SHAH ALAM - Jika parti-parti blok pembangkang mengenepikan ego dan bersatu di bawah satu khemah besar menggabungkan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Muda, Pejuang dan Warisan, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu akan pasti berbeza.
Malah kiraan dan analisis Sinar Premium berdasarkan jumlah undi pada Sabtu, gabungan blok tersebut bukan sahaja mampu menang lebih banyak kerusi bahkan menawan kembali Johor dalam pilihan raya itu.
Berdasarkan kiraan dibuat mendapati blok pembangkang boleh merampas 20 daripada 40 kerusi BN jika mereka bergabung.
Jika itu yang terjadi BN hanya akan mempunyai 20 kerusi manakala blok pembangkang akan menang PRN Johor dengan jumlah keseluruhan 36 kerusi selepas dicampur 16 kerusi yang sudah sedia dimenangi.
Antara kerusi yang mungkin BN tewas jika blok pembangkang bergabung ialah Kemelah, Tenang, Gambir, Serom, Bukit Pasir, Bukit Naning, Sungai Balang dan Semerah.
BN juga akan kalah kepada blok pembangkang di Parit Yaani, Parit Raja, Senggarang, Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Permas, Tiram, Tenggaroh, Bukit Permai dan Mahkota.
Sebagai contoh di Tiram BN memperoleh 22,939 undi dan jika semua undi pembangkang dicampur mereka akan mendapat 31,599 undi.
Tidak ketinggalan kiraan di Larkin BN (16,053) manakala blok pembangkang (22,081); Tenang BN (5,380) - blok pembangkang (6,597); Kota Iskandar BN (23,133) - blok pembangkang (32,584).
Selain itu, di Rengit BN (7,903) - blok pembangkang (8,254) dan Parit Yaani BN (9,070) - blok pembangkang (14,450).
Bagaimanapun, kiraan ini hanyalah hitung kira jika senario blok pembangkang bergabung dan bersama.
Dengan kebanyakan parti blok pembangkang mahu mencuba nasib bergerak solo, rakyat Malaysia menyaksikan keputusan yang telah diperoleh pada malam Sabtu.
BN ditabalkan menang dengan 40 kerusi, PN 3 kerusi, PH+PKR 12 kerusi dan Muda 1 kerusi.
Klik di sini untuk terus membaca