KES kemalangan di lorong kecemasan terutama di lebuh raya sejak akhir-akhir ini begitu menyayat hati, apatah lagi jika melibatkan kematian.
Kes kemalangan parah juga kematian di jalan raya ini sebenarnya boleh dielakkan dengan beberapa tindakan proaktif juga reaktif pemandu, pengoperasi lebuh raya dan pengguna lebuh raya yang lain.
Antara yang dicadangkan ialah penggunaan telefon kecemasan yang terdapat di setiap beberapa kilometer di lebuh raya, menghubungi peronda lebuh raya dan penggunaan hazard light.
Oleh itu, setiap pengguna lebuh raya perlu menyimpan nombor telefon peronda lebuh raya yang berkaitan juga segala maklumat diperlukan seperti lori tunda.
Ketika Covid-19, apabila sekatan perjalanan antara negeri dikenakan, kes kemalangan jalan raya dilihat berkurangan dari biasa. Namun ia kembali meningkat selepas kelonggaran diberikan.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tempoh Covid-19 bermula 18 Mac 2020 sehingga 13 Oktober 2021, terdapat sebanyak 566,760 kemalangan yang dilaporkan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 5,412 adalah kemalangan maut membabitkan 5,739 kematian.
Sikap pemandu selain keadaan jalan dan cuaca antara faktor-faktor berlaku kemalangan.
Akhir-akhir ini kes-kes pemandu pemandu mabuk, memandu melawan arus dan buli jalan raya adalah antara perkara serius yang perlu diambil perhatian oleh pihak berkuasa.
Hukuman lebih berat mungkin lebih berkesan untuk mengawal kes-kes sedemikian daripada menjadi satu kelaziman pada masa akan datang.
Selain penguatkuasaan, penulis turut mencadangkan agar setiap kereta di Malaysia dilengkapi dengan kit perjalanan lebuh raya seperti yang diamalkan di Eropah yang dikenali sebagai AA Kit Perjalanan.
Antara isi kandungan kit keselamatan tersebut ialah tanda segi tiga amaran, jaket kuning, kit pertolongan cemas dan peralatan lain yang difikirkan perlu dan sesuai dengan keadaan jalan dan cuaca di Malaysia seperti banjir kilat.
Tanda segi tiga amaran perlu diletakkan dalam jarak sesuai untuk menghalang pemandu lain memasuki lorong kecemasan apabila tidak perlu, juga bagi memberi ruang penampan kepada kereta rosak di lorong tersebut.
Dengan cara itu, kemalangan di lorong kecemasan dapat dielakkan.
Penggunaan kit perjalanan kereta ini secara umumnya memberi peluang kepada pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan sama ada di jalan raya biasa, negeri, persekutuan dan lebuh raya untuk memperlihatkan situasi kecemasan mereka secara lebih jelas kepada pemandu lain.
Ini memberi ruang kepada pemandu lain untuk lebih berhati-hati dengan kenderaan yang rosak tersebut.
Keadaan menjadi lebih buruk lagi jika cuaca buruk seperti hujan juga waktu malam, berkabus sama ada ketika banyak kenderaan atau tidak yang menyukarkan bantuan .
Mungkin ada segelintir pihak menyarankan agar segera menghubungi pihak peronda lebuh raya untuk datang segera menghantar bantuan, membawa kon kecemasan dan sebagainya, namun kadang-kadang terdapat hal-hal yang tidak dapat dielakkan seperti telefon rosak atau kerosakan berlaku di jalan biasa yang tiada peronda lebuh raya.
Maka kit perjalanan yang memang telah tersedia di dalam kenderaan ini mungkin menjadi penyelamat nyawa.
Sementalah itu, penguatkuasaan dan rondaan lebih kerap oleh JPJ, polis juga peronda lebuh raya atau sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) antara langkah yang perlu.
Selain itu, kempen-kempen pemanduan secara berhemah dan tidak merbahaya perlulah dipergiatkan semula.
Dengan mengawal sikap pemandu, pembacaan doa agar perjalanan dipelihara Tuhan, penguatkuasaan dan pemantauan oleh pihak berwajib serta penyediaan kit perjalanan kenderaan, diharapkan kadar kemalangan di Malaysia dapat dikurangkan pada masa akan datang.
* Dr Noor Dzuhaidah Osman ialah Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Klik di sini untuk terus membaca