BURUH binaan adalah antara input utama dalam sektor pembinaan setelah berdekad lamanya.
Bangunan pencakar langit yang ikonik, infrastruktur megah dan fasiliti terbina indah hasil tenaga dan kudrat buruh binaan.
Pertumbuhan rancak dalam sektor pembinaan membuatkan negara terpaksa bergantung kepada buruh asing.
Atas aspek insani, kebajikan buruh binaan perlu difokuskan secara menyeluruh.
Buruh binaan lazimnya ditempatkan sama ada di tapak bina atau lebih dikenali sebagai rumah kongsi (berkonsepkan penempatan sementara) atau di rumah kedai sehingga tamat kerja pembinaan.
Isu yang acapkali timbul di rumah kongsi ialah masalah kesihatan.
Perkara ini berlaku disebabkan sistem pembetungan dan saliran tidak menepati piawaian kerap mendatangkan pelbagai masalah terutama kesihatan seperti denggi, malaria, taun dan penyakit berjangkit.
Kepadatan yang tinggi di penempatan buruh binaan menyebabkan penyakit berjangkit seperti Covid-19 lebih mudah menular di tapak bina.
Prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19 sukar dilaksanakan dengan lebih ketat menyebabkan banyak terhasilnya kluster di tapak bina baru-baru ini.
Masalah yang kerap berlaku di rumah kongsi ialah kebakaran. Kebanyakan laporan mencatatkan punca kebakaran ialah litar pintas, kecuaian di dapur dan puntung rokok.
Susun atur dan reka bentuk rumah kongsi yang tidak menitikberatkan elemen keselamatan menjadikan kebakaran lebih mudah merebak.
Isu lain melibatkan keselamatan ialah kes pergaduhan, kecurian harta benda, peras ugut dan hal berkaitan dokumentasi buruh asing.
Dalam inisiatif untuk menjaga kebajikan dan keselamatan serta meningkatkan produktiviti buruh binaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memperkenalkan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).
CLQ pertama mula beroperasi sekitar Oktober 2017 dan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pemain industri terutama yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur seperti LRT3 dan MRT2.
Dengan kadar sewa bulanan seorang pekerja serendah RM150, kontraktor boleh menempatkan buruh binaan di CLQ yang lengkap pelbagai kemudahan seperti kad akses, sistem kamera litar tertutup (CCTV), kedai runcit, dobi, kafeteria, gelanggang rekreasi, tandas dan bilik mandi, perabot asas dan fasiliti seperti bilik sakit yang setaraf dengan CLQ negara maju seperti Singapura, Hong Kong dan Emiriyah Arab Bersatu.
Susun atur dan reka bentuk CLQ menepati garis panduan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta dilengkapi sistem pemadaman api yang komprehensif.
Undang-undang tegas di CLQ menghalang penghuninya menggunakan bahan terlarang seperti dadah, minuman alkohol dan rokok.
Selain itu, sistem saliran dan pembetungan yang disediakan mengekang pelbagai isu-isu kesihatan.
Terdapat CLQ yang beroperasi dilengkapi dengan sistem pengesanan tarikh pembaharuan dokumentasi buruh asing.
Semua fasiliti tersebut diselenggarakan dengan baik oleh syarikat pengurusan fasiliti.
Dalam kajian yang dijalankan terhadap penghuni CLQ, rata-rata buruh binaan yang ditempatkan di situ amat berpuas hati dan berasa selamat.
Bilik penginapan yang memuatkan empat hingga enam orang memberi ruang kondusif kepada penghuni.
Di samping itu, sistem kad akses yang digunakan di CLQ dapat mengawal pergerakan penghuni.
Kelebihan ini dapat dimanfaatkan untuk mengekang wabak Covid-19 daripada mudah merebak.
Masa senggang penghuni CLQ dimanfaatkan dengan aktiviti kerohanian di surau dan berekreasi di gelanggang sukan. Secara amnya, jadual harian penghuni CLQ lebih tersusun.
Di sebalik kemudahan dan fasiliti yang mencukupi, ironinya inisiatif penyediaan CLQ masih lagi belum membuka mata pemain industri pembinaan terutamanya pihak kontraktor untuk menempatkan buruh binaan mereka.
Sudah terang lagi bersuluh, CLQ memberi pilihan yang ekonomi, selamat, bersih, sihat dan kondusif kepada kontraktor untuk menempatkan buruh binaan mereka di situ.
Dengan manfaat ini, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan dapat dijaga dalam usaha meningkatkan prestasi dan produktiviti dalam industri pembinaan.
* Ts Zulkhairy Affandy Mohd Zaki Pensyarah Pusat Pengajian Ukur Bahan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca