KUALA LUMPUR - UMNO menegaskan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama Pas demi kesatuan dan kemaslahatan ummah empat tahun lalu kini semakin sukar diselamatkan. Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - UMNO menegaskan gagasan Muafakat Nasional (MN) yang diasaskan bersama Pas demi kesatuan dan kemaslahatan ummah empat tahun lalu kini semakin sukar diselamatkan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO sudah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan MN, namun menemui jalan buntu kerana sikap pemimpin Pas.

Beliau mendakwa, hubungan kedua-dua parti itu mula retak selepas Pas yang dipimpin Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang mula menjalinkan perbincangan rahsia dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menubuhkan gagasan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, hubungan kedua-dua parti bertambah renggang apabila pemimpin tertinggi Pas bertindak menyerang dan memburukkan UMNO secara terbuka semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, baru-baru ini.

"Sebenarnya saya tidak tahu nak kata apa? Tetapi apa yang boleh saya katakan adalah keretakan hubungan UMNO dan Pas dalam MN sekarang adalah sesuatu menyedihkan.

"Kita di peringkat UMNO cuba sedaya upaya mahu menyelamatkan MN sebab itulah tiada kepimpinan tertinggi parti ini termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyerang Pas semasa kempen PRN Melaka dan Johor baru-baru ini.

"Bagaimanapun di sebelah sana, di PRN Johor hampir setiap malam ada pemimpin tertinggi Pas menghentam BN dan UMNO di pentas ceramah berkelompok mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di Menara Datuk Onn pada Selasa.

Katanya, keadaan itu berbeza di mana ketika mula-mula mahu menubuhkan MN, pemimpin tertinggi Pas sanggup berulang alik ke rumah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Seremban untuk menyatakan hasrat mahu bekerjasama dengan UMNO demi kemaslahatan ummah.

Asyraf menegaskan UMNO telah cuba sedaya mungkin untuk selamatkan Muafakat Nasional ketika wawancara eksklusif bersama beliau di Menara Datuk Onn di PWTC pada Selasa. - FOTO SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR.

"Kenapa ketika itu mereka boleh sahaja jumpa dengan Presiden UMNO dan Mohamad tanpa menuduh kami parti perompak atau pencuri. Kenapa waktu itu mereka tidak berani menuduh kami perompak. Kenapa hari ini baru berani tuduh kami parti perompak dan pencuri?” katanya.

Lantaran itu Asyraf melontarkan persoalan bagaimana UMNO mahu menyelamatkan kerjasama dalam MN jika pemimpin Pas sendiri dinilai mengkhianati persahabatan dan permuafakatan antara kedua-dua parti, sejak awal.

"Yang mengkhianati MN di peringkat awal bukan UMNO tetapi Pas. Merekalah yang mula mencari teman baharu.

"Kalau anda tidak percaya boleh tanya Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama, mantan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan bekas ahli Pas) kerana beliau adalah sebahagian daripada jawatankuasa induk penubuhan MN.

"Malah, Mohd Khairuddin pernah beberapa kali menyatakan bahawa beliau malu dengan tindakan segelintir pemimpin tertinggi Pas yang membelakangi UMNO dalam isu penyertaan mereka ke dalam PN,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, beliau juga mempunyai dokumen sokongan yang boleh membuktikan bahawa Pas adalah pengkhianat sebenar MN bukan UMNO.

"Ini kerana dalam beberapa siri mesyuarat MN diminitkan dan kita bertanyakan benarkah Pas akan menyertai PN. Betulkah Pas sudah menyertai jawatankuasa penaja penubuhan PN dalam tiga mesyuarat dan ada minitnya.

"Kalau dibenarkan oleh pucuk pimpinan UMNO supaya dokumen berkenaan tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia sulit saya sedia dedahkan bukti berkenaan

"Sebab itulah semasa Pas dan UMNO sama-sama menyokong dan mendukung penubuhan kerajaan campuran yang akhirnya dinamakan kerajaan PN adalah untuk sementara waktu sahaja kerana menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan menghadapi pandemik Covid-19 baru bermula, bukan untuk selama-lamanya sehingga akhir penggal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca