SHAH ALAM - Beberapa isu membelenggu rakyat antara hal utama yang akan dibawa oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, kata Ketua Puteri UMNO Negeri Sembilan, June Arthisha Mohamad Nazari.
Menurutnya, isu-isu rakyat tidak pernah lari jauh daripada perjuangan atau usul yang dibawa oleh perwakilan terutamanya anak muda.
"Mungkin di pihak kerajaan sendiri ada kekangan tetapi perjuangan ini tidak terhenti di sini dan kita akan terus berjuang. Saya percaya perwakilan daripada negeri masing-masing pun akan utarakan isu berkenaan.
"Alhamdulillah, sebelum ini banyak isu yang kita pernah bawa, mungkin tidak semua, tetapi sekurang-kurangnya sedikit demi sedikit apa yang disampaikan cuba direalisasikan oleh kerajaan.
"Misalnya, isu perumahan mampu milik, itu antara yang dilihat paling dekat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini bagi memastikan rakyat terutamanya anak muda mampu memiliki rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi ke-329 yang bertajuk 'UMNO, Kepercayaan Rakyat dan PRU15' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut mengenai pelantikan Menteri Besar Johor, selaku anak muda, June Arthisha akui kagum dengan sifat keterbukaan Datuk Seri Hasni Mohammad untuk meletakkan calon muda, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19.
"Soal UMNO memberi ruang dan peluang kepada anak muda bukan soal baharu, misalnya sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diangkat menjadi Menteri Besar juga ketika usia muda.
"Jadi sebenarnya bukan soal UMNO tidak pernah beri peluang tetapi mungkin pemimpin sebelum ini yang dilantik ketika usia muda masih berkuasa.
"Bagaimanapun, ruang untuk pemimpin muda dalam UMNO sentiasa ada,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca