ADA banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baharu sahaja selesai semalam. Yang paling jelas dan menonjol ialah di sebalik kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di 40 daripada 56 kerusi Dewan... Klik di sini untuk terus membaca

ADA banyak perkara yang boleh kita pelajari daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baharu sahaja selesai semalam.

Yang paling jelas dan menonjol ialah di sebalik kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah undi keseluruhan yang diperolehnya cuma 599,753 daripada 1,426,573 orang yang keluar mengundi.

Dari segi peratusan, cuma sekitar 43.11 peratus sahaja pengundi yang suka atau undi BN manakala 56.89 peratus iaitu jumlah yang lebih besar memilih untuk mengundi calon dari parti lain.

Daripada jumlah ini, yang mengundi parti dan calon lain secara keseluruhannya ialah 826,820 orang pengundi.

Jumlah yang keluar mengundi dalam pilihan raya ini sekitar 54.92 peratus daripada 2,599,797 pengundi berdaftar − iaitu yang terendah dalam mana-mana PRN.

Kita tidak tahu, apakah corak atau keputusan jika yang keluar mengundi jauh lebih besar.

Ini kerana kita tidak tahu kecenderungan 1,173,224 lagi pengundi yang tidak keluar mengundi. Boleh jadi calon lebih muda atau wakil dari Parti Muda yang akan mendapat laba paling besar daripada kumpulan ini.

Namun begitu, sebanyak mana sekali pun jumlah undi popular yang Muda peroleh, dari sudut pembentukan kerajaan, Muda secara tunggal tidak boleh membentuk kerajaan kerana mereka cuma bertanding di tujuh kerusi sahaja.

BN KALAH DALAM MENANG

Kembali kepada mereka yang tidak mengundi BN, jumlah ini amat menyerlah di DUN yang menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru. Ertinya, jika digabungkan jumlah yang tidak memberikan undi mereka kepada BN, maka calon BN kalah.

Dalam bahasa mudah, bolehlah kita katakan, BN kalah dalam menang.

Maka dari satu sudut, betullah apa yang disebutkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berkata, kemenangan BN ini bukanlah satu keputusan yang BN dan UMNO harus banggakan kerana peratusan yang keluar mengundi dan jumlah undi yang diterima itu tidak mencerminkan kehendak rakyat atau bangsa Johor secara keseluruhannya.

Oleh hal yang demikian, BN tidak boleh terlalu bergembira atau mendabik dada kerana jika andai kata semua parti lawan bergabung tenaga muncul sebagai gagasan tunggal, dah tentu BN kalah kerana jumlah yang mengundi parti lawan jauh lebih besar daripada jumlah yang mengundi mereka.

Secara matematiknya, kalau satu lawan satu memang BN sakit.

Namun pada masa yang sama, tidak ada parti yang secara tunggal sepertimana BN memperoleh undi yang lebih besar dan banyak kerana pengundi yang tidak mahukan BN menang membahagikan undi mereka di sana sini lebih daripada satu parti - maka BNlah menjadi satu-satunya parti yang muncul juara kerana undi mereka solid tidak pecah.

Lainlah, semua yang masuk bertanding membulatkan hati dan tekad, muncul sebagai entiti tunggal menentang BN, maka berdasarkan paten pengundian semalam, BN tewas, lawan BN menang.

Di Malaysia, sistem pengundian kita tidak sepertimana di Indonesia, Filipina atau Amerika Syarikat yang mana pengundi atau negara memilih presiden.

Jadi semua undi yang diperoleh daripada daerah, wilayah dan negeri disatukan menjadi jumlah besar dan siapa yang memperoleh undi paling popular maka dialah yang menang.

Sistem di Malaysia lain. Kita memilih wakil rakyat di DUN atau Parlimen yang kita berdaftar sebagai pengundi. Dari situ, kita perlu memilih calon yang bertanding dalam kawasan kita.

Parti atau calon yang menang di kawasan berkenaan kemudiannya dicampurkan dengan sekutu atau anggota parti mereka yang menang di tempat lain untuk dijumlahkan dengan siapa yang menang kerusi paling banyak yang berhak menentukan kerajaan.

Jika jumlah kerusi yang dimenangi ini tidak cukup untuk membentuk kerajaan maka siapa yang dapat membentuk gabungan majoriti akan diberi hak membentuk kerajaan.

Jika ini berlaku, bukan siapa di kalangan kerusi paling banyak yang akan diminta membentuk kerajaan tetapi gagasan gabungan tersebut.

Parti yang mempunyai hak mutlak untuk membentuk kerajaan adalah parti yang menang kerusi terbanyak secara tunggal iaitu memadai untuk tidak digugat gabungan parti lain sepertimana yang berjaya dicapai oleh BN iaitu menang sehingga 40 kerusi semalam.

Maka akhirnya, dalam konteks Malaysia, walaupun secara undi popularnya BN cuma memperoleh 43.11 peratus sokongan iaitu satu jumlah yang jauh lebih rendah daripada lawan-lawannya tetapi oleh kerana dari segi jumlah kerusi, mereka menang jumlah yang jauh lebih banyak daripada lawan kerana lawan mereka gagal memenangi kerusi kerana undi yang tidak sokong BN berpecah-pecah kepada banyak pihak, maka akhirnya BNlah yang berhak membentuk kerajaan kerana itulah sistem yang diguna pakai.

Yang dikira ialah siapa peroleh kerusi yang lebih banyak bukan peratusan undi popular yang besar.

Dalam satu-satu kawasan DUN itu boleh ada satu juta pengundi, tetapi calon yang menang hanya mewakili satu kerusi, bukan peratusan jumlah undi yang dia wakili.

Jadi lawan BN atau penganalisis boleh mundar mandir menjerit mengatakan BN tidak menang undi popular tapi undi popular tidak terpakai dalam sistem pilihan raya kita. Undi popular tidak membentuk kerajaan.Jumlah kerusi yang dimenangi yang menentukan pembentukan kerajaan.

Adakah parti-parti lain yang bersaing dengan BN tidak memahami senario ini? Sudah tentu mereka tahu dan sedar. Oleh itu mengapa tiada usaha bersungguh-sungguh dan lebih strategik diambil untuk memastikan satu gagasan tunggal sahaja dibentuk untuk melawan BN?

Mereka dah lakukan pada PRU14 dan jawapannya kita semua tahu berakhir bagaimana. Kerajaan itu tumbang dalam tempoh 22 bulan. Perdana Menteri bertukar sebanyak tiga kali.

Dan yang pasti, yang akan mengaum garang mahukan satu lagi pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) tak lain dan tak bukan ialah BN.

Tapi siapa yang boleh salahkan BN kerana mereka sudah kembali merasai kemenangan.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my


Klik di sini untuk terus membaca