KUALA LUMPUR - Tindakan tiga doktor di klinik swasta yang mengaut untung dengan mengambil kesempatan menjual sijil vaksinasi palsu berjaya dibongkar menerusi operasi sejak Januari hingga 1 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, doktor yang terlibat dengan kegiatan itu melantik ejen-ejen dalam kalangan orang awam bagi mempromosikan sijil vaksinasi palsu kepada kenalan mereka.
Menurutnya, pelanggan yang berminat perlu membuat temu janji di klinik swasta berkenaan dan dikenakan bayaran dari RM500 ke RM600 seorang.
"Mereka memang tidak mahu divaksin tetapi kerana peraturan menyatakan perlu ada sijil vaksin untuk urusan tertentu, jadi mahu tak mahu mereka perlukan sijil vaksinasi dan inilah yang berlaku sekarang.
"Jadi mereka membayar untuk mendapatkan sijil vaksinasi yang dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, Kuala Lumpur baru-baru ini.Beliau berkata, pihak polis telah menahan seramai 45 individu membabitkan sembilan kes jual beli sijil palsu berkenaan sejak Januari hingga 1 Mac di seluruh negara.
Kata Mohd Kamarudin, pihaknya telah buka sembilan kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan beberapa kes disiasat di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
"Seramai 45 orang yang kita tangkap ini terdiri daripada tiga doktor swasta, lima kakitangan klinik swasta, enam ejen dan pembeli sijil palsu membabitkan 25 kakitangan awam serta enam pekerja swasta,” katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati tiada doktor hospital awam yang bersekongkol dengan kegiatan tidak bertanggungjawab berkenaan.
Katanya, klinik-klinik swasta terbabit dipercayai menjalankan kegiatan tersebut untuk mencari pendapatan tambahan dengan cara mudah.
"Apa pun alasan mereka, perbuatan ini merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang kerana ia melibatkan kesihatan awam.
"Seandainya mereka yang tidak divaksin ini dijangkiti kesannya amat berat kepada diri mereka dan kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain amat tinggi,” jelasnya.
Menurut Mohd Kamarudin, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah inisiatif kerajaan untuk mengekang penularan wabak berkenaan.
Justeru, beliau berkata, tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ini tidak sewajarnya berlaku dan pihak polis akan mencadangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk turut mendakwa semua pembeli sijil palsu terbabit.
Katanya, individu yang disyaki membeli sijil palsu tersebut, status MySejahtera mereka akan disekat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sementara siasatan dijalankan.
Pada masa sama, polis turut membekukan beberapa akaun bank milik doktor dan klinik terbabit di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) 2001.Katanya, selain itu, ujian patologi terhadap pembeli suntikan vaksin juga telah mula dilaksanakan.
"Kes ini membabitkan tiga kes di Sabah bertujuan untuk membuktikan sama ada individu terbabit benar telah menerima suntikan vaksinasi atau tidak.
"Ini adalah kes pertama kami (polis) menggunakan ujian patologi dan kalau itu menunjukkan hasil positif, ia akan menjadi precedence (duluan) dan kita akan cadangkan untuk gunakan keputusan ujian patologi sebagai bahan bukti di mahkamah,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca