SELEPAS UMNO dan Barisan Nasional (BN) menepati ramalan banyak pihak menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini tumpuan terarah pula kepada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021. PAU bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur bermula esok hingga 19 Mac hadapan.
Dengan laungan 'bubar Parlimen' sebilangan penyokong UMNO mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu beliau memasuki bangunan Command Centre BN di Johor Bahru, Johor pada Sabtu bagi meraikan kemenangan BN, ia bagai satu petanda dan isyarat besar.
Ramai pemerhati politik menjangkakan peristiwa itu sebagai isyarat PAU 2021 bakal menjadi medan akar umbi dan pucuk kepimpinan UMNO mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen, sekali gus memberi ruang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Sebelum ini, terdapat pemimpin UMNO seperti Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berpandangan Ismail Sabri sewajarnya diberikan lebih masa untuk mentadbir kerajaan sekurang-kurangnya sehingga habis penggal pentadbiran tahun hadapan.
Ditambah kerajaan memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) gencatan politik dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga bulan Julai hadapan.
Kelompok pemimpin pro kepada Ahli Parlimen Bera itu merasakan tiada keperluan untuk PRU15 diadakan lebih awal pada saat negara masih dalam proses pemulihan ekonomi.
Namun, kemenangan bergaya UMNO-BN pada PRN Melaka dan Johor secara jelasnya memberikan keyakinan tambahan, bahawa sokongan majoriti rakyat Malaysia sudah kembali kepada parti itu.
Sudah pasti tekanan hebat kini mula dirasai Ismail Sabri dari peringkat akar umbi UMNO dengan beliau berdepan risiko dalam pemilihan parti sekiranya tuntutan-tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Bagaimanapun, sekiranya beliau akur dengan kehendak parti, Naib Presiden UMNO itu bakal mencatat sejarah negara sebagai Perdana Menteri paling singkat tempoh perkhidmatan iaitu tidak sampai setahun.
"Kemungkinan besar usul tuntutan pembubaran Parlimen dikemukakan dalam PAU 2021 adalah sangat tinggi dengan ahli-ahli UMNO melihat keperluan itu semakin mendesak pada saat parti-parti pembangkang semakin berpecah.
"Sekiranya PRU15 diadakan pada bulan Julai dan Ogos ini, saya menjangkakan UMNO-BN bakal mengulangi keputusan menang besar dengan majoriti dua pertiga yang pernah dicapai parti itu pada PRU 2004.
"Justeru, Ismail Sabri menyedari tuntutan PRU15 oleh UMNO kini tidak lagi boleh dilihat sebagai tuntutan peribadi segelintir pemimpin, sebaliknya merupakan hasrat keseluruhan ahli parti itu bagi meneruskan rentak kemenangan besar dua PRN," kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo kepada Sinar Premium pada Ahad.
Berikutan itu, Mohamad Khir berkeyakinan Ismail Sabri akhirnya terpaksa akur dengan kehendak parti berbanding memilih untuk bertahan sebagai Perdana Menteri sehingga tahun hadapan.
Hal ini kerana Ahli Parlimen Bera itu sedar beliau pastinya akan berdepan cabaran di peringkat akar umbi UMNO.
"Senario politik pembangkang ketika ini sangat bercelaru apabila Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad terbukti sudah kurang berpengaruh, manakala populariti Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terhakis.
"Saya yakin Perdana Menteri akhirnya akan akur dengan kehendak parti. Beliau perlu ambil pengajaran daripada kelewatan pelaksanaan PRU14 yang sepatutnya dilaksanakan selepas penganjuran Sukan Sea tahun 2017, akhirnya memberi ruang parti pembangkang kembali bernyawa," ujar Mohamad Khir.
Ditanya sama ada Ismail Sabri bakal menjadi 'poster boy' UMNO-BN sekiranya PRU15 diadakan segera, Mohamad Khir bagaimanapun skeptikal dengan peluang Naib Presiden UMNO itu.
Ini kerana Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan telah berjaya membuktikan kemampuan masing-masing melalui prestasi dua PRN penting sebelum ini.
MASA DEPAN MN
Dalam perkembangan lain, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar meramalkan PAU 2021 ini bakal menjadi medan terbaik ahli-ahli UMNO menguburkan agenda Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.
Tambahnya, dengan kenyataan dua Presiden parti itu kini tidak menunjukkan kemesraan di antara satu sama lain selain tiada lagi kedengaran laungan perpaduan ummah sesama mereka, beliau menjangkakan satu usul khas akan dikemukakan akar umbi UMNO bagi menoktahkan kerjasama MN.
"Prestasi dominan UMNO-BN pada PRN Melaka dan Johor turut membuktikan kemampuan mereka memenangi pilihan raya secara bersendirian, dengan syarat PRU15 diadakan secepat mungkin.
"Pada masa sama, UMNO masih terluka terhadap keputusan Pas membelakangkan mereka dengan menyertai koalisi rasmi Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), musuh ketat UMNO sendiri," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca