SHAH ALAM - Kejutan demi kejutan terus berlaku pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Terkini, bekas Exco Belia, Sukan dan Pelancongan negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kejutan demi kejutan terus berlaku pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Terkini, bekas Exco Belia, Sukan dan Pelancongan negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi disebut-sebut bakal menggantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar baharu.

Spekulasi itu semakin kuat kedengaran setelah Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor, mengeluarkan kenyataan mencadangkan pucuk kepimpinan parti memilih 'orang muda' bagi mentadbir kerajaan negeri Johor.

Hasni dalam kenyataan itu turut menegaskan pertimbangan itu dibuat beliau setelah mengambil kira kepentingan kepimpinan orang muda dalam pembangunan negeri Johor dan kemakmuran yang berkekalan.

Hasni Mohammad

"Kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan saya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri ini berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

"Insya- ALLAH di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan lebih makmur dan sejahtera.

"Seperti yang saya sebutkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, parti politik atau ahli politik yang lebih besar atau lebih penting daripada Johor Darul Takzim.

"Kini merupakan masa untuk kita sama-sama membina Johor yang lebih makmur," katanya dalam satu kenyataan media yang disahkan oleh Setiausaha Akhbar beliau pada Isnin.

Kenyataan beliau itu sekali gus menguatkan teka-teki bahawa rakyat Johor bakal mendapat Menteri Besar baharu.

Kenyataan media Hasni yang disahkan oleh pegawainya petang Isnin.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Puteri, Johor Bahru pada 3 petang tadi dan pertemuan berlangsung hampir sejam.

Sebelum ini, terdapat sumber memaklumkan UMNO-BN telah mempersembahkan nama tiga calon Menteri Besar Johor kepada Tuanku Sultan Ibrahim.

Selain Hasni, dua lagi nama yang disebut-sebut adalah Onn Hafiz yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi yang kini menjadi ADUN Rengit.

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilaksanakan, nama Onn Hafiz sememangnya sudah kuat kedengaran dalam kalangan pemimpin UMNO Johor sebagai calon Menteri Besar negeri itu selepas Hasni.

Hal ini susulan beliau mempunyai hubungan sangat rapat dengan Istana Johor, di samping dianggap calon Menteri Besar yang lebih pragmatik dan dekat dengan pengundi muda.

BN meraih majoriti 2/3, selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Sabtu lalu.

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan Hasni akan terus menjadi Menteri Besar Johor, jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.

Hasni berjaya mempertahankan kerusi DUN Benut pada PRN Sabtu lalu.

Klik di sini untuk terus membaca