IA mengambil satu tempoh yang lama dan lena yang panjang iaitu selepas tiga Pilihan Raya Negeri untuk mereka tersedar. Baguslah daripada tidak sedar langsung dan terus lena dibuai mimpi indah (atau mungkin juga igauan yang menjadi punca terjaga daripada mimpi).
Walaupun yang bangun bercakap tentang hal ini adalah seorang ‘Pak Lawak’ tapi lebih elok daripada seorang yang dianggap sebagai pemikir dan pendokong pemikiran Malek Bin Nabi tapi gagal memikirkan apa-apa yang bernas dan serius untuk masa depan negara ini.
Maka eloklah apabila Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam hantaran di laman Facebooknya tiba-tiba menyedarkan semua rakan dan taulannya bahawa kejayaan hanyalah satu mimpi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika mereka semua (barisan pembangkang) gagal bersatu untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN).
"Saya ingin mengingatkan semua parti, jika kita berterusan berpecah belah sebegini dalam menghadapi BN, kita hanya sekadar boleh makan angin secara beramai-ramai selepas PRU15 nanti,” ujarnya.
Walaupun nadanya bergurau tapi ini adalah Mat Sabu (sejak bila beliau pernah serius).
Hakikatnya Mat Sabu telah bersuara dan dalam suaranya itu beliau menyarankan betapa satu keperluan yang mendesak untuk semua parti pembangkang segera mencari jalan atau solusi mencantumkan mereka semula sebagai satu strategi bersama dalam menghadapi PRU15.
Mat Sabu menerima hakikat bahawa kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor khususnya di kawasan majmuk yang menurutnya adalah kubu kuat mereka, disebabkan peratusan yang keluar mengundi rendah.
Persoalan yang Mat Sabu tidak jawab ialah, jika sudah boleh diandaikan demikian, apakah strategi yang diguna pakai untuk memujuk atau mendorong para pengundi keluar. Itu yang tidak dinyatakan.
Yang kedua, beliau menyatakan punca kekalahan besar mereka adalah disebabkan perpecahan dalam kalangan pembangkang.
"Bagi saya, kekuatan Barisan tidak bertambah. Sebaliknya mereka mengaut keuntungan hasil daripada perpecahan besar parti-parti pembangkang,” kata Mat Sabu.
Sebaliknya Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan PRN Johor adalah satu peringatan untuk semua parti politik supaya mengumpul semula kekuatan menjelang PRU15 nanti.
Benar. Kesedaran harus ada tapi kenapa baru hendak sedar sekarang. Kenapa tidak mahu sedar sebelum pilihan raya berlangsung. Baru hendak sedar selepas rakyat dah buat keputusan adalah keputusan yang salah dan silap.
Yang perlu PH benar-benar sedar ialah mereka cuma menang 12 kerusi – 10 daripadanya oleh DAP.
PKR dan Amanah masing-masing menang satu kerusi sahaja. Nak letak muka di mana jika dalam setiap PRN, prestasi PH makin merudum dan menurun macam dah hilang taring dan pengaruh.
Malah Perikatan Nasional (PN) dan Parti Muda yang baru berusia setahun jagung menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik.
PN yang menang tiga kerusi - dua oleh Bersatu dan satu Pas - memperlihatkan pengaruh yang jauh lebih besar dan baik daripada PKR dan Amanah di kawasan majoriti pengundi Melayu.
Tidak syak lagi, jika PN mampu bertahan dan terus bekerja keras mereka akan mengambil alih tempat PKR sebagai pesaing BN/UMNO di kawasan Melayu pada PRU15 nanti.
Tapi bergerak solo telah membuktikan satu perkara buat semua parti pembangkang dalam PRN yang telah lepas - mereka tidak boleh menumpaskan BN dan UMNO.
Mereka kena terima hakikat yang peluang mereka hanya lebih besar jika mereka bergerak sebagai satu entiti menentang BN.
Terimalah hakikat dan fakta, masuk gelanggang beramai-ramai bersaing dengan BN tidak akan dapat menumpaskan BN.
Kaji dan terima apa yang dikatakan oleh Pak lawak Mat Sabu. Kali ini beliau tidak melawak atau bergurau. Kalau boleh Mat Sabu akan berkata ini bukan cubaan... ini betul-betul!
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca