SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose menyarankan calon Menteri Besar Johor baharu biarlah direstui parti dan bukan bersifat proksi. Jelas Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang itu, calon bagi dipilih sebagai Menteri Besar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose menyarankan calon Menteri Besar Johor baharu biarlah direstui parti dan bukan bersifat proksi.

Jelas Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang itu, calon bagi dipilih sebagai Menteri Besar Johor baharu juga sepatutnya merupakan 'kemudi' yang telah dijanjikan parti kepada pengundi negeri itu.

Tanpa menyatakan 'proksi' merujuk kepada mana-mana pihak, Noor Azleen menegaskan amat penting bagi calon Menteri Besar baharu mendapat sokongan parti demi memudahkan urusan mentadbir negeri di kemudian hari.

"Kemudi yang dicari itu biarlah yang direstui dan mendapat mandat parti.

"Kemudi yang dicari itu pula mestilah seperti yang telah dijanji kepada pengundi.

"Kalau boleh, kemudi yang dicari itu bukan proksi. Demi sebuah negeri yang kita semua cintai," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi hangat mengatakan negeri Johor bakal mendapat Menteri Besar baharu bagi menggantikan Pengerusi Barisan Nasional BN) Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ura-ura tu semakin kuat kedengaran setelah Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor, mengeluarkan kenyataan mencadangkan pucuk kepimpinan parti memilih 'orang muda' bagi mentadbir kerajaan negeri Johor.

NOOR AZLEEN

Hasni dalam kenyataan itu turut menegaskan pertimbangan itu dibuat beliau setelah mengambil kira kepentingan kepimpinan orang muda dalam pembangunan negeri Johor dan kemakmuran yang berkekalan.

Berikutan itu, bekas Exco Belia, Sukan Dan Pelancongan negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dijangka bakal menggantikan Hasni.

Pada Isnin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional, dipanggil menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Puteri, Johor Bahru pada 3 petang dengan pertemuan itu difahamkan berlangsung hampir sejam.

Sebelum ini, terdapat sumber memaklumkan UMNO-BN telah mempersembahkan nama tiga calon Menteri Besar Johor kepada Tuanku Sultan Ibrahim.

Selain Hasni dan Onn Hafiz, seorang lagi nama yang dipersembahkan kepada Istana Johor adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit.

Sebelum PRN Johor dilaksanakan lagi, nama Onn Hafiz sememangnya sudah kuat kedengaran dalam kalangan pemimpin UMNO Johor sebagai calon Menteri Besar negeri itu selepas Hasni.

Pada Jumaat lalu dalam satu Laporan Khas siapa Bakal MB Johor, Sinar Premium turut meramalkan Onn Hafiz sebagai calon alternatif BN selain Hasni.

ONN HAFIZ

Merupakan cicit kepada pengasas UMNO, Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Onn Hafiz juga mempunyai hubungan sangat rapat dengan Istana Johor, di samping dianggap calon Menteri Besar yang lebih pragmatik dan dekat dengan pengundi muda.

Susulan kenyataan Hasni membayangkan beliau tidak lagi kekal dipilih sebagai Menteri Besar Johor, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahril Samad mengakui kini berasa 'malu' hendak menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 bermula Rabu.

Hal ini kerana beliau kesal pada saat UMNO-BN berjaya mencapai kemenangan besar pada PRN Johor, parti itu gagal meletakkan ketua parti di peringkat negeri sebagai ketua kerajaan.

BN meraih majoriti dua pertiga, selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Sabtu lalu.

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan Hasni akan terus menjadi Menteri Besar Johor, jika gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.

Hasni berjaya mempertahankan kerusi DUN Benut dengan majoriti selesa.

Klik di sini untuk terus membaca