SHAH ALAM - Pas akan meneliti permohonan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyatakan hasrat mahu keluar daripada parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas. Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas akan meneliti permohonan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menyatakan hasrat mahu keluar daripada parti dan menjadi ahli Parlimen Bebas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi wartawan Sinar Premium berkata, beliau hanya mengetahui berita mengenai tindakan bekas Setiausaha Majli Syura Ulama berkenaan mahu meninggalkan Pas menerusi media massa.

"Saya dapat maklumat melalui media mengenai permohonan Mohd Khairuddin dan parti mengambil maklum akan permohonannya. Parti akan teliti permohonan dan akan buat keputusan nanti.

"Justeru, saya berharap seluruh ahli parti dapat meneruskan tugas macam biasa dan ini bukan perkara baharu dalam mana-mana parti. Jadi semua pihak perlu teruskan istiqamah dalam perjuangan sehingga bertemu ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin ketika dihubungi enggan mendedahkan punca sebenar beliau mengambil keputusan mengejut meletakkan jawatannya sebagai ahli Pas dan kini menjadi ahli Parlimen Bebas.

Khairuddin yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, menjelaskan beliau memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai isu peletakan jawatannya pada Isnin.

"Saya akan ulas kemudian nanti," katanya ketika ditanya sama ada peletakan jawatannya adalah kerana beliau rimas dengan tindak tanduk sekumpulan pemimpin Pas yang cuba menyingkirkannya daripada parti itu sebelum ini.

Sebelum itu, Khairuddin yang juga bekas ahli Jawatankuasa Pas Pusat dalam sidang akhbarnya di Parlimen mengesahkan bahawa beliau kini adalah ahli Parlimen Bebas kerana sudah sudah menyerahkan surat pemberhentian selaku ahli Pas kepada Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen kira-kira jam 2.30 petang, Isnin.

Khairuddin yang juga mantan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi berkata, tindakannya itu adalah selaras dengan Perlembagaan Pas iaitu keberhentian ahli dengan permintaan sendiri.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pas atas peluang menjadi ahli selama 33 tahun sejak 1989 dan seterusnya menjawat pelbagai jawatan kepimpinan sejak 1999.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Pas yang memberi peluang untuk dicalonkan pada pilihan raya, seterusnya menjadi Ahli Parlimen Kuala Nerus sejak 2013," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen yang turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, biarpun bukan lagi menjadi ahli Pas, beliau tetap akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai ahli Parlimen untuk waktu berbaki sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Pas sebagai mematuhi bai’ah dibuatnya ketika bertanding.

Klik di sini untuk terus membaca