SHAH ALAM - Seramai 85 calon mewakili pelbagai parti politik dan Bebas hilang wang pertaruhan selepas gagal memperoleh satu perlapan daripada jumlah undi keseluruhan bagi setiap kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu lalu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 85 calon mewakili pelbagai parti politik dan Bebas hilang wang pertaruhan selepas gagal memperoleh satu perlapan daripada jumlah undi keseluruhan bagi setiap kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, pada Sabtu lalu.

Parti paling ramai hilang deposit adalah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di mana semua 42 calonnya mengalami nasib sama termasuk Ketua Pejuang Johor, Datuk Dr Shahruddin Mohd Salleh yang bukan sekadar kalah teruk, malah hanya memperoleh 465 undi di DUN Machap.

Nasib sama turut menimpa anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian iaitu Nornekman Osman yang gagal mempertahankan kerusi DUN Kempas dimenangi bapanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) lalu.

Lebih malang lagi seorang calon Pejuang, Datuk Ibrahim Shafie, bukan hanya kalah teruk dan hilang deposit, malah hanya mendapat 86 undi di DUN Bukit Naning.

Turut menerima nasib sama ialah semua calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat calon) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (seorang calon) yang julung kali bertanding pada PRN Johor kali ini.

Parti Warisan yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding satu kerusi juga menerima nasib sama.

Tidak terkecuali menerima nasib sama ialah, tujuh wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dewan Undangan Negeri (Dun) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Turut hilang deposit ialah empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol serta Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar.

Dalam pada itu, kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN hilang wang pertaruhan dengan undi tertinggi sebanyak 2,190 undi menjadi milik Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di Dun Penggaram.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Klik di sini untuk terus membaca