SELEPAS lebih 48 jam berteka-teki tentang siapa Menteri Besar Johor ke-19, akhirnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali sah diangkat sebagai Menteri Besar yang baharu pada Selasa.Onn Hafiz antara tiga nama... Klik di sini untuk terus membaca
SELEPAS lebih 48 jam berteka-teki tentang siapa Menteri Besar Johor ke-19, akhirnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali sah diangkat sebagai Menteri Besar yang baharu pada Selasa.

Onn Hafiz antara tiga nama diserahkan UMNO kepada Istana Johor selain Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (ADUN Rengit).

Di atas kertas, UMNO meletakkan Hasni sebagai nama pertama bagi mengekalkan jawatannya selaras dengan peranannya sebagai panglima perang atau poster boy sehingga menyaksikan Johor kembali dikuasai dua pertiga oleh BN.

Memang menjadi satu proses biasa, parti yang menang dalam pilihan raya, perlu menamakan beberapa nama kepada Istana bagi mendapat perkenan dan budi bicara Sultan untuk memilih satu nama sebagai calon Menteri Besar, tidak terkecuali di Johor.

Dan segalanya telah terjawab, Onn Hafiz yang juga bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor dan bekas ADUN Layang-Layang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, pada Selasa.

UMNO LAHIR DALAM KELUARGA PENGGERAK UMNO

Onn Hafiz pada hakikatnya bukan insan biasa dalam politik UMNO yang mula bertapak sejak awal di selatan semenanjung itu.

Beliau yang berusia 43 tahun menjadi Menteri Besar ke-19, menyambung legasi keluarganya di mana Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad merupakan buyutnya, manakala pengasas, Presiden UMNO serta Menteri Besar Johor ketujuh, Datuk Onn Jaafar adalah moyangnya.

Onn merupakan moyang kepada Onn Hafiz. - Sumber internet


Datuknya pula adalah Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dan bapa saudaranya pula adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Maka tidak hairanlah rakan baiknya sendiri melihat semangat juang Onn Hafiz sama seperti moyang dan datuknya.

Ini kerana menurut Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang rapat lebih 10 tahun itu, setiap kali bertemu, Onn Hafiz sering membangkitkan soal masa depan parti dan hala tuju orang Melayu.

"Beliau seorang yang tegas, berani dan bersistematik. Cara beliau ketuai pasukannya sangat sempurna. Itu adalah karektornya.

"Bahkan setiap kali bertemu sama ada di kedai mahu pun di rumahnya, beliau hanya fokus kepada perjuangan orang muda dalam parti. Dia sangat ambil berat tentang masa depan UMNO, Melayu dan negara.

"Mungkin sebab darah dia adalah perjuangan UMNO sama seperti moyangnya,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengenalinya ketika sama-sama bertugas bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum Onn Hafiz menjadi ADUN Layang-layang pada 2018, Fadzli amat menghargai ikatan persahabatan yang dibinanya.

"Onn Hafiz ini pada saya seorang sahabat yang sangat baik. Dia sentiasa ada kalau kita ada masalah. Seorang yang ambil berat pada sahabat termasuklah kalau saya sakit. Nilai persahabatan kami sangat tinggi.

Hussein (duduk dua dari kiri) merupakan datuk kepada Onn Hafiz. - Sumber internet


"Malah beliau turut menelefon saya bagi berkongsi berita beliau akan angkat sumpah sebagai Menteri Besar,” katanya.

Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar disiarkan di laman Facebook rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Berangkat sama ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Turut hadir, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN meraih kemenangan besar dengan mencatatkan kejayaan dua pertiga apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 kerusi dipertandingkan.

Onn Hafiz menang di kerusi DUN Machap yang menyaksikan pertembungan antara calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

HARGAI PENGORBANAN HASNI UNTUK ORANG MUDA

Sejak awal gendang PRN Johor dipalu, Hasni yang sebelum ini merupakan Menteri Besar ke-18 di canang kembali menjawat jawatan itu sekiranya BN kembali menguasai Johor.

Dan segalanya seperti mengikut skrip, BN menang 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi pelantikan Menteri Besar masih tidak diumumkan selepas dua hari berakhirnya episode gemilang parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu.

Daripada situlah muncul persoalan mengapa pelantikan Menteri Besar tidak secepat yang berlaku selepas berakhirnya PRN Melaka dan Sarawak.

Bagi meredakan kehangatan, Hasni sendiri mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

"Melihat kepada sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan, saya mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin negeri," katanya.

Kenyataan Hasni yang memenangi kerusi DUN Benut itu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19, iaitu Onn Hafiz. Nama individu kedua di ramal Sinar Premium melalui Laporan Khas Siapa Bakal MB Johor sebagai calon alternatif selain Hasni.

Onn Hafiz menandatangani watikah pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, Johor pada Selasa.


Sebelum PRN Johor dilaksanakan lagi, nama Onn Hafiz sememangnya sudah kuat kedengaran dalam kalangan pemimpin UMNO Johor sebagai calon Menteri Besar negeri itu selepas Hasni.

Onn Hafiz menerusi satu kenyataan selepas majlis angkat sumpah itu menghargai pengorbanan Hasni kerana memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.

Beliau menyifatkan bekas Menteri Besar Johor itu sebagai negarawan kerana yakin peranan dan kemampuan orang muda bagi mengemudi negeri.

"Pengorbanan yang dilakukan Hasni untuk memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Johor sesungguhnya bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan itu.

"Ia membuktikan bahawa beliau yakin peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor," katanya pada Selasa.

Onn Hafiz berkata, gabungan orang berpengalaman dan muda akan memperkukuhkan Johor.

"Insya-ALLAH , saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau (Hasni) yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

"Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi," ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut berikrar untuk berusaha menunaikan segala janji yang dibuat BN sebaik mungkin.

"Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya iaitu bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini," katanya.

Onn Hafiz (kanan) seorang pemimpin yang tegas dan bersistematik menerajui kumpulannya seperti yang diceritakan oleh Fadzli (kiri) kepada Sinar Premium.
Klik di sini untuk terus membaca