Tidak ketinggalam, Liew Chin Tong (PH) yang berjaya merangkul kerusi DUN Perling dengan meraih 18,628 undi. Pengerusi DAP Johor yang dikatakan mempunyai masalah dengan akar umbi parti itu menewaskan dua lagi calon iaitu Tan Hiang Kee (BN), 15,281 undi dan Koo Shiaw Lee (PN), 8,829 undi.

Satu lagi nama otai yang tidak boleh dilupakan ialah Tosrin Jarvanthi (PN), berusia 71 tahun beliau juga merupakan calon paling tua dalam PRN Johor ke-15 dan bertanding di Dun Bukit Permai.

Beliau bagaimanapun tewas di tangan calon BN, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang memperolehi 10, 889 undi berbanding Tosrin yang hanya mendapat 5,108 undi.

Turut terselit dalam kategori otai, adalah nama Alwiyah Talib (PN) yang sebelum ini merupakan ahli BN.

Calon wanita yang menyertai kem PN di bawah tiket Bersatu itu dengan tujuan memperjuangkan rakyat di Mersing berjaya menang di DUN Endau dengan 8,433 undi sekali gus menewaskan calon BN, Mohd Youzaimi Md Yusof, yang mendapat 5,392 undi.

Lebih hebat lagi, tiga lagi calon di kawasan tersebut Mohamad Fakrulradzi Mahmud (PH), 1,154 undi, Noorhisyam Ibrahim (Pejuang), 145 undi dan calon Bebas, Ismail Don dengan 77 undi masing-masing telah hilang deposit.

Klik di sini untuk terus membaca