RAMAI melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu merupakan skrip ulangan PRN Melaka tahun lalu di mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan dominasi manakala blok pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN)... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu merupakan skrip ulangan PRN Melaka tahun lalu di mana UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan dominasi manakala blok pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN) kalah teruk.

UMNO-BN menang bergaya apabila membolot 40 daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor meskipun jumlah pengundi menyokong parti itu hanya sekitar 43.11 peratus daripada keseluruhan 1.4 juta pemilih berdaftar yang keluar mengundi.

Berdasarkan keputusan rasmi PRN kali ini, UMNO sahaja berjaya menawan 33 kerusi DUN, diikuti dengan sekutu BN lain seperti MCA dan MIC yang masing-masing memenangi empat dan tiga kerusi.

Malah, UMNO merampas kembali sebilangan besar kerusi majoriti Melayu yang sebelum ini dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewaktu bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebagai sebuah koalisi parti baharu dalam menghadapi PRN Johor, PN yang dianggotai Bersatu dan Pas sebaliknya tidak boleh dianggap gagal sepenuhnya, sekalipun sekadar menang tiga kerusi DUN iaitu Bukit Kepong dan Endau (Bersatu) dan Maharani (Pas).

Lebih menarik, analisis data keputusan PRN Johor menunjukkan PN kini mengambil alih kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH sebagai pencabar utama UMNO-BN di 20 kawasan kerusi majoriti Melayu terletak di luar bandar dan lima kerusi campuran.

Semakan data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mendapati PN memberi saingan sengit kepada UMNO-BN di kerusi DUN Gambir, Serom, Bukit Pasir, Bukit Naning, Sungai Balang, Semerah, Sri Medan, Parit Raja, Semarang, Rengit, Layang-Layang dan Kahang.

Selain itu, calon-calon PN berjaya mengetepikan cabaran calon PKR, Amanah mahupun Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) di DUN Benut, Kukup, Larkin, Permas, Tiram, Tanjung Surat, Penawar, Johor Lama, Pasir Raja, Panti, Tenggaroh dan Sedili, walaupun tumbang kepada calon BN.

Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, beliau melihat PN mempunyai masa hadapan lebih cerah berbanding parti-parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk mencabar penguasaan UMNO-BN pada PRU15.

Jelas beliau, hal ini kerana majoriti pengundi yang menolak UMNO-BN pada PRN Johor - dianggarkan lebih 800,000 pemilih - melihat PN lebih stabil dan bersepakat berbanding koalisi PH yang menampakkan perpecahan dalaman ketara.

"Tidak dinafikan PN diketuai Bersatu dan Pas ternyata berjaya memecahkan dominasi sokongan pengundi Melayu yang selama ini diraih UMNO-BN.

"PN sememangnya memiliki potensi. Namun tanpa sokongan daripada segmen pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina, mereka sukar untuk mengalahkan BN.

"Justeru, strategi yang perlu difikirkan PN bagi menghadapi PRU15 adalah bagaimana mereka mahu meraih sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus sokongan pengundi bukan Melayu. ini kerana kehadiran Gerakan terbukti tidak memberi sebarang impak dalam meraih sokongan segmen itu,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Hisommudin

PUAS HATI

Sementara itu, Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed mengakui pihaknya berpuas hati dengan prestasi keseluruhan calon Pas dan PN pada PRN Johor, meskipun koalisi itu gagal menepati jangkaan dalam menggagalkan usaha UMNO-BN menang majoriti dua pertiga.

Menariknya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu mendedahkan PN dan Pas sepatutnya memenangi kerusi DUN Bukit Pasir, jika tidak berlaku perpecahan undi membabitkan calon Pas dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu, Najib Lep yang memilih bertanding tiket bebas di kerusi berkenaan.

"Kerusi Bukit Pasir memang sepatutnya dimenangi Pas dan PN. Namun disebabkan masalah dalaman, undi kita berpecah. Akhirnya UMNO menerima manfaat,” katanya.

Di sebalik permasalahan itu, Mahfodz menyedari sokongan pengundi Felda dan Felcra yang kebiasaannya cenderung menyokong UMNO dan pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, sebahagian besarnya sudah beralih kepada calon PN.

"Senario ini sebenarnya sudah memperlihatkan kematangan pengundi Melayu yang sedikit sebanyak menyedari PN merupakan koalisi paling bersih dan berintegriti untuk mentadbir negara ini berbanding BN dan PH.

"Saya yakin sokongan pengundi Melayu terhadap PN mungkin menjadi lebih tinggi sekiranya kadar peratusan keluar mengundi lebih tinggi. Namun, Pas dan PN menerima keputusan kekalahan kita dengan hati terbuka.

"Mengenai keperluan sokongan pengundi Cina untuk menang PRU15, ya, saya akui perkara itu dan kita masih berusaha ke arah itu,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca