PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor ang menutup tirai pada Sabtu, menyaksikan Barisan Nasional (BN) menawan kembali kepercayaan Bangsa Johor bagi mengemudi pemerintahan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi, BN ternyata selesa menduduki takhta juara.
Parti komponen terbesar BN iaitu UMNO berjaya meraih 33 kerusi dan MCA serta MIC masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi.
Namun, adat bertanding pasti ada pihak yang kalah dan pada persaingan PRN Johor itu, koalisi pembangkang utama iaitu Pakatan Harapan (PH) terutama parti komponennya, Amanah dan juga Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding atas tiket bendera sendiri mempamer prestasi buruk.
Keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sebelah malamnya, menyaksikan Amanah dan PKR masing-masing hanya berjaya menawan satu kerusi DUN.
Lebih malang lagi, tujuh calon PKR iaitu DUN Seri Medan, Semarang, Tenggaroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut hilang wang deposit setelah gagal mendapat satu perlapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.
Hal itu, sekali gus menunjukkan bahawa PKR merupakan antara parti dengan prestasi paling corot dalam kalangan parti komponen PH.
PKR hanya menang di DUN Bukit Batu menerusi calonnya, Arthur Chiong Sen Sern yang mendapat 9,439 undi sekali gus menewaskan tiga pencabar lain dari parti BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Sementara itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjadi hero tunggal parti Amanah apabila menang di kerusi DUN Simpang Jeram.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah meraih 8,749 undi menewaskan tiga pesaing beliau dari parti BN, PN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pecah undi
Berkongsi pandangan, Penolong Profesor Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, prestasi buruk yang dipamerkan PKR dan Amanah adalah disebabkan perpecahan parti-parti pembangkang untuk bersatu melawan BN.
"Bagi PKR, ia sudah hilang sokongan di kerusi bandar dan separuh bandar kerana perpecahan undi.
"Parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat masih gagal meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokongnya.
"Amanah pula banyak bergantung kepada jentera DAP dan PKR kerana ia masih lemah dari segi akar umbi,” ujar Tunku Mohar kepada Sinar Harian pada Ahad.
Untuk rekod, PKR tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka dan Sarawak yang lalu, manakala Amanah hanya menang satu kerusi pada PRN Melaka dan tiada kerusi dimenangi pada PRN Sarawak.
Mengulas kemenangan tunggal kedua-dua parti terbabit, Tunku Mohar berpendapat PKR dan Amanah menang kerana perpecahan undi.
"Kedua-dua mereka tidak mendapat majoriti undi, tetapi tiada calon yang mendapat undi lebih daripada mereka.
"Faktor calon tidak boleh diketepikan, khususnya Salahuddin di Simpang Jeram. Tapi faktor utama bila dilihat kepada keputusan, adalah perpecahan undi parti-parti lain,” katanya lagi.
Jelasnya, pencapaian tidak memberangsangkan koalisi pembangkang PH yang diterajui Anwar pada PRN Johor itu menunjukkan beliau tidak dapat memperkukuhkan pakatan terbabit.
"Di Melaka, keputusannya menerima bekas pemimpin UMNO sebagai calon PH telah mendapat tentangan dalam kalangan komponen parti dan pengundi.
"Di Sarawak, PH tidak dapat menandingi slogan Sarawak untuk orang Sarawak.
"Di Johor, keputusannya untuk menggunakan logo PKR ternyata tidak membantu partinya.
"Beliau perlu mencari naratif baru yang lebih sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.
Ujar Tunku Mohar, reformasi yang diperjuangkan masih berkisar kepada nostalgia lewat tahun 1990-an, dan tidak dapat dirasai oleh generasi pengundi kini.
Dalam pada itu, di sebalik kemenangan BN, ia boleh dianggap bukti bahawa Johor masih deposit selamat untuk BN terutama UMNO.
"Oleh itu, PKR dan Amanah perlu terus memperkuat jentera parti di samping memperjuangkan isu-isu rakyat bagi bagi mengembalikan sokongan kepada parti dan sekiranya ia mahu terus kekal relevan dalam senario politik negara terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca