TANAH runtuh merupakan antara bencana alam utama di Malaysia. Geobencana ini kerap berlaku di sepanjang lereng bukit dan lereng curam mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda hingga membawa kerugian besar kepada negara.... Klik di sini untuk terus membaca

TANAH runtuh merupakan antara bencana alam utama di Malaysia. Geobencana ini kerap berlaku di sepanjang lereng bukit dan lereng curam mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda hingga membawa kerugian besar kepada negara.

Natijahnya, bencana jenis ini menunjukkan peningkatan yang mendadak daripada segi kekerapan, saiz dan juga magnitud.

Tanah runtuh ditakrifkan sebagai pergerakan jasad tanih dan batuan yang membentuk cerun di bawah pengaruh graviti dan terjadi melalui proses semula jadi atau akibat daripada aktiviti manusia. Faktor semula jadi berkait dengan jenis bahan dan ketebalan, geomorfologi, pemendakan, dan pemotongan cerun.

Faktor manusia termasuk pengubahsuaian cerun, puncak cerun overloading, pengubahsuaian saliran dan pemindahan tumbuh-tumbuhan. Peningkatan kes geobencana ini berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya, jalan raya, empangan dan kawasan penempatan baru yang semakin pesat dan mendesak hingga merebak ke terain-terain perbukitan.

Namun pencetus terbesar geobencana ini adalah kewujudan air yang berlebihan terutama ketika musim hujan, sama ada hujan turun secara berlebihan atau turun dalam tempoh masa lama.

Faktor pencetus ini bersama faktor penyumbang lain seperti bahan geologi dan morfologi cerun di tempat kejadian telah menyumbang kepada berlakunya kegagalan cerun. Tanah runtuh dikelaskan berdasarkan jenis bahan dan juga pergerakan.

Terdapat 10 jenis klasifikasi tanah runtuh iaitu gelinciran putaran, gelinciran peralihan, gelinciran batuan, jatuhan batuan), terbalikan (topple), aliran debris atau puing, runtuhan debris (debris avalanche), aliran tanah, rayapan (creep), dan rebakan sisi (lateral spread).

PEMBANGUNAN PESAT

Kejadian tanah runtuh terawal direkodkan di Malaysia adalah pada 17 Disember 1919 apabila jatuhan blok batu kapur terjadi, yang mana 12 nyawa diragut di Bukit Tunggal, Ipoh. Pada tahun 2021 sahaja, 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Antara yang paling terkesan adalah runtuhan tanah pada lereng Gunung Jerai, Kedah sehingga meragut enam nyawa. Terbaharu, insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai, dekat Ampang Jaya, menyebabkan 15 kediaman terkesan dengan dua tertimbus sepenuhnya, mengakibatkan 10 kenderaan tertimbus dan mengorbankan empat nyawa.

Hal ini membuktikan kejadian tanah runtuh biasanya ditemui dalam bentuk kegagalan cerun buatan manusia, terutamanya cerun yang terlibat dengan aktiviti tarahan dan penambakan yang sering berlaku sepanjang kawasan lebuh raya, perumahan dan kawasan bandar.

Pertumbuhan pesat kawasan bandar mempercepatkan lagi kadar urbanisasi bagi menampung peningkatan populasi yang mendadak yang mana secara tidak langsung lebih banyak tanah akan dibangunkan secara berterusan akibat permintaan yang semakin meningkat terhadap perumahan, infrastruktur dan pengangkutan bagi menampung keperluan pembandaran.

Akibatnya, aktiviti-aktiviti ini terpaksa ditempatkan di kawasan ekologi rapuh seperti lereng bukit yang mempunyai risiko untuk mengalami bencana tanah runtuh.

Di seluruh negara, 122 lokasi cerun yang diklasifikasikan sebagai kritikal tahap tinggi (hot spots) dan berpotensi berlakunya bencana tanah runtuh telah dikenalpasti. Atas nama pembangunan, manusia seolah-olah cuba melakukan perubahan mendadak yang tidak mampu diterima oleh alam.

Perubahan yang tidak seimbang dengan kemampuan alam untuk menerimanya bukan sahaja akan memusnahkan alam sekitar tetapi akan turut memusnahkan penghuninya. Maka, pengurusan bencana dan risiko tanah runtuh memerlukan pemahaman mendalam daripada segi faktor geologi, geoteknikal dan geomorfologi cerun.

Dalam konteks Malaysia, pemeriksaan berterusan ke atas cerun untuk mengesan ketidakstabilan sangat diperlukan selain merujuk pengelasan cerun-cerun bagi kesesuaian pembangunan kepada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca