BERAKSI cemerlang dengan menyumbang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 12 kerusi dimenangi koalisi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, DAP membuktikan ia parti yang masih relevan dalam... Klik di sini untuk terus membaca

BERAKSI cemerlang dengan menyumbang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 12 kerusi dimenangi koalisi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, DAP membuktikan ia parti yang masih relevan dalam persaingan politik negara.

Selain berjaya mendahului parti sekutu Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam saingan merebut kerusi DUN, antara kejayaan manis lain yang dilakar DAP pada PRN Johor kali ini adalah menerusi Marina Ibrahim yang mendapat 26,359 undi atau 58.53 peratus sekali gus meletakkan dirinya sebagai individu yang mempunyai undian paling tinggi secara keseluruhan.

Ternyata, parti yang sinonim dengan sokongan kuat pengundi berbangsa Cina itu membuktikan ia mampu memberi cabaran selain mempunyai kelebihan berbanding dua lagi parti sekutu PH iaitu Amanah dan PKR pada PRN Johor ke-15 ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, kestabilan dalam parti membolehkan DAP mempamer keputusan baik dan tidak terlalu mengecewakan.

"Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-15 semalam dapat dilihat DAP adalah parti yang lebih berpotensi dan menonjol jika dibandingkan dua parti lain dalam PH.

"DAP juga dilihat lebih stabil berikutan tiada masalah dalaman parti kronik berbanding PKR, sementara Amanah walaupun tiada krisis dalaman tetapi ia masih belum mampu menyerlah potensi sebenar dan seolah-olah wujud di belakang pentas,” ujar Kok Seong kepada Sinar Premium.

Di sebalik faktor kestabilan parti yang mendorong keyakinan para pengundi untuk memberi sokongan kepada DAP, bertanding di kawasan majoriti Cina sudah pasti satu kelebihan yang tidak dapat dinafikan.

"Sudah tentu sokongan terbesar kepada DAP datang dari kaum Cina dan bertanding di kawasan majoriti Cina sudah umpama satu jaminan kemenangan,” katanya lagi.

Adakah ini bermakna DAP tidak harus langsung berusaha memenangi hati pengundi bukan dalam kalangan kaum Cina?
Marina Ibrahim memenangi kerusi DUN Skudai dalam PRN Johor pada Sabtu.

Kok Seong berkata, DAP berusaha ke arah ini dengan mahu bertanding dengan menggunakan logo PH dan bukannya logo DAP.

"Selain itu DAP juga sedia mengetengahkan lebih ramai calon bukan Cina apabila bertanding untuk perlihat bahawa DAP bukan semata-mata parti Cina.

KELEBIHAN DAP

Tambahnya, DAP juga mempunyai satu ‘kelebihan’ yang tidak dimiliki parti lain iaitu parti tersebut dilihat sebagai lebih berani dalam cuba menangani sesuatu isu dengan kelantangan yang sering kali tidak berlapik.

Ia juga dilihat sebagai sebuah parti komponen yang sentiasa bersedia untuk mengukuhkan kekuatan pakatan yang dijalin bersama PH.

Namun untuk kelangsungan masa depan DAP dan seluruh kem pembangkang, usaha harus diteruskan untuk mengukuhkan kestabilan parti terutamanya menyelesaikan dengan segera apa jua masalah dalaman parti untuk kepentingan bersama.

Menyentuh soal hasil keputusan PRN Johor semalam, seperti telah diramal para penganalisis, peratusan keluar mengundi yang rendah akan menyebelahi Barisan Nasional (BN).

Terbukti BN berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

PH di tempat kedua dengan 12 kerusi diikuti Perikatan Nasional 3 kerusi, Parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) satu kerusi manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan parti Bebas gagal meraih sebarang kerusi.

Namun berdasarkan situasi politik semasa negara yang tidak menentu DAP berasakan ia masih lagi mencapai sasarannya di bumi Johor yang merupakan bumi kelahiran parti UMNO.

Klik di sini untuk terus membaca