KEADAAN politik semasa di negara ini terus dibadai kemelut, walaupun mungkin terdapat beberapa peristiwa seperti pilihan raya negeri yang dapat memberi petunjuk tertentu mengenai arah kepimpinan negara pada masa hadapan. Seperti mana-mana... Klik di sini untuk terus membaca

KEADAAN politik semasa di negara ini terus dibadai kemelut, walaupun mungkin terdapat beberapa peristiwa seperti pilihan raya negeri yang dapat memberi petunjuk tertentu mengenai arah kepimpinan negara pada masa hadapan.

Seperti mana-mana negara diterajui pemimpin politik, organisasi ketenteraan turut mempunyai kepimpinannya tersendiri dan seperti juga ahli politik, pemimpin ketenteraan atau jeneral tentera juga mempunyai visi dan misi untuk membentuk bala tenteranya agar terus relevan serta berkemampuan untuk menghadapi apa jua cabaran berkaitan keselamatan negara.

Kedua-dua ‘jeneral politik’ dan jeneral tentera akan berada dalam satu kementerian dengan tanggungjawab bersama untuk menjaga kedaulatan negara agar kekal utuh.

Apa yang memisahkan kedua-dua jeneral ini, terutamanya dalam kes negara ini, adalah bagaimana mereka mencapai atau dapat menerajui organisasi mereka.

Seorang jeneral politik lazimnya akan menempuh pelbagai liku perjuangan politik yang kadangkala memaksa beliau menukar ‘baju’ politiknya seperti seekor sesumpah, mungkin dari biru kepada hijau, oren atau pelbagai warna mengikut rentak dan kehendak sendiri atau partinya.

Bagi seorang jeneral tentera, beliau akan turut sama merasai jerih perih perjuangan, namun bajunya tidak pernah ditukarkan kepada ‘warna’ lain dalam perjuangannya. Beliau mungkin pernah berhadapan muncung pelbagai senjata namun kesetiaan kepada pasukannya tidak pernah pudar.

Satu pepatah Inggeris yang dikreditkan kepada ahli politik terkemuka Britain, Lord Palmerston yang hidup pada tahun 1800 menyatakan, This is quite a game, politics.There are no permanent enemies and no permanent friends, only permanent interests (Politik adalah satu permainan. Tidak ada musuh yang kekal, mahupun sahabat yang kekal, yang kekal hanyalah kepentingan).

Kepentingan ahli politik inilah kadang-kala membuat mereka bersifat seperti lalang mengikut kepentingan dan kehendak peribadi. Ini mungkin antara sebab kenapa di sesetengah benua, seperti di Afrika, kerap berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Lebih mengejutkan, ada di antara negara-negara tersebut yang rakyatnya muak dengan rasuah politik dan kepincangan ekonomi turut bersorak riang dengan kejatuhan pemimpin politik mereka sendiri yang sebelumnya diangkat secara demokrasi.

NASIHAT JENERAL

Mungkin telah tiba masanya, sebahagian besar jeneral politik yang memegang jawatan tertinggi dalam kementerian pertahanan negara-negara global kini mendengar dan mengikut nasihat jeneral tentera demi kesejahteraan negara.

Pada tahun 2020, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyampaikan perintah ulung dan amanat beliau setelah dilantik menjadi Panglima Tentera Darat Ke-28. Intipati dari perintah ulung ini dirasakan amat bertepatan sekali dan sepatutnya dijadikan azimat oleh jeneral-jeneral parti politik di negara ini.

Perintah Ulung Panglima Tentera Darat telah meletakkan tiga prinsip utama yang amat relevan bagi mengekalkan bukan sahaja keselamatan dan kedaulatan, tetapi juga kestabilan politik negara.

Prinsip pertama adalah untuk melaksanakan apa yang harus dilakukan.

Dalam senario politik, prinsip ini berkehendakkan setiap pemegang jawatan mempunyai bidang tugas tertentu yang mesti dilakukan supaya sistem dan proses dalam organisasi berjalan lancar untuk mencapai misi yang ditetapkan iaitu kesejahteraan rakyat dan negara.

Prinsip kedua pula ialah melakukan apa yang dikatakan akan dilaksanakan. Setiap pemimpin perlu menentukan setiap kata itu dikotakan bagi menjana komitmen terhadap kesempurnaan dan kelangsungan tugas.

Prinsip ketiga ialah melaksanakan perkara yang betul.

Pencapaian misi dan tugas serta tanggungjawab kepimpinan politik yang dilantik sangat bergantung kepada keupayaan beliau serta kementeriannya melaksanakan perkara yang betul. Ini bermakna berintegriti tinggi, tiada rasuah atau keistimewaan kelompok kayangan.

Mungkin tiba masanya jeneral politik perlu melakukan muhasabah diri dan mencontohi jeneral-jeneral tentera yang sejak dari zaman merdeka tidak pernah sekalipun ‘menukar’ uniform, jauh sekali mengkhianati sumpah setia mereka kepada rakyat.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca